Search

Ibu, tiga anak selamat dalam kebakaran rumah

March 23, 2026

Info X Reporters

PUTATAN: Seorang ibu dan tiga anak terselamat dalam kebakaran rumah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Serigai Ketiau, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, wanita berkenaan bertindak pantas membawa keluar tiga anaknya yang masih kecil iaitu berusia lima dan tiga tahun serta seorang bayi lelaki berusia enam bulan sebaik menyedari rumah mereka di Blok C, tingkat dua, terbakar.

Ketika kejadian, suaminya dipercayai tiada di rumah kerana berada di dobi berhampiran bagi mencuci pakaian.

Turut berada di dalam rumah ketika kejadian ialah dua anak saudaranya berusia 13 tahun yang juga sempat menyelamatkan diri.

Kebakaran membabitkan sebuah unit rumah jenis kekal berkeluasan kira-kira 28 meter persegi yang terbakar 70 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.07 pagi sebelum jentera dari BBP Putatan dan bantuan BBP Penampang digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.

“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 6.12 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah di tingkat dua yang terbakar 70 peratus.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula (hose reel) dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.19 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan cedera dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.50 pagi selepas pemeriksaan memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, kejadian itu menyebabkan keluarga berkenaan hilang tempat berteduh dan menjadikan sambutan Aidilfitri mereka tahun ini dalam suasana penuh kesedihan. – Info X