May 8, 2026
Info X Reporters
132 warga asing ditahan dalam ops imigresen di Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sandakan
KOTA KINABALU: Seramai 132 warga asing termasuk wanita dan kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam beberapa operasi penguatkuasaan berasingan di Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Sandakan, semalam. Operasi menerusi Ops Sapu, Ops Kutip, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar itu dijalankan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen. Dalam operasi di Lahad Datu, seramai 81 individu diperiksa sebelum 52 warga asing ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah serta melanggar syarat pas mengikut Akta Imigresen 1959/63. Semua yang ditahan terdiri daripada warga Filipina membabitkan 11 lelaki dewasa, 17 wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan 15 kanak-kanak perempuan. Sementara itu di Kota Kinabalu, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar memeriksa 67 individu dengan tujuh warga asing ditahan. Mereka terdiri daripada enam lelaki warga Filipina dan seorang wanita warga Indonesia yang disyaki melakukan kesalahan imigresen. Di Sandakan pula, seramai 147 individu diperiksa sebelum 73 warga asing ditahan dalam Ops Sapu. Tangkapan membabitkan 12 lelaki dewasa, 19 wanita dewasa, 22 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan warga Filipina selain seorang wanita serta seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia. JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua tahanan dibawa ke depot imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63. Menurut kenyataan itu, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara terus dipelihara. – Info X
May 8, 2026
Info X Reporters
PPM serah rampasan 7,850 liter petrol disyaki diseleweng kepada KPDN Semporna
SEMPORNA: Sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Mesra, di sini, dipercayai dijadikan tempat menyimpan petrol untuk kegiatan penyelewengan sebelum diserbu pihak berkuasa, semalam. Dalam operasi itu, sebanyak 7,850 liter minyak petrol disimpan di dalam 314 jeriken berjaya dirampas bersama dua bot laju serta dua enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda (hp) yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan. Rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM63,208.60. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima dua serahan kes rampasan tanpa tuan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) semalam Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati semua barang kawalan terbabit dipercayai diseleweng dan disimpan tanpa kebenaran sah. “Susulan itu, KPDN Semporna membuka dua kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut,” katanya. KPDN turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya tidak terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan kerana tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang. – Info X
May 8, 2026
Info X Reporters
KPDN serbu stor kuari simpan 8,155 liter diesel tanpa permit
TUARAN: Kegiatan menyimpan lebih 8,000 liter minyak diesel tanpa permit terbongkar selepas sebuah stor premis kuari di Kampung Kindu, Jalan Tuaran, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kelmarin. Serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) itu dijalankan sepasukan penguat kuasa KPDN Cawangan Tuaran hasil risikan selama tiga hari terhadap premis berkenaan. Ketua Cawangan KPDN Tuaran, Fredlee Sintau berkata, hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 8,155 liter minyak diesel disyaki disimpan di dalam sebuah skid tank. Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk barang kawalan itu dianggarkan berjumlah RM54,093.10. “Siasatan awal mendapati premis terbabit gagal mengemukakan lesen atau permit sah bagi penyimpanan barang kawalan berjadual. “Seorang pekerja premis turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, KPDN akan terus mempergiat pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di negeri ini. “Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan barang kawalan dan tindakan tegas akan diambil,” katanya. – Info X
May 7, 2026
Info X Reporters
Tagih baki hutang punca remaja dikelar
PENAMPANG: Tuntutan baki hutang kerja membaiki paip rumah dipercayai menjadi punca seorang remaja perempuan warga asing dikelar di leher dalam kejadian di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 16 tahun mengalami luka kelar di leher serta kecederaan di kepala selepas diserang suspek lelaki warga asing berusia 29 tahun. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati suspek datang ke rumah mangsa untuk berjumpa kakak ipar mangsa bagi menuntut baki hutang kerja membaiki paip rumah. Katanya, ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak buahnya kerana membantu menjaga kanak-kanak terbabit semasa kakak iparnya keluar bekerja. “Ketika kejadian, mangsa sedang memegang sebilah pisau kerana menyiapkan masakan di dapur sebelum suspek mendakwa mangsa mengeluarkan kata-kata kasar sehingga menyebabkan dia berasa marah. “Suspek kemudian bertindak merampas pisau daripada tangan mangsa sebelum mengelar leher mangsa dan menolak mangsa ke dinding tandas sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan leher,” katanya dalam kenyataan media, malam ini. Menurutnya, selepas kejadian suspek melarikan diri dari lokasi sebelum berjaya diberkas polis kira-kira jam 5.50 petang di kawasan semak tepi Jalan Pekan Kinarut Lama, Papar. “Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. “Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya. Tambah beliau lagi, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu. Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita palsu berhubung kejadian itu yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta mengganggu siasatan polis. Katanya, sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang, ASP Hairie Awang Akub di talian 016-8032849. – Info X
May 7, 2026
Info X Reporters
Tidak sampai lima jam, suspek kes kelar remaja perempuan diberkas
PENAMPANG: Tidak sampai lima jam selepas seorang remaja perempuan ditemui berlumuran darah akibat dikelar di leher di dalam tandas rumah sewa di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di sini, suspek lelaki dipercayai terbabit berjaya diberkas polis petang tadi. Suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang menjalankan operasi mengesan suspek kira-kira jam 5.30 petang. Difahamkan, suspek diberkas di kawasan semak di Jalan Kinarut Lama. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit. Katanya, maklumat lanjut berhubung penahanan suspek akan dikongsikan kemudian. Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa perempuan warga asing berusia 16 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam tandas rumah sewa di Kampung Tuntuluk. Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian leher sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut. – Info X
May 7, 2026
Info X Reporters
Remaja perempuan cedera dikelar di leher
PENAMPANG: Seorang remaja perempuan warga asing berusia 16 tahun cedera di leher selepas dipercayai dikelar menggunakan pisau dalam kejadian di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di sini, tengah hari tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dalam tandas rumah sewa sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut. Difahamkan, ketika kejadian mangsa berada di rumah sewa berkenaan sebelum didatangi suspek yang juga dipercayai kenalan mangsa. Menurut pemilik rumah sewa, dia dihubungi salah seorang penyewa yang meminta dia segera datang ke rumah berkenaan yang terletak bersebelahan rumahnya. “Sebaik menghampiri rumah, saya nampak seorang lelaki berlari menaiki bukit di depan rumah di jalan kampung itu. “Masa itu saya tidak syak apa-apa, tetapi apabila masuk ke rumah sewa saya nampak mangsa terbaring dalam tandas dengan keadaan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Menurutnya, mangsa dipercayai mengalami kecederaan di leher akibat dikelar menggunakan pisau. “Saya terus hubungi kakak mangsa sebelum dia datang dan menghubungi pihak berkuasa. “Sepanjang mereka menyewa di sini tiada sebarang masalah berlaku. Saya difahamkan suspek tinggal di lorong sebelah kampung ini,” katanya. Difahamkan, mangsa tinggal bersama kakaknya di rumah berkenaan sejak kira-kira tiga tahun lalu dan ketika kejadian sedang menjaga anak kakaknya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan di bahagian leher. Katanya, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki lingkungan usia 30-an bagi membantu siasatan kes berkenaan. “Pasukan polis termasuk Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sudah berada di lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut. “Kes masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang, ASP Hairie Awang Akub di talian 016-8032849,” katanya. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta ketenteraman awam. – Info X
May 7, 2026
Info X Reporters
Semporna perlu perancangan menyeluruh majukan pelancongan, kembangkan ekonomi biru – KM
SEMPORNA: Perancangan menyeluruh, termasuk menambah fasiliti sedia ada perlu dilaksanakan bagi menjadikan Semporna sebagai daerah pelancongan yang hebat, selain mengembangkan potensinya dalam sektor ekonomi biru. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata daerah ini cukup istimewa kerana memiliki destinasi tumpuan yang terkenal di seluruh dunia, khususnya Pulau Sipadan, selain pulau lain yang menarik kedatangan pengunjung. Beliau berkata, Semporna juga mempunyai potensi perikanan dan aktiviti marin yang boleh dikembangkan menerusi penerokaan sektor ekonomi biru yang disasar mampu menyumbang hasil yang besar kepada rakyat dan negeri. “Semporna ini bukan saja pelancongan, tapi perikanan dan sumber marinnya juga cukup hebat sekali. Pegawai Daerah dalam taklimatnya juga ada perancangan yang baik untuk masa depan Semporna termasuk menjaga kebersihannya dan meningkatkan fasiliti lain seperti jeti di pulau-pulau dan lain-lain lagi. “Semua ini akan dilihat secara menyeluruh untuk memastikan Semporna menjadi sebuah daerah pelancongan yang hebat kerana di sini ada Pulau Sipadan dan pulau lain yang cukup dikenali,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan daerah Semporna ketika lawatannya di Pulau Mataking, di sini, pada Khamis. Lawatan ke pulau itu bersempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang bermula di Sandakan pada Selasa, sebelum ke Lahad Datu pada Rabu dan berakhir di Semporna pada Khamis. Hajiji berkata, jika dipelihara dengan baik, sektor pelancongan di Semporna mampu menjadi khazanah yang tidak ternilai bukan saja di Sabah, malah di Malaysia keseluruhannya. “Kita perlu melakukan yang terbaik untuk meningkatkan lagi kemudahan dan juga apa yang diperlukan di daerah ini selaras dengan pembangunan pelancongan Semporna, begitu juga di Lahad Datu dan Sandakan,” katanya. Mengenai potensi ekonomi biru, Ketua Menteri berkata pembangunan sektor itu digariskan dalam pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai antara usaha menambah hasil negeri. “Kita akan meneroka sumber ekonomi biru dalam lima tahun akan datang dan mudah-mudahan ia menjadi aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan hasil negeri dan rakyat setempat,” katanya. Terdahulu, Hajiji berkata program lawatannya ke gugusan pulau di sekitar Semporna, selain di Sandakan dan Lahad Datu sebelum ini adalah meninjau sendiri keadaan keselamatan terutama di pulau-pulau sekitar pantai timur Sabah. Katanya, beliau juga mahu melihat keadaan pos kawalan keselamatam di pulau terbabit, selain mendengar taklimat mengenai pembangunan daerah di tiga daerah yang dilawati sepanjang jelajah berkenaan. Sementara itu, pada program di Semporna, Hajiji turut melawat Pulau Sipadan dan mendengar taklimat ringkas daripada Taman-Taman Sabah mengenai perkembangan di pulau itu, disusuli peletakan batu asas pos keselamatan di Pulau Ligitan. – Info X
May 7, 2026
Info X Reporters
28 warga asing diberkas, sindiket pelaburan saham palsu tumpas di Tawau
TAWAU: Kegiatan sindiket penipuan pelaburan saham secara atas talian yang menyasarkan warga Korea tumpas apabila polis menyerbu sebuah rumah di Bandar Sri Indah, di sini, kelmarin. Dalam serbuan itu, seramai 28 warga asing terdiri daripada 27 warga China dan seorang warga Vietnam berusia antara 21 hingga 51 tahun ditahan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Task Force KDNKA. Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai masuk ke Sabah bagi menjalankan aktiviti penipuan pelaburan saham tidak wujud menerusi beberapa platform aplikasi komunikasi pesanan segera. “Sindiket ini dipercayai menyasarkan warga Korea sebagai mangsa utama mereka. “Lokasi yang diserbu dijadikan tempat tinggal dan rehat selain pusat operasi serta latihan untuk menjalankan kegiatan penipuan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, polis turut merampas 33 telefon bimbit, tiga komputer riba dan dua modem internet dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM50,000. Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek, rangkaian sindiket, jumlah sebenar mangsa serta kerugian yang dialami. “Saya menyeru masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan mencurigakan. “Pastikan setiap urusan kewangan disemak terlebih dahulu dengan pihak berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya. Menurutnya, semua suspek direman bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan. – Info X