Search

Dua rumah musnah dalam kebakaran awal pagi di Pitas

March 23, 2026

Info X Reporters

PITAS: Dua rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Rosob, di sini, awal pagi tadi.

Kebakaran membabitkan dua rumah berasingan berkeluasan kira-kira 83.6 meter persegi dan 185.8 meter persegi yang terbakar 100 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.32 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.

“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 2.41 pagi dan mendapati kedua-dua rumah sudah terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada sumber air terbuka iaitu laut berhampiran,” katanya.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.21 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.50 pagi selepas pemeriksaan memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

Katanya lagi, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu, namun kedua-dua rumah musnah sepenuhnya. – Info X