TUARAN: Sembilan lelaki diberkas manakala dadah disyaki syabu seberat 1.27 gram dirampas dalam Ops Gempur Khas yang dijalankan di Perumahan Telipok Ria, di sini, pada Jumaat.
Operasi bermula jam 3 petang hingga 10 malam itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tuaran dan Kota Kinabalu.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi menumpukan kawasan perumahan berkenaan yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Hasil operasi, seramai 20 individu diperiksa dan disaring air kencing.
“Daripada jumlah itu, lima lelaki ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, manakala empat lagi ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama selepas didapati positif methamphetamine dan amphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 1.27 gram dengan nilai anggaran RM250.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bekalan dadah dipercayai diperoleh daripada beberapa individu yang aktif di sekitar kawasan perumahan itu.
“Hasil soal siasat juga mendapati suspek dipercayai bertukar-tukar waktu penjualan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan menggunakan ‘runner’ untuk menghantar dadah kepada pelanggan.
“Kebanyakan pelanggan yang membeli dadah di kawasan itu adalah dari luar Telipok,” katanya.
Dalam operasi sama, beliau berkata pasukan serbuan turut memeriksa sebuah rumah yang disyaki menjadi kediaman pengedar, namun suspek tidak berada di premis dan tiada barang salah ditemui.
Katanya, usaha mengesan beberapa individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran masih diteruskan.
“Risikan dan pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kegiatan ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya. – Info X