SIPITANG: Hujan renyai mengiringi pengebumian semula jenazah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, awal pagi ini.
Jenazah selamat disemadikan semula di lokasi sama pada jam 1.15 pagi, selepas melalui proses bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth I (HQE), Kota Kinabalu, yang berlangsung kira-kira lapan jam bermula jam 11 pagi hingga 7.30 malam tadi.
Sebaik selesai proses bedah siasat, kenderaan yang membawa jenazah meninggalkan HQE pada jam 9.25 malam sebelum tiba di sini pada 12.41 tengah malam.
Walaupun cuaca hujan, ia tidak menghalang ratusan ahli keluarga, kenalan serta penduduk setempat menunggu di sekitar kawasan perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir sehingga pengebumian selesai sekitar jam 1.45 pagi.
Jenazah Allahyarham Zara dikeluarkan semula dari kuburnya pada Sabtu bagi bedah siasat untuk melengkapkan siasatan setelah dikebumikan pada 17 Julai lalu.
Penggalian semula kubur arwah di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang dibuat setelah mendapat perintah Majistret menerusi prosiding secara Zoom di IPD Papar, semalam.
Selepas selesai bedah siasat, jenazah arwah Zara dihantar semula ke Sipitang untuk dikebumikan semula di lokasi yang sama.
Arwah sebelum ini dilapor meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Kinarut pada 16 Julai lalu.
Bagaimanapun, terdapat keraguan dalam kes kematian pelajar tingkatan satu itu berikutan dakwaan kemungkinan wujud unsur buli yang menyebabkan berlakunya insiden berkenaan. – Info X