KOTA KINABALU: Ibu kepada Zara Qairina Mahathir, pelajar yang meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan Kinarut, Papar menafikan membuat tuduhan termasuk mengaitkan kematian anaknya itu dengan kenamaan bergelar VVIP.
Peguam bela yang mewakili Noraidah Lamat, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, berkata anak guamnya itu tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengaitkan kematian Zara Qairina dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau dikenali sebagai VVIP.
“Kami dengan ini menyatakan bahawa anak guam kami, Puan Noraidah binti Lamat, iaitu ibu kepada Zara Qairina binti Mahathir (“Zara”) tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian Zara dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau dikenali sebagai VVIP.
“Sebarang andaian atau dakwaan sedemikian adalah tidak berasas dan tidak datang daripada anak guam kami,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari
Menurutnya, anak guamnya juga tidak mempunyai sebarang maklumat atau pengetahuan berkaitan dakwaan kononnya terdapat teriakan “kau pembunuh” oleh para pelajar kepada seorang pelajar tertentu pada hari kejadian.
“Perkara ini hanyalah diketahui oleh anak guam kami menerusi hantaran yang tular di media sosial. Anak guam kami juga tidak ada mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat tiga pelajar sekolah telah dipindahkan dari SMKA Tun Datu Mustapha Limauan pada hari kematian Zara.
“Maklumat tersebut hanya diketahui oleh anak guam kami selepas ianya tular di media sosial,” katanya.
Sehubungan itu, peguam bela berkenaan menyeru orang ramai agar menghentikan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan sama ada terhadap Zara, anak guam kami dan individu-individu lain.
“Tindakan menyebarkan dakwaan palsu boleh mengganggu siasatan polis dan menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak.
“Sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan polis boleh disalurkan kepada pihak polis atau kepada kami,” katanya. – Info X