June 10, 2026
Info X Reporters
300 telur penyu dirampas, lelaki ditahan
TUARAN: Ketika populasi penyu terus berdepan ancaman kepupusan, masih ada pihak yang sanggup menyimpan dan memperdagangkan telurnya untuk meraih keuntungan. Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar apabila Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bersama Perisikan Siasatan Khas (WCB) merampas 300 biji telur disyaki telur Penyu Hijau dalam serbuan di Kampung Serusup, di sini, semalam. Dalam operasi khas yang dijalankan hasil risikan dan siasatan bersama itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. JHL Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, pemeriksaan yang dijalankan menemukan 300 biji telur yang dipercayai telur Penyu Hijau dengan anggaran nilai rampasan RM3,000. Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki hasil haiwan yang dilindungi sepenuhnya tanpa kebenaran yang sah. “Jabatan memandang serius sebarang aktiviti membabitkan pemilikan, perdagangan atau penyeludupan hidupan liar dan akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan bagi memastikan spesies yang dilindungi terus terpelihara. “Walaupun pelbagai kempen perubahan sikap dan program kesedaran dilaksanakan, permintaan terhadap telur penyu masih wujud dan terus mendorong aktiviti penyeludupan serta penjualan haram,” katanya. Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli, memiliki atau memakan telur penyu kerana ia merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang. Katanya, sebarang maklumat berkaitan penjualan atau penyeludupan telur penyu hendaklah segera disalurkan kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah hidupan liar serta melindungi populasi penyu di Sabah. – Info X
June 10, 2026
Info X Reporters
Keputusan AGC bukti perundangan bukan berasaskan spekulasi
KOTA KINABALU: Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan aduan ahli perniagaan, Albert Tei, terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) membuktikan proses perundangan negara bukan berasaskan persepsi atau spekulasi. Bekas Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said yang menyambut baik keputusan AGC itu, berkata ia membuktikan setiap dakwaan yang dikemukakan kepada pihak berkuasa perlu disokong fakta, keterangan dan bukti yang mencukupi sebelum sebarang tindakan boleh diambil. Katanya, keputusan AGC yang mendapati elemen kesalahan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan tidak dapat dibuktikan wajar dihormati semua pihak kerana ia dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). “Keputusan ini menunjukkan sistem perundangan negara berfungsi mengikut proses yang sewajarnya dan berasaskan bukti, bukannya persepsi atau spekulasi. “Pada masa yang sama, perkembangan ini juga menimbulkan persoalan yang wajar diteliti berhubung asas dakwaan yang telah dibuat sebelum ini serta maklumat yang dikemukakan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau merujuk kenyataan AGC yang memutuskan aduan Albert terhadap Azam sebagai NFA kerana tiada bukti elemen kesalahan ugutan jenayah. Jerry berkata, isu itu mendapat perhatian ramai berikutan dakwaan Albert Tei terhadap apa yang berlaku di antara beliau dan Azam sebelum ini. Katanya, disebabkan dakwaan itu mencetuskan perhatian umum serta memberi implikasi kepada reputasi individu dan institusi yang terlibat, semua aspek berkaitan perlu diteliti secara menyeluruh berdasarkan fakta dan bukti. Jerry turut merujuk kepada penafian yang pernah dibuat oleh Azam berhubung dakwaan terhadapnya. Katanya, Azam sebelum ini dilaporkan menegaskan bahawa beliau tidak mengenali Albert Tei, tidak pernah berurusan atau berkomunikasi dengannya, selain menafikan pernah menghantar mana-mana peguam untuk berjumpa pihak berkenaan. Beliau berkata, perkembangan terbaru apabila Azam memfailkan saman fitnah terhadap Albert Tei di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung kenyataan yang diterbitkan di media sosial dan platform dalam talian menunjukkan bahawa perkara itu kini turut melalui proses perundangan di mahkamah. Katanya, berdasarkan laporan media, Azam melalui firma guamannya menegaskan bahawa dakwaan yang dikaitkan terhadap beliau adalah tidak berasas dan tidak benar, selain memfailkan tindakan undang-undang bagi mempertahankan reputasi serta nama baik yang dibina sepanjang perkhidmatannya dalam sektor awam. “Percanggahan antara dakwaan, penafian dan kini tindakan saman fitnah yang difailkan menguatkan lagi keperluan supaya semua fakta diteliti secara menyeluruh bagi menentukan kebenaran sebenar. “Dalam situasi seperti ini, apa yang penting ialah kebenaran berdasarkan fakta dan bukti. Semua pihak perlu menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan,” katanya. Beliau berkata, susulan keputusan AGC itu, perhatian kini wajar diberikan kepada persoalan sama ada terdapat unsur laporan palsu, penyampaian maklumat mengelirukan atau dakwaan yang tidak mempunyai asas kukuh ketika laporan berkenaan dibuat. Menurutnya, isu itu menjadi lebih signifikan memandangkan dakwaan yang dikemukakan sebelum ini membabitkan tuduhan serius terhadap seorang pegawai kanan penguatkuasa dan telah mendapat perhatian meluas masyarakat. “Apabila sesuatu dakwaan gagal dibuktikan sehingga tiada tindakan lanjut diambil, maka adalah munasabah untuk pihak berkuasa meneliti sama ada terdapat unsur-unsur lain yang mungkin menyalahi undang-undang. “Sekiranya terdapat bukti bahawa mana-mana pihak dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu, mengelirukan atau berniat jahat kepada pihak berkuasa, tindakan sewajarnya hendaklah diambil tanpa mengira siapa individu terbabit,” katanya. Jerry berkata, rakyat perlu diberi keyakinan bahawa sistem perundangan negara bukan sahaja bertindak terhadap pihak yang melakukan kesalahan, malah turut mengambil tindakan terhadap individu yang sengaja mengemukakan laporan palsu atau dakwaan tidak berasas. Menurutnya, tindakan sedemikian penting bagi memelihara integriti institusi penguat kuasa serta mengelakkan penyalahgunaan proses undang-undang bagi tujuan tertentu. “Mana-mana individu yang cuba memperalatkan institusi penguat kuasa untuk kepentingan peribadi, politik atau perniagaan perlu bertanggungjawab atas perbuatannya. “Setiap rakyat mempunyai hak untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa, namun hak tersebut mesti digunakan secara bertanggungjawab dan berlandaskan fakta yang benar,” katanya. Jerry berkata, sekiranya terdapat pihak yang didapati sengaja mereka-reka tuduhan, mengemukakan maklumat palsu atau memperdayakan pihak berkuasa bagi memburukkan individu lain, tindakan undang-undang perlu dikenakan tanpa kompromi. Katanya, tindakan terhadap pihak yang sengaja membuat tuduhan tidak berasas adalah penting bagi memastikan integriti sistem perundangan negara terus terpelihara dan tidak disalahgunakan untuk kepentingan tertentu. Beliau berkata, prinsip keadilan menuntut supaya semua pihak diberikan ruang dan peluang untuk membela diri, manakala setiap dakwaan pula hendaklah disokong oleh bukti yang sahih. – Info X
June 10, 2026
Info X Reporters
Penunggang motosikal maut bertembung kereta di Kota Marudu
KOTA MARUDU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kampung Sumbilingon, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Ronaldo Ignasius, 27, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian perut dan beberapa anggota badan lain. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta yang berada di laluan sah. Menurutnya, ketika kejadian kereta berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 66 tahun dari arah Bulatan Timbang Batu menuju ke Bulatan Popok. “Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah pada bahagian perut dan anggota badan lain sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kota Marudu pada jam 6.18 petang. “Pemandu kereta mengalami kecederaan ringan di kepala manakala penumpangnya, seorang wanita berusia 65 tahun, cedera pada bahagian bahu kiri dan menerima rawatan di Hospital Kota Marudu,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Marudu untuk proses bedah siasat yang dijadualkan dijalankan hari ini. Katanya, siasatan turut mendapati kedua-dua pemandu tidak memiliki lesen memandu yang sah. Menurut Simiun, keadaan jalan ketika kejadian adalah lurus dengan satu lorong dua hala dan garisan putih putus-putus di tengah jalan. “Permukaan jalan didapati basah akibat hujan, namun keadaan cuaca masih terang pada waktu siang ketika kemalangan berlaku. “Pemeriksaan mendapati kereta mengalami kerosakan pada bahagian hadapan manakala motosikal rosak teruk di bahagian depan,” katanya. Beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X
June 10, 2026
Info X Reporters
Keluar parti ibarat proses ‘pembersihan’ semulajadi
KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan tindakan beberapa pemimpin yang keluar dari parti itu sebagai proses ‘pembersihan’ semulajadi. Menerusi satu kenyataan pada Rabu, ADUN Senallang itu, berkata ia mungkin hikmah di sebalik perkembangan politik yang berlaku dalam parti berkenaan. Katanya, Warisan akan menjadi lebih kuat apabila hanya ahli dan pemimpin yang benar-benar komited terhadap perjuangan parti kekal bersama mereka. “Jika ada hikmah di sebalik perkembangan ini, ia adalah proses pembersihan yang berlaku secara semula jadi. “Sesebuah gerakan politik menjadi lebih kuat apabila mereka yang benar-benar komited terus kekal, manakala mereka yang kesetiaannya bergantung kepada jawatan, pencalonan atau kepentingan peribadi memilih untuk pergi,” katanya. Beliau turut menjelaskan, pemimpin terbaharu yang meninggalkan parti itu bukanlah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat. Sebaliknya, beliau berkata mereka hanyalah segelintir bekas ketua bahagian dan bekas pemegang jawatan parti. “Itu adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi dan saya mendoakan yang terbaik buat mereka. “Hakikatnya cukup jelas. Kekuatan Warisan tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu. Kekuatan Warisan terletak pada ahli-ahli biasa, sukarelawan akar umbi dan rakyat Sabah yang terus percaya kepada perjuangan yang bersih dan berprinsip demi negeri ini,” katanya. Katanya, dalam politik, sesebuah parti akan melalui pelbagai fasa dan mereka yang benar-benar ikhlas serta komited kepada perjuangan akan terus kekal. Beliau berkata, mereka yang kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon atau kerana kehendak peribadi mereka tidak dapat dipenuhi, lazimnya akan memilih haluan yang berbeza. “Warisan pernah melalui situasi seperti ini sebelum ini. Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, beberapa wakil rakyat yang menang atas tiket Warisan telah memilih untuk mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat. “Mereka menjadi katak politik, melompat parti demi kepentingan sendiri walaupun dipilih atas kepercayaan dan sokongan pengundi Warisan. Namun Warisan terus berdiri teguh,” katanya. Shafie mendakwa, ada yang meninggalkan parti kerana melihat politik sebagai soal apa yang boleh diberikan oleh parti kepada mereka, manakala mereka yang kekal pula memahami bahawa politik adalah mengenai apa yang boleh disumbangkan kepada Sabah. Jelasnya, mereka yang mendakwa Warisan semakin lemah sudah mengulangi dakwaan yang sama berkali-kali selama ini. “Mereka mengatakannya ketika wakil rakyat melompat parti, ketika pemimpin kanan meninggalkan parti, malah selepas pilihan raya tahun lalu. “Namun Warisan tetap berdiri kerana perjuangan kami tidak pernah dibina atas jawatan, gelaran atau individu tertentu. Perjuangan ini dibina atas aspirasi rakyat yang mahukan masa depan yang lebih baik untuk Sabah. “Mereka yang tidak mampu bertahan menghadapi ujian kesabaran ketika berada di blok pembangkang tidak akan mampu memikul tanggungjawab untuk mentadbir,” katanya. Ahli Parlimen Semporna itu turut mengulangi perjuangan Warisan yang akan terus memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan hak-hak Sabah, memperkukuh ekonomi negeri, mewujudkan lebih banyak peluang untuk generasi muda serta membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat. Katanya, apa yang berlaku hanyalah satu bab kecil dalam perjalanan perjuangan yang jauh lebih panjang. “Warisan tetap utuh dan akan terus mara ke hadapan. Perjuangan untuk Sabah akan terus menjadi keutamaan kami,” katanya. Semalam beberapa pemimpin Warisan Kota Belud dilapor meninggalkan parti selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu dan kemudiannya menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui kerajaan negeri. – Info X
June 10, 2026
Info X Reporters
Sindiket ‘calling centre’ tumpas, 341 ditahan, RM1.1 juta barangan dan wang tunai dirampas
KOTA KINABALU: Seramai 341 individu ditahan manakala pelbagai barangan dan wang tunai bernilai lebih RM1.1 juta dirampas menerusi 12 operasi khas membanteras sindiket calling center yang dijalankan di lima daerah di Sabah serta Labuan sejak Januari lalu. Operasi dikenali sebagai ‘Ops Pelican’ itu dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sabah hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang menjadikan Sabah sebagai pangkalan operasi mereka. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak empat operasi dijalankan di Kota Kinabalu, masing-masing tiga di Tawau dan Labuan serta satu operasi di Sandakan dan Penampang. Menurutnya, siasatan mendapati sindiket terbabit menjalankan pelbagai aktiviti jenayah komersil termasuk penipuan pelaburan tidak wujud, pelaburan saham palsu, love scam, pinjaman wang tidak wujud, penyamaran sebagai pegawai polis dan perjudian dalam talian. “Mereka turut terbabit dalam aktiviti menerima serta memindahkan wang hasil penipuan selain menjalankan penipuan dan perjudian dalam talian rentas sempadan. “Kebanyakan sindiket menggunakan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, Telegram, Kakao Talk, Line dan Band bagi memperdaya mangsa sebelum mengarahkan mereka membuat transaksi kewangan ke akaun yang dikawal sindiket,” katanya dalam sidang media, hari ini. Hadir sama, Ketua JSJK Sabah, Superintendan Yeoh Chun Shyan. Beliau berkata, mangsa yang menjadi sasaran bukan sahaja rakyat Malaysia malah membabitkan warga beberapa negara lain termasuk Korea Selatan, Taiwan, Amerika Syarikat, Jepun, Brazil, Hong Kong dan Thailand. Katanya, dalam operasi berkenaan, polis menahan 341 individu berusia antara 17 hingga 60 tahun yang dipercayai terbabit secara langsung dalam kegiatan sindiket calling center. “Daripada jumlah itu, 305 adalah lelaki dan 36 perempuan. Mengikut kewarganegaraan pula, seramai 303 adalah warga China, 27 warga Malaysia, sembilan warga Vietnam serta masing-masing seorang warga Taiwan dan Laos. “Siasatan mendapati kebanyakan suspek berperanan sebagai penyelia operasi, khidmat pelanggan, pengatur cara sistem, pengurus projek, pentadbir kewangan, penghantar wang serta individu yang mengendalikan komunikasi dengan mangsa,” katanya. Selain tangkapan, beliau berkata polis turut merampas 1,109 telefon bimbit, 128 komputer dan desktop, 20 komputer riba, 18 modem serta peranti internet selain wang tunai berjumlah RM210,265. “Turut dirampas ialah dokumen kewangan, kad SIM, skrip penipuan, peralatan komunikasi, dokumen transaksi serta uniform dan aksesori yang digunakan bagi tujuan penyamaran. “Secara keseluruhan, sebanyak 1,542 barangan kes dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM1.107 juta,” katanya. Jauteh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan selain beberapa peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Menurutnya, polis berjaya menuduh 11 daripada 12 kes yang disiasat manakala satu lagi kes masih dalam tindakan lanjut. Sementara itu, beliau berkata JSJK Sabah akan terus memperhebat operasi risikan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan negeri ini tidak dijadikan pusat operasi sindiket penipuan tempatan mahupun antarabangsa. “Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan, pinjaman mudah, urusan percintaan dalam talian serta panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa,” katanya. – Info X
June 10, 2026
Info X Reporters
Op Bayu 9: Syabu hampir RM8 juta dirampas, tiga individu ditahan
KOTA KINABALU: Tiga individu termasuk seorang wanita berjaya ditahan bersama dadah bernilai keseluruhan hampir RM8 juta dalam beberapa siri operasi serbuan di daerah ini, 22 Mei lalu. Hasil operasi yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah itu berjaya merampas dadah jenis syabu sebanyak 159.8 kilogram daripada rangkaian pengedaran berkenaan. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pasukan operasi berjaya mengesan seorang lelaki warga yang dilihat sedang mengangkat kotak sebelum melarikan diri ke arah pusat beli-belah City Mall. Katanya, suspek bagaimanapun berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan terhadap kotak berkenaan menemukan sembilan bungkusan dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 9.1 kilogram. “Susulan penahanan itu, polis melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Luyang dan sekali lagi berjaya menemukan 64 paket plastik lutsinar yang telah dikoyakkan dan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah. “Operasi diteruskan di sebuah hotel di pusat bandaraya dan menahan seorang lelaki serta wanita yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah berkenaan,” katanya pada sidang media di IPK Sabah, di sini, hari ini. Menurutnya, serbuan diteruskan dengan dipandu arah oleh suspek pertama dan berjaya merampas tambahan 68 bungkusan dadah disyaki syabu seberat 69.8 kilogram di sebuah unit kediaman pangsapuri di Inanam. “Pada kira-kira jam 11.10 malam hari sama, hasil soal siasat lanjut membawa kepada pemeriksaan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza berwarna putih di kawasan parkir apartment berkenaan. “Pemeriksaan berjaya menemukan 79 bungkusan dadah disyaki syabu seberat 80.9 kilogram yang disembunyikan di bahagian pintu penumpang, tempat duduk belakang serta ruangan belakang kenderaan berkenaan. “Secara keseluruhan, polis merampas 156 bungkusan syabu dengan berat keseluruhan 159.8 kilogram yang dianggarkan bernilai RM7.99 juta,” katanya. Jauteh berkenaan, tangkapan melibatkan tiga warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 49 tahun dan hasil ujian saringan air kencing mendapati hanya suspek wanita positif dadah. Katanya, semakan rekod lampau turut mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau kesalahan dadah sebelum ini. “Namun, pembongkaran sindiket itu belum berakhir apabila polis kini memburu tiga lagi ahli kumpulan berkenaan yang dipercayai masih bebas. “Identiti semua suspek yang dikehendaki sudah dikenal pasti dan usaha mengesan mereka sedang dipergiatkan bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya. Sementara itu, Jauteh menegaskan, pihaknya berjaya menyita dua kenderaan Proton X50 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket berkenaan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan,” katanya. Sehubungan itu, Jauteh menegaskan, jumlah dadah yang dirampas kali ini dianggarkan mampu menampung kegunaan lebih 454,000 penagih dadah. “JSJN Sabah komited untuk terus membanteras kegiatan pengedaran dadah di negeri ini dan menyeru orang ramai membantu menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222. “Dadah adalah musuh nombor satu negara dan usaha memeranginya memerlukan kerjasama semua pihak bagi melindungi generasi masa kini dan akan datang,” tegasnya. – Info X
June 9, 2026
Info X Reporters
Pemimpin Warisan keluar parti, Loretto kata sudah dijangka
KOTA KINABALU: Seorang Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan hari ini mengetuai beberapa pemimpin dan ahli Warisan Kota Belud meletak jawatan dan meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat). Naib Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Mohd Taib Isai itu membuat keputusan berkenaan atas dakwaan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi Warisan. Mohd Taib berkata, langkah itu dibuat selepas menilai perkembangan politik semasa dan kegagalan kepimpinan parti menyatukan kekuatan politik Sabah demi kepentingan rakyat dan negeri. Katanya, ramai pemimpin akar umbi semakin kecewa kerana pandangan mereka tidak lagi diberikan perhatian selain beranggapan parti itu semakin jauh daripada aspirasi rakyat Sabah. “Keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya setelah menilai perkembangan politik semasa dan hala tuju perjuangan yang lebih sesuai untuk masa depan Sabah. “Kami melihat keperluan kepada sebuah wadah politik yang mampu menjamin kestabilan, perpaduan serta pembangunan berterusan untuk negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Mohd Taib berkata, beliau yakin kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berjaya mewujudkan kestabilan politik dan menyatukan pelbagai pemimpin serta parti tempatan di bawah agenda pembangunan yang jelas. Katanya, pendekatan inklusif dan sederhana yang dibawa Hajiji turut memberi keyakinan bahawa masa depan Sabah lebih terjamin di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Sehubungan itu, beliau bersama kumpulannya mengambil keputusan menyertai Gagasan Rakyat dan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Hajiji dalam meneruskan agenda pembangunan negeri. “Kami percaya perjuangan melalui Gagasan Rakyat dan GRS lebih selari dengan aspirasi rakyat Sabah yang mahukan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan pembangunan berterusan,” katanya. Beliau turut menjangkakan gelombang sokongan terhadap Gagasan Rakyat dan GRS akan terus meningkat dengan lebih ramai pimpinan serta ahli Warisan dijangka mengambil langkah sama dalam masa terdekat. Antara pemimpin Warisan yang turut mengumumkan keluar parti ialah Ketua Wanita Warisan Kudat merangkap Exco Wanita Pusat, Datin Roziah; Ketua Wanita Warisan Kota Marudu merangkap Exco Wanita Pusat, Maini Tapah; serta Ketua Wanita Warisan Sandakan merangkap Exco Wanita Pusat, Masilah Lidah. Turut bersama meninggalkan parti ialah mantan Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Datuk Hanjan Samit; mantan Naib Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Andrew Lintangah; Penyelaras DUN Tanjung Kapor, Datuk Arif Abdullah; dan mantan Timbalan Ketua Penaja Bahagian Warisan Kudat, Abu Bakar Angkang. Selain itu, beberapa ahli jawatankuasa bahagian, ketua pusat daerah mengundi (PDM) serta pemimpin akar umbi dari Kota Belud, Kudat, Kota Marudu dan Sandakan turut menyatakan sokongan kepada Gagasan Rakyat. Sementara itu, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata tindakan Taib itu dan beberapa yang lain sudah dijangka kerana perkara itu bermula sejak selepas pengumuman calon PRN17. “Warisan menghargai sumbangan serta komitmen mereka kepada parti selama ini dan mengucapkan terima kasih terutamanya Taib Isai kerana beliau adalah antara pemimpin lantang menentang GRS dan Hajiji selama ini. “Keputusan meninggalkan Warisan adalah satu keputusan yang parti tidak dapat halang, namun, adalah tidak adil dan tidak matang untuk membuat kenyataan menuduh kepimpinan parti dengan pelbagai tuduhan. “Saya percaya bahawa saudaraTaib tidak akan memuji YAB DSP Hajiji sekiranya keputusan PRN17 yang baru lalu tidak memihak kepada GRS. “Mereka perlu sedar bahawa ramai dalam kalangan pemimpin parti yang layak untuk menjadi calon tetapi akhirnya parti hanya dapat memilih 73 orang calon sahaja,” katanya dalam kenyataan balas beliau pada Selasa. – Info X
June 9, 2026
Info X Reporters
Gara-gara 10 ekor ikan ‘bom’, tiga lelaki didenda RM2,000
TAWAU: Tiga lelaki masing-masing didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah memiliki 10 ekor ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan pada awal bulan ini. Tertuduh, Tarasani Baltapa, 50, Jumsele Ingsang, 38, dan Mahandias Sabturani, 37, masing-masing diperintah membayar denda itu atau berdepan penjara tiga bulan jika gagal membuat bayaran. Hukuman itu dijatuhkan hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas pertuduhan dibacakan terhadap ketiga-tiga tertuduh di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa. Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didapati memiliki 10 ekor ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan ketika berada di sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran di perairan Tanjung Kiraz, pada jam 2.30 petang, 2 Jun lalu. Berikuran itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(b) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Laester Bulun, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X