April 6, 2026
Info X Reporters
Kenderaan terbabit insiden dengan kereta api, pemandu terselamat
BEAUFORT: Seorang pemandu berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaikinya terbabit dalam insiden dengan sebuah kereta api di Batu 58, Jalan Loji Air, di sini, pagi tadi. Kejadian jam 10.45 pagi itu membabitkan kereta api yang sedang dalam perjalanan dari Tenom menuju ke Beaufort dan sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Wong Leong Meng berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan terbabit memasuki laluan landasan yang tidak dibenarkan. “Akibat kejadian itu, kenderaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan. “Kereta api pula mengalami kerosakan di bahagian tepi kiri hadapan termasuk tangki minyak dan bateri,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, pemandu kenderaan lelaki berusia 27 tahun dihantar ke Hospital Beaufort untuk pemeriksaan lanjut, manakala pemandu kereta api tidak mengalami sebarang kecederaan. “Kereta api berkenaan membawa seramai 11 penumpang dan semua mereka dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan. “Hasil siasatan juga mendapati laluan itu tidak berpagar serta bukan laluan yang dibenarkan untuk kegunaan kenderaan awam melintas,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak melintas di landasan kereta api yang tidak dibenarkan. “Gunakan hanya laluan yang disediakan oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya. – Info X
April 6, 2026
Info X Reporters
Bantah tangguh perintah mahkamah, tapi hormat keputusan Mahkamah Rayuan – KM
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan bagi menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berkaitan 40 peratus hasil Sabah. Secara spesifik perintah itu ialah untuk menyemak geran khas bagi Tempoh Terlepas (Lost Years) dan mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari bagi pembayaran hak Sabah sebanyak 40 peratus, sementara menunggu rayuan Kerajaan Persekutuan. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata walaupun prosiding mahkamah sedang berjalan, rundingan diharap diteruskan dengan niat baik ke arah mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan. Beliau berkata, perintah penangguhan yang diberikan adalah bersifat prosedural dan mengekalkan status quo sehingga rayuan Kerajaan Persekutuan didengar. “Ia tidak mengetepikan Perintah Mahkamah Tinggi sedia ada. Walaupun perintah Mahkamah Tinggi untuk mengadakan semakan adalah bagi Tempoh Terlepas (1974-2021), ia tidak seharusnya menghalang semakan bagi tahun-tahun semasa memandangkan Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan formula 40 peratus serta keperluan untuk mengadakan semakan,” katanya. Ketua Menteri mengulangi pendirian Kerajaan Negeri yang membantah penangguhan Perintah Mahkamah Tinggi itu, namun menegaskan bahawa kerajaan tetap menghormati keputusan terbaharu mahkamah. “Ini adalah satu proses yang sedang berjalan dan Kerajaan Negeri akan terus berbincang serta mencari penyelesaian,” katanya. Hajiji berkata, Kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2025 berhubung hak perlembagaan Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip. Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah berjanji untuk menghormatinya. Tarikh tentatif bagi pendengaran rayuan Kerajaan Persekutuan ialah pada 27 hingga 30 Oktober 2026 dan satu e-Review ditetapkan pada 13 April 2026 bagi mengesahkan tarikh sebenar pendengaran. – Info X
April 6, 2026
Info X Reporters
Sabah bakal miliki IJN sendiri
KOTA KINABALU: Sabah bakal memiliki Hospital Institut Jantung Negara (IJN) sendiri tidak lama lagi susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antaraKumpulan Yayasan Sabah melalui syarikat pelaburannya Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) dan IJN pada Isnin. Majlis menandatangani MoU untuk membina hospital itu disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata penubuhan hospital jantung pertama di Sabah itu adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat. Katanya, di bawah kerjasama strategik Yayasan Sabah dan IJN, sebuah hospital yang khusus untuk rawatan penyakit kardiovaskular akan dibina di atas tapak seluas 10 ekar di Likas. Sementara itu, Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya, berkata dengan adanya hospital jantung bertaraf tinggi di Sabah, pesakit tidak lagi perlu bergantung kepada kemudahan di luar negeri, sekali gus dapat mengurangkan beban kos perjalanan serta mempercepatkan akses kepada rawatan pakar. “Usaha ini juga akan membantu menyokong sistem kesihatan sedia ada di Sabah, termasuk perkhidmatan di Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II (HQE2) yang pada masa ini mempunyai kapasiti yang terhad berbanding keperluan sebenar rakyat,” katanya. Jasnih berkata, kerjasama strategik itu membawa manfaat kepada rakyat Sabah bukan saja dari segi peningkatan akses kepada rawatan kesihatan tetapi juga dari segi pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan. Pengerusi IJN, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penyakit jantung masih menjadi penyebab utama kematian di Malaysia dan trend itu memperlihatkan peningkatan keperluan terhadap sistem kesihatan yang lebih responsif dan bersepadu. “Sehubungan itu, katanya akses kepada rawatan berkualiti tinggi perlu diperluaskan agar dapat dinikmati secara lebih menyeluruh tanpa mengira lokasi geografi,” katanya. Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata pembukaan Hospital IJN di Sabah juga membuka pasaran baharu dalam pelancongan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan perubatan bertaraf global dengan harga yang berpatutan. Menandatangani MoU bagi pihak Kumpulan Yayasan Sabah ialah Pengarah Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Pengerusi Eksekutif ICSB Datuk Jasnih Daya, manakala IJN diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib dan Ketua Pegawai Klinikal, Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya. Pada majlis yang sama, satu lagi MoU turut dimeterai di antara University College Sabah Foundation (UCSF) dan IJN University College yang dijangka membuka peluang kepada pembangunan tenaga kerja mahir dan profesional dalam bidang kesihatan. UCSF diwakili Naib Canselor, Datuk Dr Rafiq Idris dan Pendaftar Norashikin Ahmad, manakala Naib Canselor Prof Emerita Dr Durrishah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Akmal Arief Fauzi menandatangani bagi pihak IJN University College. – Info X
April 6, 2026
Info X Reporters
Salah guna logo cemar imej universiti, UMS guna AUKU ambil tindakan
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menggunakan peruntukan yang di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyalahguna logo UMS. Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata pihaknya tidak boleh berdiam diri terhadap perbuatan seumpama itu kerana mencemar imej universiti, lebih-lebih lagi apabila logo dan nama UMS disalah guna untuk menganjurkan aktiviti bermotif politik atau bertentangan dengan peranan universiti itu. Jelasnya, tindakan tegas perlu diambil bagi memberi kesedaran dan peringatan kepada pelajar serta semua pihak mengenai pentingnya menjaga imej universiti sebagai gedung ilmu dan pusat kecemerlangan dalam pelbagai bidang. “UMS sangat memandang serius mengenai salah guna logo universiti ini. UMS adalah satu institusi yang kalau boleh kita tidak mahu melibatkannya dalam apa-apa isu sensitif yang boleh memberi impak negatif kepada masyarakat keseluruhannya. “Jadi, salah guna logo UMS ini adalah satu kesalahan kerana UMS adalah satu gedung ilmu yang tidak terbabit dengan apa-apa kepartian politik. “Tapi, ada yang cuba mengaitkan UMS dengan isu-isu politik sedangkan UMS ini adalah satu institusi pendidikan dan pusat kecemerlangan,” katanya. Beliau ditemui pada Majlis Aidilfitri Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohd Arif Tun Sakaran, di sini, pada Ahad. Kasim berkata pelajar yang menyalah guna logo UMS dan membawa isu yang memberi persepsi negatif terhadap universiti dalam kalangan masyarakat adalah satu kesalahan. “Jadi, di peringkat ini UMS mengambil pendekatan dengan melihat kaedah yang sesuai dalam AUKU untuk tindakan undang-undang dalam ruang lingkup akta berkenaan. “UMS tidak akan berdiam diri dan kita cuba untuk menjelaskan kepada masyarakat bahawa UMS tidak terbabit dengan sebarang isu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat. “Proses ini telahpun dilakukan di bahagian perundangan universiti dan tindakan undang-undang selanjutnya akan dibuat,” katanya. Katanya, langkah yang diambil pihak pengurusan UMS itu adalah untuk memastikan nama universiti berkenaan tidak dibiarkan tercemar disebabkan tindakan bertentangan dengan peraturan oleh pelajarnya sendiri. “Kita mahu menjaga dan melindungi nama UMS supaya universiti ini kekal dihormati sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang bebas daripada segala isu yang boleh memberi gambaran negatif di kalangan masyarakat,” katanya. – Info X
April 6, 2026
Info X Reporters
Tangkap dan hapus ikan koi – Jamawi
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah pada Isnin mengeluarkan arahan penangkapan dan pemusnahan ikan koi dan spesies Cyprinidae yang bukan endemik kepada Sabah dari kawasan tagal dan sungai di negeri ini. Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar, berkata tindakan itu diambil selepas virus dibawa spesies ikan berkenaan, Koi Herpesvirus (KHV) disahkan sebagai punca utama kematian ikan pelian atau kelah yang dilaporkan di beberapa daerah sejak 1 Ogos 2025. “Ikan itu hendaklah dimusnahkan serta-merta mengikut prosedur operasi standard (SOP) pelupusan biosekuriti yang ditetapkan dan sebarang pelepasan semula adalah dilarang sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Kematian ikan pelian secara besar-besaran yang disahkan berpunca daripada KHV dilaporkan berlaku di beberapa sungai utama di daerah Keningau, Tambunan, Tenom, Penampang, Tuaran, Ranau dan Sipitang. Jamawi berkata, siasatan lapangan mendapati punca utama penularan adalah pelepasan ikan asing, khususnya ikan koi dan spesies lain dari keluarga Cyprinidae yang bukan endemik di Sabah ke dalam perairan umum tanpa kawalan. Tindakan tidak bertanggungjawab itu, katanya melanggar prinsip biosekuriti dan menyebabkan jangkitan serius terhadap spesies ikan tempatan termasuk ikan pelian yang dikategorikan sebagai spesies bernilai tinggi. Beliau berkata, musim kemarau yang sedang berlaku turut meningkatkan suhu air sekali gus mewujudkan persekitaran sesuai untuk pengaktifan virus dan meningkatkan risiko kematian ikan secara besar-besaran. Selain itu, katanya semua aktiviti import dan eksport ikan koi dari keluarga Cyprinidae turut dilarang serta-merta, meliputi ikan hidup, benih, induk dan sebarang bentuk pemindahan biologi yang berisiko menyebarkan virus KHV. Di bawah Enakmen Perikanan Darat Sabah, katanya mana-mana pihak yang melepaskan ikan asing ke perairan umum, gagal mematuhi arahan pemusnahan atau melanggar larangan import dan eksport boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas. Jamawi turut memberi amaran keras kepada pengusaha akuakultur, penternak ikan hiasan dan orang awam supaya tidak membawa masuk atau melepaskan spesies ikan asing ke perairan umum serta mematuhi sepenuhnya keperluan biosekuriti. “Kejadian ini (penularan KHV) menjadi ancaman serius terhadap biodiversiti perairan darat Sabah dan berpotensi menyebabkan kehilangan kekal spesies ikan endemik seperti ikan pelian sekiranya tidak ditangani secara agresif dan bersepadu. “Tiada kompromi terhadap ancaman biosekuriti, tindakan tegas akan diambil tanpa pengecualian,” katanya. Sebelum ini, KHV disahkan sebagai punca utama kematian ikan pelian atau kelah yang dilaporkan di beberapa daerah di Sabah sejak 1 Ogos 2025 hasil analisis yang dijalankan Makmal Biosekuriti, Jabatan Perikanan Sabah di Kompleks Perikanan Likas, di sini. Katanya, KHV adalah virus patogen berbahaya yang menyerang ikan daripada keluarga Cyprinidae dan diklasifikasikan sebagai penyakit akuakultur berimpak besar dengan kadar kematian yang sangat tinggi. “Data saintifik menunjukkan kadar kematian boleh mencecah antara 80 hingga 100 peratus dalam populasi dijangkiti, selain virus ini aktif dalam suhu air sekitar 18 hingga 28 darjah Celsius dan menjadi lebih agresif apabila berlaku perubahan suhu secara mendadak. “Ia juga mampu berada dalam keadaan laten sebelum aktif semula apabila berlaku tekanan persekitaran seperti musim kemarau dan merebak melalui air, sentuhan langsung, peralatan tercemar serta pemindahan ikan hidup,” katanya. – Info X
April 6, 2026
Info X Reporters
Perjalanan pulang makan tengah hari bertukar tragedi
TAWAU: Perjalanan pulang pasangan suami isteri untuk makan tengah hari bertukar tragedi apabila lelaki berusia 47 tahun maut dalam kemalangan di Jalan Felda Umas 2, Merotai, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tawau. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa ketika itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja bersama isterinya berusia 40 tahun. Katanya, setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal Honda Vario yang ditunggang lelaki berusia 27 tahun dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan selepas mengelak bonggol sebelum bertembung dengan motosikal mangsa. “Akibat pertembungan itu, kedua-dua penunggang mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, penunggang Honda Vario kini dirawat di Wad Ortopedik, manakala mangsa dirawat di Zon Merah sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.30 petang. Beliau berkata, pembonceng yang juga isteri mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. “Hasil semakan mendapati mangsa bukan warganegara Malaysia, tidak mempunyai lesen memandu yang sah serta tidak memakai topi keledar ketika kejadian. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian,” katanya. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu serta memperlahankan kenderaan terutama di laluan yang rosak atau mempunyai bonggol. “Penunggang motosikal juga diingatkan supaya sentiasa memakai topi keledar demi keselamatan diri,” katanya. – Info X
April 6, 2026
Info X Reporters
Semakan kelayakan 40 peratus Sabah ditangguh
KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan sementara perintah Mahkamah Tinggi berhubung pelaksanaan semakan kelayakan Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri bagi tempoh 1974 hingga 2021. Memetik laporan Berita Harian, permohonan itu dibenarkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan selepas mendapati Kerajaan Persekutuan akan diprejudiskan jika penangguhan berkenaan tidak diberikan. Prosiding rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada tahun lalu itu berlangsung di Putrajaya pada Isnin. Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 memutuskan Kerajaan Persekutuan bertindak menyalahi undang-undang dan melampaui kuasa perlembagaannya kerana gagal menunaikan hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil Persekutuan bagi tempoh berkenaan. Mahkamah turut mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Sabah melengkapkan semakan dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan muktamad dalam tempoh 180 hari susulan semakan kehakiman difailkan Sabah Law Society (SLS). – Info X
April 5, 2026
Info X Reporters
PIBKS bantu sekolah, PPD dekati pelajar tercicir elak tidak hadir SPM
KOTA KINABALU: Program mendekati keluarga pelajar tercicir pembelajaran perlu diperluaskan bagi memastikan tiada lagi kes pelajar tidak hadir untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah. Langkah itu dilihat sebagai pendekatan terbaik perlu dilaksanakan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menerusi kerjasama Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS). Pengerusi PIBKS Sabah, Datuk Mohd Arif Tun Sakaran, berkata pihaknya berperanan sebagai penghubung untuk mendekati keluarga pelajar tercicir dan menasihatkan mereka supaya tetap hadir ke sekolah untuk menduduki SPM. Katanya, pihak sekolah dan PPD mempunyai data lengkap mengenai pelajar yang tercicir berdasarkan rekod kehadiran mereka dan ia dijadikan rujukan untuk mendekati pelajar berisiko tidak hadir menduduki SPM. “Maklumat pelajar berisiko tidak menduduki peperiksaan SPM diperoleh melalui data kehadiran sekolah yang membolehkan kita mengenal pasti lebih awal pelajar terbabit dan melaksanakan langkah awal mendekati mereka bagi memastikan mereka hadir menduduki SPM. “Pendekatan bersemuka bersama ibu bapa ini menjadi antara strategi utama bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dan menduduki SPM serta tanggungjawab memastikan anak-anak kekal berada dalam sistem persekolahan. “PIBKS berperanan sebagai jambatan antara pihak sekolah dan komuniti. Kita turun bersama JPN dan PPD untuk bertemu ibu bapa serta memahami cabaran sebenar yang dihadapi pelajar,” katanya ditemui pada Majlis Aidilfitri Rumah di kediamannya di Likas, pada Ahad. Beliau berkata, pembabitan PIBKS memudahkan usaha mendekati ibu bapa kerana elemen komuniti menjadikan perbincangan lebih terbuka dan mesra. “Apabila komuniti sendiri terlibat, ibu bapa lebih selesa untuk berbincang. Kita bukan sekadar menasihati tetapi bersama-sama mencari jalan supaya anak mereka dapat terus belajar dan menduduki SPM,” katanya. Sebelum ini, Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin menyatakan sasaran pihaknya untuk mengurangkan jumlah calon SPM tidak hadir peperiksaan kepada dua digit pada tahun ini berbanding 699 orang calon yang direkodkan tidak hadir di Sabah pada 2025. Katanya, sasaran itu adalah komitmen bersama pelbagai pihak termasuk PPD, pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar sendiri. – Info X