TAWAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), termasuk mengenal pasti calon berpotensi di Tawau.
Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata setakat ini pihaknya mengemukakan tiga nama calon kepada pucuk pimpinan bagi pemilihan awal.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan calon yang dipilih menepati kehendak rakyat dan mampu membawa aspirasi Kerajaan Perpaduan.
“Calon yang diketengahkan mestilah diterima rakyat dan mampu memberi perkhidmatan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Rumah Terbukanya sempena Hari Raya Aidilfitri, di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, pada Isnin.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif negeri berkata, jentera Gagasan Rakyat kekal aktif sejak Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), November lalu.
Katanya, beliau yakin rakyat akan terus menyokong kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sementara itu, Nizam yang juga ADUN Apas, berkata dua kawasan baharu Parlimen wajar diwujudkan di Tawau sejajar peningkatan pengundi.
Katanya, persempadanan baharu kawasan Parlimen perlu dilaksanakan bagi memastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Ketika ini, katanya Tawau mempunyai lebih 80,000 pengundi. – Info X