Search

Suara Mahasiswa bertindak sendiri dalam isu Kampung Asaon, bukan pendirian UMS – Pengurusan UMS

May 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pihak Pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan sebarang kenyataan, tindakan atau pendirian dizahirkan kumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri sebagai Suara Mahasiswa UMS adalah atas kapasiti peribadi mereka sendiri.

Perkara itu merujuk kepada pembabitan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan pelajar terbabit berhubung isu pertindihan tanah di Kampung Asaon, Matunggong, Kudat.

Penegasan UMS itu dijelaskan menerusi satu kenyataan pada Rabu.

“Sebagai sebuah institusi menara gading yang menjunjung kematangan intelektual dan menghormati kepelbagaian pandangan, UMS ingin menegaskan bahawa sebarang kenyataan, tindakan atau pendirian yang dizahirkan oleh kumpulan mahasiswa berkenaan adalah atas kapasiti peribadi mereka sendiri.

“Justeru, kenyataan dan tindakan tersebut tidak mewakili pendirian rasmi, dasar mahupun pandangan pengurusan tertinggi UMS, termasuk lebih 22,000 mahasiswa aktif UMS,” katanya.

Jelas pengurusan universiti itu lagi, UMS sentiasa menghormati hak kebebasan bersuara dan kebebasan akademik dalam kalangan warganya, seiring dengan komitmen UMS dalam menjunjung kematangan intelektual serta menghormati kepelbagaian pandangan.

Bagaimanapun, tegasnya, kebebasan itu hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab selaras dengan peruntukan undang-undang, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta peraturan-peraturan universiti yang sedang berkuat kuasa.

“UMS sentiasa mengingatkan mahasiswa agar setiap program aktivisme, kesedaran awam atau khidmat komuniti yang dilaksanakan di luar kampus hendaklah berpaksikan fakta yang sahih, mematuhi lunas undang-undang negara serta memelihara tatatertib dan nama baik universiti.

“Pada masa yang sama, mahasiswa juga diseru agar sentiasa menghormati adat resam setempat, menyantuni sensitiviti masyarakat serta memelihara keharmonian dan kesejahteraan komuniti yang telah sekian lama terbina.

“UMS menyeru seluruh warga mahasiswa agar terus mengamalkan sikap berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan, selaras dengan nilai universiti serta peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Pada masa yang sama, UMS mengingatkan semua untuk menghormati peranan institusi penguatkuasa dalam memastikan ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara. – Info X