Search

Sampah terbakar, stor dan rumah pekerja rosak di Inanam

March 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Longgokan sampah yang terbakar mencetuskan kebakaran membabitkan sebuah stor penyimpanan barangan serta sebuah rumah pekerja di Kampung Kiambalang, Inanam, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.22 petang itu, kebakaran dipercayai bermula di kawasan longgokan sampah di hadapan stor sebelum merebak ke struktur berhampiran.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.22 petang sebelum jentera pertama tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan longgokan sampah di hadapan sebuah stor penyimpanan jenis fiber berkeluasan kira-kira 40 x 130 kaki.

“Kebakaran kemudian merebak ke sebuah rumah pekerja jenis tidak kekal dengan kemusnahan dianggarkan 30 peratus serta tiga kenderaan terbiar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, seramai 11 anggota dari BBP Lintas dikerahkan ke lokasi bersama dua jentera, iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan Light Fire Rescue Tender (LFRT).

Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan air yang diperoleh daripada sumber jentera.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.05 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.55 petang selepas pasukan memastikan tiada lagi punca bahaya di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. – Info X