Search

Ular sawa 60 kilogram hampir serang pengawal keselamatan

March 23, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Detik cemas dilalui seorang pengawal keselamatan apabila hampir diserang seekor ular sawa seberat kira-kira 60 kilogram ketika melakukan rondaan di Kolej Komuniti Tawau, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.27 malam itu, mangsa dikatakan menyedari kehadiran reptilia berkenaan dari arah belakang sebelum sempat mengelak, sekali gus mengelakkan kejadian lebih buruk.

Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tawau, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan empat anggota ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menangkap ular.

“Setibanya di lokasi, didapati ular sawa berkenaan berada di kawasan stor automotif dan dipercayai telah memakan dua ekor kucing di kawasan berkenaan.

“Keadaan itu meningkatkan risiko keselamatan kepada orang awam khususnya di kawasan sekitar kolej,” katanya, malam ini.

Anggota APM Tawau berjaya menangkap ular sawa di kawasan Kolej Komuniti, Tawau.

Katanya, operasi berdepan cabaran apabila ular berkenaan bertindak agresif sehingga menyebabkan alat penjerut yang digunakan bengkok akibat kekuatan reptilia itu.

“Namun, hasil kepakaran dan tindakan pantas anggota, ular berkenaan berjaya dikawal dan ditangkap dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati ular sawa itu dianggarkan sepanjang 5.5 meter dengan berat sekitar 60 kilogram.

Ular berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut. – Info X