Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

February 3, 2026

Info X Reporters

Mohd Arifin dilantik Profesor Adjung UIS

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Agama Negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Islam Selangor (UIS), sekali gus memperkukuh hubungan keilmuan dan dakwah antara Sabah dan Semenanjung. Pelantikan itu disempurnakan menerusi Majlis Serahan Watikah Pelantikan yang disampaikan oleh Naib Canselor UIS, Datuk Profesor Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, bertempat di Pejabat Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), di sini, hari ini. Mohd Arifin berkata, pelantikan berkenaan diharap dapat menjadi jambatan penghubung antara Sabah dan Semenanjung, khususnya Selangor, dalam memperkukuh ukhuwah, dakwah serta keilmuan Islam. “Kerjasama strategik ini penting bagi memperkasakan bidang pendidikan dan keilmuan Islam serta dakwah. “Usaha ini turut memberi penekanan kepada kesinambungan kemasukan anak-anak Sabah ke Universiti Islam Selangor yang telah berlangsung sejak sekian lama,” katanya. Menurutnya, hubungan erat antara institusi pendidikan Islam dan kepimpinan negeri mampu memberi manfaat besar dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak serta berdaya saing. Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Naib Canselor UIS Selangor yang turut membincangkan hala tuju serta bentuk kerjasama berterusan dalam memperkasa pembangunan pendidikan Islam dan dakwah di peringkat nasional. – Info X

February 3, 2026

Info X Reporters

Lelaki hilang ketika cari hasil hutan ditemui lemas di sungai

KIMANIS: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari hasil hutan berhampiran Kampung Mandugi, di sini, ditemui meninggal dunia akibat lemas di sungai, petang tadi. Mangsa berusia 58 tahun ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama penduduk kampung jam 4.12 petang di kawasan sungai, kira-kira 300 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB). Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 10.02 pagi bagi membantu mencari mangsa yang dipercayai hilang di kawasan hutan Kampung Mandugi. “Menurut laporan PDRM, mangsa keluar dari rumahnya di Kampung Langkawit, Papar pada 1 Februari lalu kira-kira jam 3 petang untuk berjumpa rakannya di Kampung Mandugi. “Mangsa kemudian dipercayai masuk ke kawasan hutan berhampiran bagi mencari hasil hutan, namun tidak pulang ke rumah sehingga laporan kehilangan dibuat kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, operasi SAR dimulakan pada jam 12.21 tengah hari dengan penglibatan 10 anggota bomba bersama PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan kira-kira 25 orang penduduk kampung. “Operasi pencarian dibahagikan kepada empat sektor iaitu kawasan kampung, kebun, sungai dan hutan, dengan bantuan unit dron PDRM bagi mempercepatkan usaha mengesan mangsa. “Mangsa berjaya ditemui di kawasan sungai (section C) oleh pasukan penyelamat bersama penduduk kampung, pada jarak kira-kira 300 meter dari PKB,” katanya. Menurutnya, selepas mangsa ditemui di sektor sungai, mayat dibawa keluar menggunakan bot penduduk kampung sebelum diusung ke PKB menggunakan pengusung (stretcher) oleh pasukan penyelamat. “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM sebelum dibawa ke hospital untuk pengesahan kematian serta proses bedah siasat. “Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.26 petang,” katanya. – Info X

February 3, 2026

Info X Reporters

Inkues Zara: Arwah tidak dituduh mencuri – ibu pelajar A

KOTA KINABALU: Seorang pelajar yang berdepan pertuduhan di Mahkamah Kanak-Kanak berkaitan insiden menimpa Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak pernah menuduh atau mengesyaki arwah Zara mencuri barangan miliknya. Ibu pelajar berkenaan yang memberi keterangan sebagai saksi ke-62 pada inkues kematian arwah Zara di Mahkamah Koroner, di sini, pada Selasa menjelaskan perkara itu selepas ditanya peguam ibu arwah, Shahlan Jufri. Pelajar terbabit yang dirujuk sebagai ‘A’ adalah antara lima pelajar yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak, selain turut menjadi saksi di Mahkamah Koroner dalam inkues kematian Zara. Saksi membuat kesimpulan bahawa tuduhan itu yang disifatkannya sebagai fitnah berkemungkinan disebabkan keadaan arwah Zara yang didakwanya dikelilingi musuh yang menikam belakang. “Tidak, dia menyatakan tidak syak Zara. Dia pernah cerita kepada saya tidak pernah syak Zara yang mencuri dan tidak pernah tuduh Zara yang curi sebab dia rapat dengan Zara. “Tempoh masa itu, mereka berkawan baik, tapi Zara dikelilingi musuh yang menikam dari belakang, itu kesimpulan saya daripada cerita pelajar A,” katanya ketika menjawab soalan Shahlan pada prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan. Sebelum itu, Shahlan bertanya mengenai ‘spot check’ berikutan aduan kehilangan barang seorang pelajar di bilik asrama pada 14 Julai 2025, selain mengenai kehilangan dompet pelajar A. Sementara itu, saksi berkenaan menyifatkan keterangan yang diberikan anaknya kepada polis sebelum ini sebagai ‘killer statement’ yang tidak boleh dinafikan dengan sewenang-wenangnya. Perkara itu disebutnya selepas Shahlan meminta penjelasan berhubung jawapannya apabila ditanya bahawa mesej Whatsapp yang dihantar ibu arwah Zara adalah ‘diforwardkan’ dan bukan ditulis oleh ibu arwah sendiri. Ia berkaitan hantaran mesej Whatsapp oleh ibu arwah Zara kepada saksi yang didakwanya meminta beliau membuat penafian terhadap kenyataan pelajar A yang didakwa ibu arwah diputar belit. Dalam jawapannya, ibu pelajar A mempersoalkan tujuan ibu arwah menghantar mesej itu kepadanya yang dianggapnya lebih mempercayai pihak lain, sekali gus membahayakan anaknya. Sebelum itu, Shahlan bertanya sama ada ibu pelajar A kurang memahami mesej dihantar ibu Zara sebelum ini yang hanya mahu ibu pelajar A membuat penafian dengan membuat laporan polis jika benar keterangan anaknya diputar belit. Ia berkaitan keterangan anaknya yang ada menyebut bahawa arwah Zara pernah memberitahunya ingin membunuh diri. Bagaimanapun, saksi bertegas memahami maksud mesej ibu arwah itu sebagai memintanya membuat penafian terhadap kenyataan anaknya dan beliau enggan melakukannya. Saksi juga mendakwa ibu arwah marah kepadanya berdasarkan beberapa mesej Whatsapp yang dihantar ibu arwah selepas itu, namun tidak dibalasnya. – Info X

February 3, 2026

Info X Reporters

Inkues Zara: Isu barcode selesai, Zara tiada masalah disiplin – ustazah

KOTA KINABALU: Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak pernah berdepan sebarang masalah disiplin ketika di Sekolah Agama Negeri (SAN) Kampung Naluyan Sipitang. Perkara itu disahkan bekas usatazahnya, Nur Ain Jabah, 38, yang memberi keterangan sebagai saksi ke-63 inkues kematian arwah Zara di Mahkamah Koroner, di sini, pada Selasa. Beliau bagaimanapun mengakui arwah bersama beberapa pelajar sekelas pernah diadu membuat ‘barcode’ ketika berada di Tahun Lima. Namun, jelasnya isu itu selesai setelah beliau memarahi pelajar terbabit dan mengingatkan mereka supaya tidak mengulanginya dan tidak lagi berlaku selepas itu. “Saya tahu ini sebab arwah Zara dan rakan lain pernah buat di sekolah dan ada pelajar lain mengadu dengan saya. “Jadi, saya sendiri datang ke kelas mereka dan tengok, saya memang marah, mereka kata ‘inikan trend dalam TikTok’, tapi saya kata jangan buat dan jangan diulang. “Selepas itu tidak berlaku lagi kes itu dan ia terhenti di situ,” katanya. Beliau sebelum itu ditanya peguam ibu arwah Zara, Shahlan Jufri sama ada tahu mengenai perkara berkenaan. Nur Ain yang mengajar di SAN Naluyan sejak Julai 2023 berkata seramai lapan pelajar dikesan terbabit dengan isu ‘barcode’ itu yang semuanya di tahun lima, bersama-sama dengan arwah Zara. Sementara itu, beliau menyifatkan arwah Zara seorang murid yang suka menegur guru dan bercerita menjadikan suasana kelas dan sekolah sentiasa ceria sepanjang dia bersekolah di SAN Naluyan. “Dia memang suka bercerita dengan kami, tapi bukan cerita yang tidak baik dan dia juga jenis yang suka bercakap dan bermain dengan kawan apabila di kelas,” katanya. – Info X

February 3, 2026

Info X Reporters

Penunggang motosikal maut digilis lori 10 tan

TUARAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis lori dalam kejadian di Jalan Berungis Tenghilan, berhampiran Hospital Tuaran, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di perut. Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR dan lori 10 tan. Katanya, berdasarkan siasatan awal, pemandu lori dipercayai mengubah haluan dari lorong kanan ke lorong kiri bagi memberi laluan kepada Ambulans yang sedang melalui jalan sama. “Bagaimanapun, mangsa dipercayai cuba memotong laluan sehingga menyebabkan berlaku pergeseran antara kedua-dua kenderaan. “Akibat pergeseran berkenaan, penunggang motosikal terjatuh ke bawah lori sebelum digilis pada bahagian perut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan proses bedah siasat akan dijalankan pada Selasa di Unit Forensik Hospital Tuaran. Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. “Sehubungan itu, mana-mana saksi kejadian tampil ke Pejabat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk membantu siasatan. “Selain itu, pengguna jalan juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu dan melintas jalan. “Masyarakat juga digesa supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan baik,” katanya. – Info X

February 3, 2026

Info X Reporters

Wanita maut, kereta rempuh pokok di Sandakan

SANDAKAN: Seorang penumpang wanita maut selepas kereta dinaiki terbabas sendiri sebelum merempuh sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Utara berhampiran Hotel Livingston, di sini, pagi tadi. Mangsa Siti Madina Hassan, 51, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala dua lagi individu dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan susulan kejadian berkenaan pada jam 6.01 pagi. Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu. “Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Proton Saga yang terbabas sebelum melanggar pokok. “Terdapat tiga orang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, seorang mangsa penumpang perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Manakala pemandu dan penumpang hanya mengalami kecederaan ringan dan telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS. “Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sandakan menggunakan jentera EMRS dan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut. “Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.10 pagi,” katanya. – Info X

February 3, 2026

Info X Reporters

Dua sahabat edar dadah, dicekup bersama hampir lebih kurang 400 gram syabu

KUDAT: Aktiviti gelap dua sahabat yang dipercayai baru kira-kira sebulan berjinak-jinak dalam pengedaran dadah berakhir apabila mereka diberkas bersama hampir lebih kurang 400 gram syabu dalam satu serbuan lewat malam, pada Sabtu. Dalam operasi kira-kira jam 11.30 malam, hasil maklumat awam, Pasukan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat menyerbu sebuah bilik sewa atas kedai di Pekan Tomburungus sebelum menahan dua lelaki berusia 29 dan 17 tahun yang berada di dalam bilik berkenaan. Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pemeriksaan menyeluruh di bilik berkenaan menemukan pelbagai bungkusan dadah yang disorok secara licik di beberapa lokasi. “Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan hablur kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan lebih kurang 394.16 gram dan dianggarkan bernilai RM43,357.60. “Ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine/amphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan, dua telefon bimbit, wang tunai serta sebuah beg galas dalam serbuan berkenaan. “Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan punca bekalan dadah yang diperoleh oleh kedua-dua suspek terbabit. “Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya golongan remaja dan belia supaya tidak terpengaruh dengan aktiviti penyalahgunaan dadah yang bukan sahaja memusnahkan masa depan, malah membawa hukuman berat di sisi undang-undang. “Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam jenayah dadah dan orang awam diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti berkaitan dadah di kawasan masing-masing,” katanya. – Info X

February 3, 2026

Info X Reporters

Suspek pecah kedai dobi diberkas, syabu dan senjata tajam dirampas

SANDAKAN: Kegiatan seorang lelaki yang aktif memecah masuk kedai dobi sekitar daerah ini berakhir apabila dia berjaya diberkas polis dalam satu serbuan awal pagi tadi. Suspek berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 pagi di Bandar Leila, hasil maklumat awam yang membawa sepasukan anggota polis dari Balai Polis Sandakan ke lokasi berkenaan. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, ketika tangkapan dilakukan, polis turut menemui senjata tajam serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah. Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan wang tunai dan dadah jenis syabu yang berada dalam simpanan suspek. “Siasatan awal mendapati lelaki terbabit disyaki terlibat dengan beberapa kes pecah kedai dobi di sekitar daerah Sandakan. “Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Sementara itu, beliau menegaskan polis akan terus komited membanteras jenayah harta benda bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di daerah Sandakan sentiasa terpelihara. – Info X