Search

Tolak dengan tegas tindakan Filipina bangkitkan semula tuntutan ke atas Sabah

February 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memandang serius kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) yang membangkitkan semula tuntutan terhadap Sabah susulan perbincangan mengenai peta pentadbiran 2012 negara itu.

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim, berkata sebarang tuntutan oleh Filipina yang tidak mempunyai asas perundangan mahupun legitimasi sejarah perlu ditolak dengan tegas.

Katanya, Sabah menjadi sebahagian yang sah dan berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan kedudukan itu dimuktamadkan melalui proses sejarah serta kerangka perundangan antarabangsa.

“Pendirian ini selaras dengan kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sebelum ini yang mengulangi ketegasan Sabah dalam mempertahankan kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia serta menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang tuntutan sedemikian.

“Kami berpandangan bahawa isu ini tidak seharusnya dibangkitkan semula kerana ia berpotensi menjejaskan hubungan baik serantau serta mencetuskan kegusaran antara negara terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Pemuda Gagasan Rakyat katanya menyeru seluruh rakyat Sabah khususnya anak muda untuk terus bersatu hati dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam mempertahankan kedaulatan negeri ini.

“Dalam menghadapi sebarang cabaran, perpaduan rakyat adalah kekuatan utama yang perlu dipelihara.

“Sabah adalah tanah air yang dibina atas asas keamanan, keharmonian dan kedaulatan yang tidak boleh dikompromi,” katanya.

Tegasnya, Pemuda Gagasan Rakyat kekal komited untuk terus menjadi suara yang mempertahankan kedaulatan Sabah dan menyokong segala usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan serta kestabilan negeri sentiasa terpelihara.

“Dalam soal kedaulatan, pendirian kita jelas tegas, konsisten dan tidak berkompromi. Sabah kekal bersama Malaysia, dulu, kini dan selamanya,” katanya. – Info X