KOTA KINABALU: Satu forum yang bakal mengupas pelbagai isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diadakan di Dewan Saadah, Wisma MUIS, di sini, Sabtu ini (3 Ogos).
Forum anjuran Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) diadakan sejajar kesedaran mengenai kepentingan MA63 dalam mencorak masa depan Sabah dan Sarawak selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Dr Ramzah Dambul, menjelaskan MA63 adalah sebuah dokumen penting yang ditandatangani wilayah Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 9 Julai 1963 di London.
Dokumen itu, katanya telah didaftarkan oleh Kerajaan United Kingdom di sekretariat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 1970.
Jelasnya, perjanjian itu menetapkan 20 perkara sebagai syarat penyertaan Sabah dalam pembentukan Malaysia yang meliputi pelbagai aspek seperti agama, bahasa, pendidikan, imigresen, kewarganegaraan, hak keistimewaan bangsa asal, cukai dan kewangan.
“Perkara-perkara ini telah diperhalusi dengan teliti semasa penggubalan MA63 dan kemudiannya dimaktubkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, di sebalik semangat federalisme yang membentuk Malaysia, hak dan kuasa autonomi yang diperuntukkan khas kepada wilayah Sabah dan Sarawak perlu sentiasa dipelihara dan ditambah baik selaras dengan perkara yang telah dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.
Bagaimanapun, katanya rakyat Sabah merasakan hak, kuasa dan keistimewaan di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak dipenuhi sepenuhnya.
“Semangat MA63 dan persefahaman yang dicapai untuk penubuhan Malaysia tidak dilaksanakan seperti yang dipersetujui.
“Penafian hak-hak Sabah yang termaktub dalam MA63 selama ini menyebabkan pembangunan dan aktiviti ekonomi di Sabah agak ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri lain di Malaysia.
“Kedaulatan dan keistimewaan Sabah yang termaktub dalam perjanjian MA63 wajib dipenuhi. Ini bukan sahaja penting untuk mengatasi ketidakseimbangan ekonomi tetapi juga sebagai asas untuk memperkasakan kedudukan Sabah dalam Persekutuan.
“Oleh itu, adalah sangat penting bagi rakyat Sabah untuk memahami sejarah perjanjian itu dan kesannya terhadap keadaan politik, ekonomi dan sosial di Sabah pada masa kini,” katanya.
Ramzah berkata, kesedaran dan kefahaman mengenai MA63 perlu disebar luas hingga ke peringkat akar umbi, khususnya dalam kalangan generasi muda yang akan menerajui kepimpinan negeri.
Jelasnya, menyedari kepentingan isu itu, IDS menganjurkan forum bertajuk ‘Perjanjian Malaysia 1963 (MA63): Implikasi kepada Wilayah Sabah’ untuk memberi kesedaran, pendedahan dan kefahaman yang mendalam mengenai implikasi MA63 kepada negeri Sabah.
Tegasnya, rakyat Sabah perlu memberi perhatian serius terhadap MA63 yang menjadi isu sangat penting untuk diperjuangkan secara kolektif di setiap peringkat masyarakat.
“Sesi pertama forum ini akan dimulakan dengan tiga pembentangan iaitu ‘Perjanjian Malaysia 1963 (MA63): Perjuangan Pemimpin Sabah Terdahulu hingga Sekarang’ yang akan disampaikan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Ia kemudian disusuli pembentangan pembentangan bertajuk ‘Perjanjian Malaysia 1963 (MA63): Pencapaian dan Langkah ke Hadapan Sabah’ oleh ADUN Dilantik, Datuk Yong Teck Lee dan pembentangan bertajuk ‘Perjanjian Malaysia 1963 (MA63): Kesedaran dan Kefahaman Rakyat Sabah’ oleh penulis buku My Country and I: The Malaysia Agreement 1963, Mazlianie Mohd Lan,” katanya.
Beliau berkata, sesi kedua pula adalah panel perbincangan bertemakan ‘Perjanjian Malaysia 1963 (MA63): Implikasi kepada Sosioekonomi Wilayah Sabah’ yang akan dikendaikan Pesuruhjaya SUHAKAM Sabah yang juga bekas Peguam Besar Sabah, Datuk Mariati Robert.
Katanya, ahli panel bagi perbincangan itu juga terdiri daripada Pandikar, Teck Lee dan Mazlianie.
Forum yang bermula jam 8 pagi itu dijangka dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, selain turut dihadiri Pengerusi IDS, Datuk Azizah Mohd Dun.
Maklumat lanjut mengenai forum itu boleh diperolehi di laman web www.ids.org.my atau e-mel kepada penyelaras program, Mohd Rizal Muslihin di [email protected]. – Info X