Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 3, 2026

Info X Reporters

Mudahkan pembelian BUDI Diesel kepada pengguna di Sabah

KOTA KINABALU: Mekanisme pelaksanaan BUDI Diesel di Sabah masih perlu ditambah baik dengan mengambil kira realiti geografi, sosioekonomi dan corak penggunaan kenderaan masyarakat luar bandar serta pedalaman. Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin, berkata antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah isu pengguna sebenar kenderaan diesel yang kenderaannya tidak didaftarkan atas nama sendiri. “Di Sabah, terdapat kenderaan yang didaftarkan atas nama pasangan, ibu bapa atau ahli keluarga, termasuk disebabkan faktor kelayakan pembiayaan. “Walaupun mekanisme pemindahan kelayakan kepada ahli keluarga terdekat telah disediakan, proses tersebut perlu dipermudah supaya pengguna sebenar yang layak tidak tercicir daripada menerima subsidi,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, aspek mekanisme pelaksanaan itu perlu ditambah baik seiring langkah kerajaan menaikkan kuota pembelian diesel bersubsidi kepada 400 liter sebulan mulai 1 September, berbanding 200 liter sebelum ini. Bagaimanapun, katanya kerajaan masih perlu menilai sama ada had baharu 400 liter diesel itu benar-benar mencukupi bagi masyarakat luar bandar dan pedalaman Sabah. Jelasnya, bagi masyarakat di kawasan seperti Tenom, kenderaan pikap dan pacuan empat roda bukanlah lambang kemewahan, sebaliknya menjadi kenderaan kerja dan nadi untuk mencari rezeki. “Jarak perjalanan yang panjang serta keadaan muka bumi dan jalan raya yang mencabar menyebabkan corak penggunaan diesel di Sabah tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan kawasan bandar yang mempunyai jaringan pengangkutan awam dan infrastruktur lebih baik. “Sekiranya kuota habis sebelum penghujung bulan, kos tambahan yang terpaksa ditanggung akhirnya akan memberi kesan kepada pendapatan masyarakat luar bandar, kos membawa hasil pertanian dan kegiatan ekonomi setempat,” katanya. Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menimbangkan mekanisme kuota tambahan berdasarkan keperluan dan kategori pengguna, khususnya bagi petani, pekebun kecil serta penduduk pedalaman yang menggunakan kenderaan diesel untuk mencari rezeki. Riduan turut menekankan kepentingan penguatkuasaan terhadap ketirisan dan penyeludupan diesel yang perlu terus diperketatkan. Tegasnya, pemantauan di sempadan, rantaian bekalan dan transaksi bahan api perlu diperkasakan supaya subsidi negara tidak dinikmati oleh pihak yang tidak layak. “Ketirisan perlu ditutup pada puncanya, bukannya dengan mengehadkan keperluan rakyat Sabah yang benar-benar memerlukan diesel untuk kehidupan dan pekerjaan mereka. “Saya percaya matlamat penyasaran subsidi adalah baik. Namun, Sabah mempunyai realiti yang berbeza dan mekanisme pelaksanaannya perlu mempunyai fleksibiliti yang mengambil kira keadaan tersebut. “Subsidi bersasar perlumenyasarkan pihak yang layak, bukannya mengehadkan mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya. Terdahulu, Riduan berkata keputusan kerajaan Persekutuan meningkatkan kelayakan BUDI Diesel kepada 400 liter sebulan menunjukkan kerajaan mendengar maklum balas rakyat. – Info X

September 3, 2026

Info X Reporters

Kerajaan negeri terima dividen RM4.08 juta daripada ICSB

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan penyampaian tiga bayaran dividen sebelum Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah di Menara Kinabalu, pada Khamis. Bayaran dividen pertama adalah daripada Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) kepada kerajaan negeri berjumlah RM4.08 juta. Replika cek disampaikan oleh Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman. Bayaran dividen kedua adalah daripada ICSB kepada syarikat induknya, Yayasan Sabah, berjumlah RM168,299,994.90. Ia disampaikan Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya kepada Ghulamhaidar. Bayaran dividen ketiga pula adalah daripada Innoprise Plantations Berhad kepada syarikat induknya, ICSB, berjumlah RM45,689,187.33. – Info X

September 3, 2026

Info X Reporters

Sang Badak tidak takut berdepan Selangor di MBPJ

KOTA KINABALU: Skuad Sang Badak tidak takut untuk berdepan dengan Selangor FC pada perlawanan kedua Pusingan 16 Piala FA di Stadium MBPJ, Selangor pada Rabu depan. Pengendalinya, Juan Torres Garrido, berkata walaupun berdepan di gelanggang lawan, beliau yakin anak buahnya mampu memberikan persembahan yang baik seperti pada perlawanan pertama yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2. Tegasnya, walaupun Selangor dianggap pasukan yang lebih baik berbanding Sabah, pemain Sang Badak membuktikan mereka mempunyai persamaan dalam banyak aspek. “Perasaan saya sepanjang perlawanan malam ini adalah baik. Kita berdepan dengan pasukan yang bagus, yang dikatakan pasukan yang lebih baik berbanding kita. “Tapi, kita menyamai mereka dalam banyak aspek dan berdepan dengan mereka secara bersemuka. Jadi, kita perlu melakukan perkara yang sama pada aksi kedua. “Jika tidak, jika kita takut, mereka pasti akan menewaskan kita,” katanya pada sidang media selepas perlawanan pertama Pusingan 16 Piala FA di Stadium Likas, malam tadi. Perlawanan malam tadi menyaksikan Sabah dan Selangor berkongsi satu mata selepas terikat 2-2 sebagai bekalan untuk ke perlawanan kedua timbal balik nanti. Mengulas perlawanan malam tadi, Garrido berkata Sang Badak sepatutnya dapat menjaringkan lebih banyak gol berdasarkan peluang dan cubaan menarik dicipta anak buahnya sepanjang permainan. “Saya fikir kita sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol hari ini, jadi kita perlu memperbaiki perkara itu. Kita mencipta peluang yang mencukupi dalam permainan terbuka untuk menjaringkan gol. “Jika kita sedikit lebih bernasib baik, kita boleh menamatkan perlawanan dengan kelebihan,” katanya. Berikutan itu, katanya beliau perlu melihat semula kelemahan yang perlu diperbaiki pasukannya untuk berdepan perlawanan kedua nanti. Katanya, anak buahnya bermain dengan baik dan tidak didominasi pasukan pelawat pada perlawanan malam tadi.-Info X

September 3, 2026

Info X Reporters

Gempa bumi lemah di Keningau

KOTA KINABALU: Satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 skala Richter dikesan berlaku di Keningau pada jam 9.31 pagi tadi. Berdasarkan info Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), gegaran dikesan di koordinat 5.3 darjah utara dan 116.1 darjah timur. Gegaran berlaku di kedalaman 10 kilometer kira-kira 10 kilometer di barat Keningau. MetMalaysia melaporkan gegaran dirasai di Keningau dan kawasan sekitarnya.-Info X

September 2, 2026

Info X Reporters

Piala FA: Aksi sengit di Likas, Sabah, Selangor sama kuat

KOTA KINABALU: Sabah FC dan Selangor FC terikat 2-2 dalam perlawanan pertama Pusingan 16 Piala FA yang menyaksikan saingan sengit kedua-dua pasukan di Stadium Likas, di sini, malam ini. Tuan rumah memulakan jaringan pada minit ke-33 menerusi tandukan Dane James Ingham selepas menyambut sepakan sudut yang disempurnakan rakannya, Park Jungbin untuk memberi kelebihan 1-0 kepada Sabah. Kelebihan dimiliki Sang Badak itu bagaimanapun hanya bertahan kira-kira dua minit apabila Selangor berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan percuma pada minit ke-35. Pasukan pelawat berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan penyerangnya, Kay Sheku Tejan selepas menyambut bola sepakan percuma dari rakannya. Aksi kedua-dua pasukan agak seimbang sepanjang babak pertama, namun tiada tambahan jaringan sehingga tamat 45 minit pertama dan tiga minit masa tambahan. Separuh masa kedua menyaksikan Selangor memulakan langkah agresif dan berjaya menambah jaringan menerusi Chrigor Flores Moraes untuk mendahului 1-2 pada minit ke-50. Skuad Sang Badak tidak berdiam diri, sebaliknya mula mengatur serangan balas sebelum berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-58. Jaringan kedua tuan rumah itu muncul selepas pemain tengahnya, Abdul Halim Saari melakukan rembatan leret setelah cubaan pertama melalui sepakan sudut oleh Jungbin dapat dihalang pertahanan Selangor. Tindakan Abdul Halim itu gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi, sekali gus menyelamatkan tuan rumah daripada ditewaskan pasukan pelawat dalam perlawanan pertama Pusingan 16 Piala FA, malam ini. Tiada jaringan berjaya dicipta kedua-dua pasukan selepas masing-masing memiliki dua gol sepanjang baki perlawanan babak kedua yang bersambung dengan tiga minit masa tambahan. Sang Badak juga gagal memanfaatkan kelebihan bermain 11 pemain selepas pertahanan Selangor, Muhammad Safuwan Baharudin dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-78 yang menyebabkan pasukan pelawat terpaksa bermain 10 orang. Kedua-dua pasukan sekali lagi bertemu pada perlawanan kedua Pusingan 16 Piala FA yang dijadualkan pada 9 September ini. – Info X

September 2, 2026

Info X Reporters

Penyeludup cabut lari, rokok RM131,700 ditinggalkan

SANDAKAN: Sekumpulan individu melarikan diri dan meninggalkan 97,800 batang rokok tidak bercukai bernilai RM131,700 selepas kegiatan mereka dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di Jeti Kampung Kombo, Jalan Leila, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian 4.15 pagi itu, pasukan PPM Sandakan yang bertindak hasil maklumat risikan mengesan beberapa individu sedang memunggah barangan dari sebuah bot ke atas jeti. Menyedari kehadiran polis, bot berkenaan terus memecut meninggalkan kawasan berkenaan, manakala beberapa individu di atas jeti turut melarikan diri. Komander PPM Wilayah 4 Sabah berkata, pemeriksaan di sekitar jeti kemudian menemukan sejumlah rokok pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk dari Filipina. “Rampasan membabitkan 40,000 batang rokok Oakley Original, Oakley Original Menthol (10,000), L3 Menthol (16,000) dan L3 Black Menthol (31,800). “Keseluruhan rampasan berjumlah 97,800 batang rokok tidak bercukai dengan anggaran nilai RM131,700,” katanya dalam kenyataan, malam ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Katanya, setakat ini sebanyak 57 kes mengikut Akta Kastam 1967 direkodkan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM8.01 juta, selain 39 individu ditahan. “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan serta lokasi pemunggahan barangan seludup. “Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan kawalan akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X

September 2, 2026

Info X Reporters

Penerbangan terus Indonesia-Tawau perlu ditambah – Konsul Indonesia di Tawau

KOTA KINABALU: Konsul Indonesia di Tawau berharap lebih banyak penerbangan terus menghubungkan Indonesia dan Sabah diwujudkan bagi memudahkan integrasi rakyat kedua-dua wilayah. Bapak Dino Nurwahyudin yang baru memulakan tugas sebagai Konsul Republik Indonesia di Tawau sejak 9 Julai lalu menyatakan harapan itu pada kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini, pada Rabu. Hubungan antara Indonesia dan Sabah begitu erat dan telah terjalin sekain lama. Kita juga berharap adanya lebih banyak penerbangan terus menghubungkan Indonesia dan Sabah bagi memudahkan integrasi rakyat kedua-dua wilayah”, katanya. Mengenai kunjungan hormat itu, Dino berkata ia bagi memperkenalkan dirinya secara rasmi kepada Ketua Menteri selepas dilantik sebagai Ketua Perwakilan KRI di Tawau pada 9, selain membincangkan sasaran dan cadangan beliau sepanjang tempoh penugasan di Sabah. Katanya, pertemuan itu turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai perkara berkepentingan bersama serta mengenal pasti ruang yang boleh diterokai bagi memperkukuh kerjasama dua hala antara Sabah dan Indonesia. Dino mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan diplomatik, termasuk pernah berkhidmat sebagai Konselor di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur dan memegang pelbagai jawatan di Kementerian Luar Negeri Indonesia dan perwakilan diplomatik Indonesia di luar negara. Beliau juga pernah berkhidmat di KRI Tawau dalam bidang Penerangan, Sosial dan Kebudayaan pada 2024 hingga 2025, sebelum dilantik sebagai Ketua Perwakilan KRI Tawau. Turut hadir ialah isteri beliau, Ibu Gain Nrangwesty. – Info X

September 2, 2026

Info X Reporters

Teman lelaki ditahan, wanita maut dipercayai dipukul

PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kematian teman wanitanya yang dipercayai dipukul selepas berlaku perselisihan faham antara mereka. Mangsa berusia 44 tahun sebelum itu dibawa dengan ambulans ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 31 Ogos lalu. Bagaimanapun, wanita berkenaan disahkan meninggal dunia pada malam sama ketika menerima rawatan di hospital. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Penampang menjalankan siasatan sebelum menahan lelaki tempatan berusia 41 tahun. “Lelaki berkenaan dipercayai mempunyai hubungan sebagai teman lelaki mangsa. “Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek sebelum wanita itu dipercayai dipukul,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, pemeriksaan di tempat kejadian dijalankan BSJD Penampang dengan kerjasama Pasukan Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. Katanya, beberapa barangan kes serta sampel berkaitan turut diperoleh untuk tujuan siasatan dan analisis forensik. “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan. “Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan mengenai kejadian ini sehingga siasatan lengkap dan proses undang-undang selesai,” katanya. Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Hairie Awang Akub di talian 016-8032849 atau tampil di balai polis berhampiran. “Polis merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama yang diberikan serta menyeru mereka menyalurkan sebarang maklumat berkaitan bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya. – Info X