Search

Hornet TUDM mendarat cemas di KKIA akibat masalah enjin

May 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), malam tadi dipercayai mengalami masalah pada sistem enjin ketika penerbangan pulang selepas latihan ketenteraan.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.47 malam itu, pesawat berkenaan berjaya mendarat dengan selamat selepas juruterbang mengambil tindakan kecemasan mengikut prosedur operasi ditetapkan.

Menerusi siaran media dikeluarkan TUDM petang ini, pesawat terbabit mengalami masalah enjin ketika penerbangan pulang selepas Latihan Tembakan Udara ke Permukaan (Air To Ground) waktu malam di Kota Belud, semalam.

“Juruterbang kemudian melaksanakan prosedur kecemasan sebelum membuat keputusan mendarat di KKIA sebagai langkah keselamatan.

“Pesawat berkenaan berjaya mendarat dengan selamat pada jam 7.47 malam,” menurut kenyataan itu.

Susulan kejadian berkenaan, TUDM turut mengaturgerakkan pasukan teknikal ke KKIA bagi melaksanakan pemeriksaan serta bantuan teknikal terhadap pesawat terbabit.

Katanya, pesawat itu dijangka diterbangkan semula ke pangkalan selepas semua proses pemeriksaan dan pengesahan teknikal selesai dilaksanakan.

TUDM turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan operasi penerbangan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap pelaksanaan misi dan latihan.

Terdahulu, media melaporkan sebuah pesawat pejuang TUDM melakukan pendaratan cemas di KKIA selepas mengalami masalah teknikal pada enjin kiri ketika penerbangan rutin. – Info X