April 8, 2026
Info X Reporters
Ditegur nyala lilin, lelaki mengamuk acu gunting ditahan
TAWAU: Tindakan seorang lelaki mengamuk dan mengugut seorang wanita warga emas dengan mengacukan gunting membawa padah apabila dia diberkas polis dalam kejadian di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, di sini, semalam. Dalam kejadian itu, mangsa berusia 58 tahun berada di rumah sebelum didatangi suspek yang dikenali, lalu bertindak agresif selepas ditegur kerana menyalakan lilin di ruang tamu pada waktu siang. Suspek kemudian mengacukan gunting ke arah mangsa sehingga mencetuskan ketakutan sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak berkuasa. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, Pusat Kawalan Daerah (DCC) yang menerima maklumat kejadian segera mengarahkan pasukan MPV ke lokasi bagi tindakan lanjut. Menurutnya, sepasukan polis peronda MPV Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Tawau berjaya mengesan suspek setibanya di lokasi. “Suspek lelaki berusia lingkungan 35 tahun berjaya ditahan dan polis turut merampas sebilah gunting yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – Info X
April 8, 2026
Info X Reporters
Tiga lelaki warga asing ditahan kes rogol remaja
TAWAU: Tiga lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan, di sini. Kejadian terbongkar apabila mangsa mengadu sakit di bahagian kemaluan sebelum dibawa kakaknya ke hospital untuk pemeriksaan. Hasil pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan remaja itu hamil, sebelum mangsa mengaku kepada kakaknya bahawa dia pernah melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki dikenali di sebuah hotel, susulan itu satu laporan polis dibuat. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan laporan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau menjalankan operasi mengesan suspek. Katanya, dua lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an berjaya ditahan di tepi Jalan St Patrick kerana disyaki terbabit dalam kes berkenaan. “Hasil penahanan itu membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga asing berusia 29 tahun di hadapan sebuah kilang di Batu 3, Jalan Apas yang bekerja sebagai buruh. “Semakan rekod mendapati semua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan di balai polis untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X
April 8, 2026
Info X Reporters
Axia rempuh belakang treler, seorang maut
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kionsom, Inanam, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa berusia lingkungan 50-an yang menaiki Perodua Axia disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala seorang lagi mangsa berusia 41 tahun parah. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan 10 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian. “Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta Perodua Axia. “Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang treler,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, dua mangsa dari kereta Perodua Axia didapati tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas. “Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut. “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Pemandu treler berusia 33 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. Menurutnya, operasi berjaya dikawal sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.50 tengah malam selepas memastikan keadaan selamat. – Info X
April 7, 2026
Info X Reporters
Sorok diesel tanpa kebenaran, lelaki ditahan KPDN
KUDAT: Tindakan seorang lelaki menyimpan diesel tanpa kebenaran mengundang padah apabila stor miliknya diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat dalam Ops Tiris 4.0, semalam. Serbuan dilakukan di sebuah stor di Jalan Airport Kudat menerusi operasi harian penguat kuasa KPDN yang dijalankan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan. Operasi itu adalah sebahagian daripada tindakan susulan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Gempur) yang memberi fokus kepada usaha menangani ketirisan barang kawalan di pasaran. Hasil pemeriksaan, pasukan penguat kuasa menemui kira-kira 400 liter minyak diesel disimpan tanpa kebenaran di dalam dua tong drum biru, dipercayai untuk kegunaan sendiri secara tidak sah. Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai pemilik stor berkenaan ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau kebenaran yang sah. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan penguatkuasaan secara berterusan dan lebih agresif, khususnya di kawasan berisiko tinggi. Katanya, antara kawasan dikenal pasti termasuk Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Pulau Banggi yang sering dikaitkan dengan aktiviti penyeludupan serta penyelewengan bahan api. “Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan atau salah laku peniaga melalui saluran rasmi KPDN,” katanya. Maklumat boleh disalurkan menerusi WhatsApp Aduan di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000, portal e-aduan KPDN, talian Call Centre 1-800-886-800, emel [email protected] atau aplikasi Ez ADU KPDN. – Info X
April 7, 2026
Info X Reporters
Lelaki hilang ketika mandi sungai, operasi SAR digerakkan
KOTA BELUD: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi di sungai di Kampung Purak Ogis Supuan, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dikenali sebagai Fernandez Anak Sawing @ Andin, 33, dilaporkan hilang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan. Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira jam 5.42 petang. Pemangku Ketua BBP Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, operasi SAR segera dimulakan dengan pencarian di sekitar persisiran sungai bagi mengesan mangsa. “Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Operasi membabitkan sembilan anggota BBP Kota Belud dengan bantuan sebuah jentera FRT serta kenderaan pacuan empat roda. Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X
April 7, 2026
Info X Reporters
Op Hazard 3.0: 35 ditahan, rampasan lebih RM8 juta
KOTA KINABALU: Aktiviti haram pelupusan dan pemprosesan sisa elektronik (e-waste) di Sabah terbongkar apabila 35 individu ditahan dalam Op Hazard 3.0 yang dilaksanakan secara bersepadu di seluruh negeri, semalam. Operasi bersekala besar bermula jam 9 pagi hingga 6 petang itu dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT). Serbuan dijalankan serentak di lapan daerah iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Beluran, Keningau, Sook dan Semporna membabitkan 207 pegawai serta anggota pelbagai agensi. Komander Briged Sabah PGA, Datuk Nor Omar Sappi berkata, semua suspek berusia antara 21 hingga 69 tahun terdiri daripada 27 lelaki tempatan, enam wanita tempatan dan dua lelaki warga asing. Katanya, semakan mendapati semua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. “Pelbagai barangan dan peralatan berkaitan aktiviti e-waste turut dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM8,047,547. “Rampasan membabitkan jentera dan mesin bernilai RM5.98 juta, bateri terpakai serta pepejal mampat RM1.94 juta dan cecair atau bahan kimia RM113,345,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan bagi membanteras serta mengawal aktiviti pengendalian sisa elektronik secara haram yang boleh menjejaskan alam sekitar dan keselamatan awam. “Selain itu, tindakan turut diambil terhadap individu atau syarikat yang tidak mempunyai lesen atau permit sah bagi menguruskan sisa terjadual. “Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, termasuk Peraturan 9(4), Peraturan 10 dan Peraturan 11(1) yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan lanjut. Dalam pada itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuang sisa elektronik di tempat pembuangan sampah biasa. “Sebaliknya, sisa berkenaan perlu dihantar ke pusat pengumpulan atau kitar semula yang sah bagi mengelakkan pencemaran serta risiko kepada kesihatan. “PDRM khususnya Briged Sabah PGA komited untuk meneruskan penguatkuasaan secara konsisten tanpa kompromi, selain menggalakkan orang ramai menjadi ‘mata dan telinga’ dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti haram e-waste,” katanya. – Info X
April 7, 2026
Info X Reporters
HQE berdepan tekanan permintaan yang tinggi, beban kerja meningkat
KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, kini beroperasi di bawah tekanan permintaan yang tinggi dengan trend beban kerja yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Perkembangan itu didedahkan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Julita Majungki selepas taklimat tertutup mengenai situasi hospital rujukan utama di Sabah itu, di sini, pada Selasa. Katanya, pihak pengurusan hospital memaklumkan peningkatan permintaan pesakit dan tekanan terhadap kapasiti, sejajar dengan trend yang berlaku di seluruh sistem kesihatan negeri. “HQE, sebagai antara hospital rujukan utama di Sabah, terus beroperasi di bawah tekanan permintaan yang tinggi, dengan trend beban kerja yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. “Antara perkara utama yang dibangkitkan termasuk keperluan memperkukuh kapasiti, menaik taraf fasiliti dan peralatan dan meningkatkan kecekapan operasi bagi menyokong penyampaian perkhidmatan,” katanya. Beliau berkata, beberapa cadangan turut dikemukakan, termasuk peluasan infrastruktur dan penambahbaikan aliran pesakit serta perkhidmatan sokongan bagi mengurangkan kesesakan dan mengoptimumkan sumber sedia ada. Julita turut mengiktiraf beban tugas yang dipikul petugas kesihatan, sambil menyifatkan sumbangan mereka sebagai besar dan sering kurang dihargai. “Saya dapat melihat sendiri beban kerja di sini sangat tinggi. Pengorbanan doktor, jururawat dan seluruh petugas tidak ternilai,” katanya. Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keperluan kesihatan di Sabah terus dibangkitkan dan diberi perhatian. “Kita sedar terdapat kekangan, termasuk perkara di luar kawalan kita, namun apa yang berada dalam keupayaan kita akan dilaksanakan, khususnya dalam memperkukuh komunikasi dan memperjuangkan keperluan Sabah,” katanya. Fokus utama, katanya adalah untuk memastikan isu yang dibangkitkan di peringkat lapangan bukan saja direkodkan, sebaliknya diambil tindakan melalui libat urus yang lebih jelas dan tegas dengan pihak berkaitan. IIni negeri kita. Walaupun sistem kesihatan berada di bawah bidang kuasa Persekutuan, kita tetap mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keperluan Sabah dikomunikasikan dengan jelas dan diberi perhatian sewajarnya,” katanya. Julita menegaskan bahawa banyak cabaran yang dihadapi hospital utama di Sabah bersifat struktur dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan perancangan jangka panjang. “Tiada penyelesaian segera. Tiada siapa boleh menyelesaikan semua ini dalam sekelip mata. Apa yang kita boleh lakukan ialah memastikan isu-isu kritikal disampaikan dengan lebih berkesan dan diberi keutamaan,” katanya. Turut hadir pada taklimat dan tinjauan di hospital itu ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRU), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Pengarah HQE, Datuk Dr Abd Kahar Abd Asis; Pembantu Menteri KWKKR, Datuk Rina Jainal dan Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Maria Chong. – Info X
April 7, 2026
Info X Reporters
Isu 40 peratus: Kerajaan Pusat perlu tunai janji – Aliakbar
KOTA KINABALU: PAS Sabah menyatakan pendirian tegas mahu Kerajaan Persekutuan menunaikan janji untuk melunaskan bayaran 40 peratus hasil kepada Sabah seperti yang dinyatakan sebelum ini. Pesuruhjayanya, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata perkembangan semasa berkaitan isu itu yang menyaksikan perintah Mahkamah Tinggi ditangguhkan setelah Kerajaan Persekutuan memohon penangguhan dan dibenarkan Mahkamah Rayuan, sesuatu yang amat dikesali. Katanya, tindakan Kerajaan Persekutuan itu menimbulkan persoalan terhadap komitmen kerajaan dalam menghormati hak Sabah. “Pada November 2025, Kerajaan Persekutuan telah menyatakan secara jelas dan terbuka bahawa mereka tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menyentuh hak Sabah untuk semakan semula pembayaran hasil negeri. “Kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa kerajaan bersedia menghormati keputusan mahkamah dan membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih adil terhadap hak negeri Sabah. “Namun, perkembangan pada April 2026 menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengambil langkah undang-undang untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Katanya, walaupun tindakan itu mengikut prosedur perundangan, namun kesannya tetap jelas, yang mana pelaksanaan keputusan yang sepatutnya berpotensi memberi manfaat kepada rakyat Sabah telah ditangguhkan. “Dalam konteks ini, PAS Sabah melihat wujudnya jurang di antara komitmen awal yang disampaikan kepada rakyat dan tindakan susulan yang diambil,” katanya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai itu berkata, keadaan berkenaan menimbulkan persepsi seolah-olah berlaku keadaan ‘cakap tidak serupa bikin’ dalam pengurusan isu hak Sabah. “Rakyat Sabah berhak untuk mendapatkan penjelasan yang telus, apakah pendirian sebenar Kerajaan Persekutuan terhadap isu ini, adakah benar komited untuk menunaikan hak Sabah atau sebaliknya? “PAS Sabah ingin menegaskan bahawa isu 40 peratus hasil Sabah ini bukan sekadar perdebatan teknikal undang-undang atau angka fiskal semata-mata. “Ia menyentuh prinsip keadilan di antara persekutuan dan negeri serta amanah dalam mengurus hak yang telah termaktub dalam kerangka perlembagaan,” katanya. Justeru, katanya PAS Sabah mahu beberapa perkara dilaksanakan, termasuk perlunya Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan yang konsisten dan menyeluruh kepada rakyat negeri ini mengenai hala tuju sebenar isu berkenaan. Katanya, sebarang tindakan undang-undang yang diambil tidak menjejaskan prinsip asas keadilan terhadap hak Sabah. Selain itu, katanya rundingan yang lebih telus dan berasaskan kepercayaan perlu dilaksanakan bagi memastikan penyelesaian yang mampan. PAS Sabah, jelasnya akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang konstruktif, memastikan setiap dasar dan tindakan kerajaan sentiasa berpaksikan prinsip keadilan, ketelusan dan tanggungjawab kepada rakyat. “Isu ini menuntut kejelasan, bukan kekeliruan, rakyat Sabah tidak sekadar menilai apa yang dijanjikan, sebaliknya turut menilai bukti daripada janji yang sudah ditunaikan,” katanya. – Info X