Search

Lima sekeluarga cedera, kenderaan terbabas rempuh tiang elektrik

March 24, 2026

Info X Reporters

KIMANIS: Lima sekeluarga cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Jalan Kimanis – Keningau berhampiran jambatan berkembar Kimanis, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, semua mangsa terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita dilaporkan mengalami kecederaan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan lapan anggota dari BBP Kimanis bersama bantuan tiga anggota dari BBP Papar digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah Toyota Fortuner yang dipercayai terbabas sendiri sebelum melanggar tiang elektrik di bahu jalan.

“Seorang mangsa wanita berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan seterusnya diserahkan kepada ambulans untuk rawatan lanjut.

“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Operasi yang turut dibantu pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.34 tengah malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. – Info X