TAWAU: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan projek ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini.
Tertuduh, Jumadil Iggoh, 61, dituduh melakukan perbuatan itu ketika mendapatkan projek pembaikan dan penyelenggaraan bangunan di dua sekolah, di sini, empat tahun lalu.
Tiga daripada pertuduhan itu membabitkan penggunaan dokumen palsu iaitu penyata akaun bank bertarikh 13 Julai 2020 bagi bulan April, Mei dan Jun 2020.
Dokumen itu digunakan bagi mendapatkan tawaran sebut harga kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters serta rumah guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Andrassy, Tawau.
Baki tiga lagi pertuduhan membabitkan penyata akaun bank palsu bertarikh 14 Oktober 2020 bagi bulan Jun, Julai serta Ogos 2020.
Penyata berkenaan digunakan untuk menipu bagi mendapatkan sebut harga kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan II, Tawau.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Pendidikan Daerah Tawau, pada 14 Julai 2020 hingga 14 Oktober 2020.
Berikutan itu, Jumadil didakwa mengikut Seksyen 471, Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 Kanun yang sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rekraj Singh menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh dengan syarat tambahan.
Syarat itu ialah tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke Pejabat SPRM terdekat dan tidak mengganggu mana-mana saksi.
Peguam tertuduh, Abdul Ghani Zelika kemudian memohon jaminan rendah dengan alasan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan dan menanggung seorang anak serta isteri.
Hakim Jason Juga yang mendengar kes itu kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan deposit RM3,000 bersama seorang penjamin.
Jason turut membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 26 September depan. – Info X