Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

October 17, 2026

Info X Reporters

Timpohon Run 2026: Donal pertahan gelaran Lelaki Terbuka, Nancy cipta rekod baharu Wanita Terbuka

KOTA KINABALU: Pelari dari Tambunan, Donal Ronaldi Lasius berjaya mempertahankan gelaran juara Timpohon Run 2026 bagi kategori Lelaki Terbuka buat kali kedua di Taman Kinabalu, Kundasang pada Sabtu. Donal menamatkan larian dalam masa 50 minit dan lapan saat, meninggalkan pesaing terdekatnya dari Russia, Vegman Alexey yang mencatat masa 53 minit dan 48 saat. Tiga peserta lain di belakang mereka ialah Jospah Sualin (58 minit, 23 saat), Alexter Aloysius (satu jam, 25 saat) dan Jacklon Ginin (satu jam, 44 saat, kesemuanya mewakili Malaysia. Sementara itu, bagi kategori Terbuka Wanita, pelari dari Kiulu, Nancy Bongkuron berjaya mendahului peserta lain dengan mencatat rekod baharu bagi ketagori berkenaan, dengan masa satu jam, lapan minit dan 30 saat. Empat peserta di belakangnya ialah Dazeree Joan Joannes (1 jam, 13 minit, 1 saat), Maritana Simpat (1 jam, 14 minit, 10 saat), Hayatun Syamilah Dzulmadzli (1 jam, 15 minit, 14 saat) dan Harlin Richard (1 jam, 16 minit, 54 saat), semuanya mewakili Malaysia. Secara keseluruhan, seramai 331 peserta dari pelbagai negara menyertai larian berkenaan sempena Climbathon Gunung Kinabalu ke-33 yang akan berlangsung esok (Ahad). Timpohon Run 2026 menawarkan peluang kepada peserta untuk menikmati persekitaran semulajadi Taman Kinabalu yang diiktiraf sebagai tapak UNESCO Global Geopark. Dengan jarak larian sejauh 9.8 kilometer, acara itu bermula dari Pintu Utama ke Pondok Timpohon dan seterusnya MempeningTrails, Liwagu Restaurant dan berakhir di Dewan Kinabalu. Peserta diberi masa empat jam 30 minit untuk menamatkan larian dengan ganjaran wang tunai kepada pelari lima tercepat bagi kedua-dua kategori iaitu masing-masing RM500, RM400, RM300, RM200 dan RM150. Acara itu dilepaskan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan dan dan Lembaga Pengarah Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Anthea James Jipanus bersama Setiausaha Politik Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Raime Unggi. Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Taman-Taman Sabah, Christopher Lingam; Timbalan Pengerusi Sri Pelancongan Sabah, Datuk Mohd Reduan Aklee; dan Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr Maklarin Lakim. Timpohon Run 2026 disokong Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dab dianjurkan STB dengan kerjasama Taman-Taman Sabah, Sri Pelancongan Sabah dan Hello Sabah Events. Acara itu ditaja secara rasmi oleh BigBigPlace dan Life Water Industries (K2 Drinking Water &Tritonic) dengan sokongan daripada rakan penaja Waxe and Engine X. – Info X

October 17, 2026

Info X Reporters

SIBEX 2026 himpun pelbagai jenama kecantikan di SICC Disember depan

KOTA KINABALU: Sabah International Beauty Expo 2026 (SIBEX2026) yang bakal berlangsung Disember ini menyasarkan 50,000 pengunjung dengan menghimpunkan pelbagai jenama kecantikan, profesionalis industri dan pengguna. Pengarah Urusan ESM Exhibitor Relations Malaysia (Sabah), Datuk Dayang Khatijah Datu Bachtiyal berkata, SIBEX2026 bakal kembali ke Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu dari 4 hingga 6 Disember depan. Katanya, ekspo itu akan menghimpunkan banyak jenama kecantikan, profesional industri,pemain perniagaan serta pengguna dalam satu acara selama tiga hari bagi meraikan perkembangan industri kecantikan global. “Ekspo ini dianjurkan ESM Exhibitor Relations Malaysia. SIBEX2026 membawa tema ‘3 Days to Be Beautiful’ dan menyasarkan kehadiran sehingga 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya nanti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Dayang Khatijah berkata, ekspo itu akan menampilkan pelbagai kategori kecantikan dan penjagaan diri termasuk penjagaan kulit, kosmetik, penjagaan rambut, kecantikan profesional, wellness, salon, spa serta produk dan perkhidmatan berkaitan kecantikan. “SIBEX2026 turut menyediakan platform B2C dan Direct B2B, membolehkan jenama berinteraksi secara terus dengan pengguna, di samping membuka peluang perniagaan bersama pengedar, peruncit, salon, spa, profesional kecantikan serta rakan niaga berpotensi. “Kami juga mengalu-alukan penyertaan jenama kecantikan dari Sabah, Malaysia dan antarabangsa untuk meneroka potensi pasaran kecantikan yang semakin berkembang di Sabah dan Borneo. “Sabah mempunyai pasaran pengguna yang kukuh dan semakin berkembang. Kami percaya terdapat potensi besar untuk jenama kecantikan mengembangkan pasaran mereka di Sabah dan seterusnya ke seluruh Borneo. “SIBEX2026 direka untuk mewujudkan hubungan secara terus antara jenama, pengguna dan rakan niaga,” katanya. Beliau berkata, ekspo itu turut memberi tumpuan kepada usahawan kecantikan dan jenama tempatan Sabah, dengan menyediakan peluang untuk meningkatkan pendedahan pasaran serta berhubung dengan pelanggan baharu dan pemain industri. “Pengunjung boleh menikmati pelbagai tawaran eksklusif, harga promosi, sampel percuma, hadiah percuma, demonstrasi kecantikan, aktiviti solekan, persembahan produk serta pelbagai aktiviti berkaitan kecantikan sepanjang tiga hari acara. “Semua kemasukan ke SIBEX2026 adalah percuma, kerana ianya bertujuan menyediakan platform yang mudah diakses oleh pengguna untuk mengenali jenama baharu, mencuba produk kecantikan serta menikmati tawaran istimewa sepanjang ekspo,” katanya. Beliau berkata, SIBEX2026 adalah sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai destinasi menarik bagi penganjuran ekspo dan acara industri bertaraf serantau. “Kami mahu SIBEX menjadi platform tahunan untuk industri kecantikan di Sabah bukan sahaja untuk pengguna, tetapi juga untuk jenama, pengedar, peruncit dan profesional kecantikan. Visi jangka panjang kami adalah untuk meletakkan Sabah sebagai pintu masuk penting kepada pasaran kecantikan Borneo,” katanya. ESM Exhibitor Relations Malaysia adalah penganjur acara yang pernah memenangi anugerah dan mempunyai pengalaman luas dalam penganjuran ekspo serta acara perniagaan di Sabah dan Malaysia. – Info X

October 17, 2026

Info X Reporters

16 rumah musnah dalam kebakaran di Tawau

TAWAU: Sebanyak 16 rumah kediaman jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Batu 2, Jalan Apas, Lorong Mat Salleh, di sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 9.31 malam itu, tiada mangsa dilaporkan terbabit. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Madzlan Sarman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum jentera bomba tiba di lokasi kejadian tiga minit kemudian. Beliau berkata, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan rumah kediaman jenis tidak kekal dan operasi pemadaman segera dijalankan. “Ketua Zon 5 tiba di lokasi pada jam 10.27 malam dan melaporkan kebakaran membabitkan lebih 10 rumah kediaman. “Jumlah keseluruhan rumah yang terbakar dikenal pasti sebanyak 16 buah dengan keluasan kawasan kebakaran dianggarkan 52 x 95 meter persegi,” katanya dalam kenyataan. Madzlan berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.55 malam, manakala operasi pemadaman diteruskan sehingga jam 3.25 pagi bagi memastikan keadaan di lokasi benar-benar selamat. Katanya, operasi pemadaman menggunakan tiga aliran dengan lima pancutan air, selain mendapatkan bekalan daripada tangki jentera bomba, pili bomba berhampiran dan sumber air terbuka iaitu parit. “Seramai 45 anggota terbabit dalam operasi berkenaan, membabitkan 26 anggota dari BBP Tawau, enam anggota BBP Kunak dan 11 anggota Bomba Komuniti Titingan. “Operasi turut dibantu 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dua anggota Jabatan Air dan dua anggota Sabah Electricity,” katanya. Bagaimanapun, katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan. – Info X

October 17, 2026

Info X Reporters

Seorang maut, seorang parah selepas kereta terbabas, terbakar

PENAMPANG: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di bulatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, pemandu lelaki berusia lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang lelaki sebaya ditemukan tidak sedarkan diri. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.21 pagi sebelum lapan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi. Katanya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta jenis Proton Persona terbabas sendiri sebelum terbakar dengan dua lelaki berada di dalam kenderaan berkenaan. “Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa menggunakan peralatan khas menyelamat. “Bagaimanapun, pemandu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala penumpang yang tidak sedarkan diri diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS),” katanya. Menurutnya, penumpang yang parah kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut. “Operasi berjaya dikawal pada jam 4.40 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya enam minit kemudian,” katanya. – Info X

October 16, 2026

Info X Reporters

Seleweng diesel bersubsidi terbongkar, lapan ditahan, rampasan RM1.2 juta di Sepanggar

KOTA KINABALU: Taktik membawa minyak diesel dua kali ganda daripada jumlah yang dinyatakan dalam dokumen penghantaran membongkar kegiatan disyaki penyelewengan bahan api bersubsidi di Sepanggar, di sini, semalam. Kegiatan itu terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menahan sebuah lori tangki membawa kira-kira 20,000 liter diesel, sedangkan dokumen penghantaran hanya mencatatkan 10,000 liter. Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah premis di kawasan sama sebelum menahan lapan lelaki berusia antara 30 hingga 52 tahun serta merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM1.2 juta. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi dijalankan Unit Risikan Marin selepas menerima maklumat risikan berhubung kegiatan berkenaan. Katanya, pasukan menjalankan intipan selama lima jam sebelum menahan lori tangki terbabit di Jalan Sepanggar menghala ke Bukit Setia, kira-kira jam 3.30 petang. “Pemeriksaan mendapati lori itu membawa kira-kira 20,000 liter diesel, namun dokumen penghantaran hanya menyatakan 10,000 liter. “Pemandunya juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran yang sah bagi membawa jumlah diesel berkenaan,” katanya dalam kenyataan. Ahmad Amri berkata, susulan penahanan itu, pasukan menyerbu sebuah premis di Sepanggar kira-kira jam 4.50 petang. Katanya, serbuan berkenaan mengesan kegiatan disyaki pembelian dan penjualan minyak diesel secara tidak sah membabitkan beberapa pemandu lori. “Hasil keseluruhan operasi, sebanyak 23,830 liter diesel, tujuh lori pelbagai jenis, dua tangki skid, tiga tong drum serta dua pam elektrik bersama kelengkapan pemindahan minyak dirampas. “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,224,551.10, manakala lapan lelaki ditahan bagi membantu siasatan,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut. Sementara itu, Ahmad Amri berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan barangan kawalan, khususnya diesel bersubsidi. Katanya, tindakan tegas itu penting bagi melindungi kepentingan ekonomi negara dan memastikan subsidi kerajaan tidak disalahgunakan. – Info X

October 16, 2026

Info X Reporters

Hasilkan bom ikan di dapur rumah, lelaki parah akibat letupan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera parah selepas bom ikan yang dipercayai sedang dihasilkannya meletup di dapur sebuah rumah di Kampung Keliangau, Manggatal, di sini, hari ini. Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah pada kedua-dua tangan dan perut. Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Menggatal sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan kini dilaporkan kritikal serta tidak sedarkan diri. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menghasilkan bahan letupan buatan sendiri untuk tujuan menangkap ikan. Katanya, kejadian berlaku di bahagian dapur rumah berkenaan yang terletak di Jalan Reflesia, Kampung Keliangau. “Susulan kejadian, sepasukan anggota polis bersama Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan IPD Kota Kinabalu menjalankan pemeriksaan di lokasi. “Pemeriksaan menemukan beberapa bahan yang disyaki digunakan untuk menghasilkan bom ikan buatan sendiri dan semuanya dirampas bagi tujuan pemeriksaan teknikal serta siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi. Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Katanya, siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan, sumber bahan yang digunakan serta kemungkinan pembabitan individu lain. “Orang ramai diingatkan supaya tidak menghasilkan, memiliki atau mengendalikan bahan letupan tanpa kebenaran sah kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan diri dan orang sekeliling. “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis. – Info X

October 16, 2026

Info X Reporters

Cari kerang, jumpa mayat lelaki terapung di laut Tanjung Aru

KOTA KINABALU: Niat mencari kerang bertukar menjadi detik mengejutkan apabila seorang individu menemukan mayat lelaki terapung di laut berhampiran Pantai 2 Tanjung Aru, dekat Prince Philip Park, di sini, pagi tadi. Penemuan kira-kira jam 10.57 pagi itu segera dimaklumkan kepada polis sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, anggota polis tiba di lokasi kira-kira jam 11.15 pagi sebelum mayat terbabit dibawa ke tepi pantai dengan bantuan orang awam. Katanya, pasukan perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) tiba pada jam 12 tengah hari sebelum mengesahkan kematian lelaki berkenaan. “Identiti lelaki terbabit masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kematiannya. “Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HQE I untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Sementara itu, Shahrudin berkata, polis memohon bantuan orang ramai bagi mengenal pasti identiti lelaki yang dianggarkan berusia lingkungan 40-an itu. Katanya, usaha turut dijalankan bagi mengesan waris lelaki berkenaan yang identitinya masih menjadi tanda tanya. “Orang ramai yang mengenali lelaki terbabit atau mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Ketua Polis Balai Tanjung Aru, Sub Inspektor Zairey Lee di talian 014-8555593. “Sebarang maklumat amat diperlukan bagi membantu polis mengenal pasti identiti lelaki itu serta mengesan ahli keluarganya,” katanya. – Info X

October 16, 2026

Info X Reporters

Perjalanan hantar anak ke sekolah berakhir tragedi, ibu maut

KOTA MARUDU: Perjalanan seorang ibu menghantar anaknya ke sekolah berakhir tragedi apabila dia maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah Toyota Hilux berhampiran simpang masuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Marak-Parak, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 6.19 pagi itu, anak mangsa yang baru berusia tujuh tahun terselamat, namun mengalami kecederaan di kepala dan tangan. Ibunya, Liza Jius, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari Kampung Laguhang menuju ke sekolah berkenaan. Katanya, sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 40 tahun pula bergerak dari arah Kudat menuju ke Beluran. “Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu Toyota Hilux dipercayai cuba memotong motosikal mangsa yang berada di hadapannya. “Bagaimanapun, motosikal itu membelok ke simpang masuk sekolah sebelum berlaku pelanggaran antara kedua-dua kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Simun berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan pada jam 6.39 pagi, manakala anaknya dibawa ke Hospital Kota Marudu menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan. “Pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat yang dijadualkan esok. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – Info X