Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

April 5, 2026

Info X Reporters

MPV hilang kawalan rempuh pam minyak

KENINGAU: Tular di media sosial kejadian sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh pam minyak di sebuah stesen Petron, di sini, tengah hari tadi. Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari itu, MPV jenis Toyota Avanza dipandu lelaki warga emas berusia 73 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pam minyak nombor 10 dan 11. Akibat pelanggaran itu, pam minyak terbabit rosak teruk selain turut melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang berada di lokasi. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati kenderaan MPV itu baru sahaja selesai mengisi minyak sebelum keluar dari kawasan stesen berkenaan. “Bagaimanapun, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pam minyak sebelum melanggar bahagian belakang kiri sebuah Toyota Hilux yang berada di pam berkenaan. “Akibat kejadian itu, pemandu MPV mengalami pening kepala dan dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut, manakala seorang lagi pemandu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kejadian berkenaan hanya melibatkan kerosakan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Katanya, kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59. “Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu terutama di kawasan stesen minyak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X

April 5, 2026

Info X Reporters

Pemandu lori tercampak sebelum maut, kenderaan bawa batu terbakar

KOTA BELUD: Pemandu lori yang maut dalam kemalangan di Jalan Kota Belud – Kota Marudu, dekat Ulu Kukut, di sini, tengah hari tadi dipercayai tercampak keluar sebelum kenderaan dipandunya terbakar. Dalam kejadian kira-kira jam 11.38 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud akibat kecederaan parah. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu lori rigid 10 tan membawa muatan batu dalam perjalanan dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Belud. “Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas ke kiri bahu jalan lalu terbalik dan terbakar. “Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan dan masuk ke dalam parit sebelum lori terbakar,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X

April 5, 2026

Info X Reporters

1,000 liter diesel, dua kenderaan dirampas di Lahad Datu

LAHAD DATU: Kegiatan mengisi minyak diesel tanpa permit terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas kira-kira 1,000 liter bahan api itu dalam Ops Tiris 4.0, hari ini. Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an turut ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti penyelewengan bahan kawalan berkenaan. Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Lahad Datu, Azizul Amran berkata, operasi dijalankan bagi memastikan pematuhan larangan penjualan petrol RON95 serta memantau aktiviti di stesen minyak sekitar daerah itu. Katanya, ketika pemeriksaan di sebuah stesen minyak, pihaknya mengesan dua suspek sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong drum yang diletakkan di atas dua kenderaan pacuan empat roda. “Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit kebenaran bagi pengisian diesel tersebut. “Susulan itu, kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua kenderaan pacuan empat roda yang digunakan dalam kegiatan berkenaan. “Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk diesel dan kenderaan adalah sebanyak RM117,150,” katanya. Azizul berkata, KPDN akan terus mempergiatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan di daerah ini. “Orang ramai diminta menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan ini melalui saluran rasmi KPDN,” katanya. – Info X

April 5, 2026

Info X Reporters

8 pasukan rebut gelaran juara KKN24 Sosial League

PUTATAN: Lapan pasukan bersaing merebut gelaran juara bola sepak menerusi kejohanan KKN24 Social League 2026 Tanjung Keramat yang berlangsung selama empat bulan. Kejohanan peringkat tempatan itu adalah inisiatif baharu pembangunan belia melalui sukan, khususnya bola sepak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat. Ketika melancarkan penganjuran liga itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, berkata liga sosial seperti itu bukan sekadar platform mengejar kemenangan atau ganjaran berbentuk wang. Sebaliknya, beliau berkata liga itu turut menjadi medium penting ke arah mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat. “Objektif utama penganjuran adalah untuk menyatukan golongan belia, membina semangat berpasukan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam masyarakat,” katanya berucap pada majlis itu, di sini. Tegasnya, kemenangan dalam pertandingan hanyalah bonus, sebaliknya nilai sebenar terletak kepada perpaduan dan kebersamaan yang terjalin sepanjang penganjuran liga. Dalam masa sama, beliau menyatakan komitmennya untuk terus menyokong lebih banyak program berteraskan pembangunan belia pada masa akan datang. “Sebagai pemimpin muda, saya sangat menyokong program seumpama ini, selari dengan usaha melahirkan generasi yang aktif, berdisiplin dan berdaya saing. Katanya, sambutan menggalakkan bagi edisi pertama KKN24 Social League 2026 memberi isyarat positif untuk penganjuran diteruskan sebagai platform tahunan bagi komuniti setempat. Pasukan yang dinobatkan sebagai johan dalam liga sosial itu bakal menerima sebuah piala dan pingat, manakala naib johan serta tempat ketiga masing-masing menerima pingat. – Info X

April 5, 2026

Info X Reporters

Pemandu lori maut kenderaan bawa batu terbalik, terbakar

KOTA BELUD: Seorang lelaki maut selepas lori 10 tan membawa muatan batu yang dipandunya terbabas sebelum terbalik dan terbakar di Jalan Ulu Kukut, di sini, tengah hari tadi. Dalam kejadian itu, mangsa berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat kecederaan parah. Mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan ketika kejadian sebelum ditemui dalam keadaan tidak bernyawa. Kebakaran membabitkan lori berkenaan dipercayai berlaku selepas kenderaan itu terbabas sendiri lalu terbalik di tepi jalan sebelum api marak. Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.36 pagi sebelum lapan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi. “Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 12.10 tengah hari dan menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula (hose reel) serta satu tong buih (foam). “Mangsa pemandu lori disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, operasi berjaya dikawal pada jam 12.50 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.17 petang. “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X

April 5, 2026

Info X Reporters

Subsidi diesel bantu rakyat Sabah – Jamawi

TENOM: Pengekalan subsidi diesel yang membolehkan harga bahan api itu kekal rendah di Sabah dan Sarawak penting sejajar keperluannya kepada rakyat di kedua-dua negeri. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata bahan api itu adalah satu keperluan penting berikutan penggunaan kenderaan diesel yang tinggi berbanding di Semenanjung. Katanya, kenderaan diesel terutama pacuan empat roda masih menjadi pengangkutan utama untuk pelbagai urusan di Sabah disebabkan faktor geografi, jarak jauh dan keadaan jalan raya yang mencabar. Atas sebab itu, katanya pengekalan subsidi itu adalah bantuan yang sangat penting kepada rakyat negeri ini. “Kita mengucapkan terima kasih atas kebijaksanaan Perdana Menteri mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak. “Kita memahami kebanyakan rakyat Sabah menggunakan kenderaan diesel, khususnya kenderaan pacuan empat roda, disebabkan faktor geografi, jarak antara pekan yang jauh serta keadaan jalan raya yang belum setara dengan di Semenanjung,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, pada Sabtu. Sehubungan itu, Jamawi yang juga ADUN Melalap berharap masyarakat di Semenanjung dapat memahami keperluan berbeza di Sabah dan Sarawak. Dalam pada itu, Jamawi menasihatkan rakyat negeri ini supaya memanfaatkan subsidi bahan api dengan bijak dan tidak melakukan pembaziran. Beliau berkata, kementeriannya juga sedang berusaha membantu petani kecil yang belum menerima subsidi bahan api. “Kita telah berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya mereka ini dapat didaftarkan dan turut menikmati subsidi bahan api bagi kegunaan sektor pertanian, perikanan dan penternakan,” katanya. Selain itu, Jamawi berkata petani di Sabah turut berdepan kenaikan harga baja berikutan faktor global termasuk sekatan eksport oleh negara pengeluar. “Kebanyakan baja dihasilkan daripada petroleum dan kita juga berdepan isu pemberhentian eksport dari China, yang sedikit sebanyak menjejaskan bekalan tempatan,” katanya. Sehubungan itu, beliau menggalakkan petani beralih kepada penggunaan baja kompos sebagai alternatif lebih mampan. “Penggunaan baja kompos bukan saja dapat mengurangkan kos, malah membantu meningkatkan kesuburan tanah secara semula jadi,” katanya. Dalam masa sama, beliau memberi jaminan kementeriannya akan terus berunding dengan pihak berkaitan bagi memastikan bekalan baja mencukupi dan dapat diagihkan secara teratur. Jamawi turut menggesa masyarakat agar sentiasa berhubung dengan pegawai pertanian, veterinar dan perikanan di kawasan masing-masing bagi mendapatkan bantuan serta khidmat nasihat. “Kita mempunyai pegawai di lapangan yang sentiasa bersedia membantu menyelesaikan isu yang dihadapi petani dan pengusaha,” katanya. Kira-kira 8,000 penduduk pelbagai kauk dan agama sekitar Tenom, Kemabong dan Melalap memeriahkan majlis rumah terbuka Jamawi yang berlangsung dalam suasana penuh muhibah. – Info X

April 5, 2026

Info X Reporters

Op Mabuk: Dua lelaki ditahan, sembilan saman dikeluarkan

PENAMPANG: Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan dalam Op Mabuk, awal pagi tadi. Kedua-duanya diberkas dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di Jalan Penampang, hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, dua individu itu ditahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan. Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun. Selain itu, pesalah turut berdepan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun. “Operasi kali ini diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozami Ahmad dan dibantu seramai tujuh (7) anggota Polis. “Ketika Op Mabuk dijalankan, pihak polis turut mengeluarkan sembilan keping saman atas pelbagai kesalahan dan empat (4) daripadanya tidak memiliki lesen memandu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Katanya, seramai 52 individu dan sebanyak 41 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan. “Operasi ini juga antara lainnya, bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya agar sentiasa patuh kepada undang-undang dan peraturan lalulintas yang telah ditetapkan. “Rumah kita, kita jaga. Daerah kita, kita lindungi bersama,” katanya. – Info X

April 5, 2026

Info X Reporters

‘Waktu saya kini telah sampai ke penghujung’ – Abdul Rahman Dahlan

KOTA KINABALU: “Saya percaya setiap peranan dalam sesebuah organisasi mempunyai waktunya, dan waktu saya kini telah sampai ke penghujung,”. Itu luahan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, dipercayai merujuk berita mengenai peletakan jawatannya sebagai Ketua UMNO Tuaran yang berkuatkuasa pada 1 April lalu. Menerusi perkongsian di Facebook pada Sabtu, Abdul Rahman berkata, beliau sudah diberi peluang untuk berkhidmat, belajar dan memimpin. Katanya, kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan tetapi juga mengenai mengetahui bila masanya untuk berundur dengan penuh maruah. “Saya telah diberi peluang dan kehormatan untuk berkhidmat, menyumbang, belajar dan memimpin. “Namun, kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan, tetapi juga tentang mengetahui bila masanya untuk berundur dengan penuh maruah, hati yang tenang, rasa syukur yang mendalam, serta keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap masa depan. “Saya percaya setiap peranan dalam sesebuah organisasi mempunyai waktunya, dan waktu saya kini telah sampai ke penghujung,” katanya di Facebook. Meskipun tidak menyebut mengenai peletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Tuaran, perkongsian di Facebook itu dipercayai berkaitan dengan perkara berkenaan. Sebelum ini, sebuah portal berpangkalan di Selangor melaporkan tindakan bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu meletak jawatan sebagai Ketua UMNO Tuaran. Beliau bagaimanapun tidak memberi sebarang alasan berhubung tindakan itu, namun menjelaskan mahu memberi laluan kepada orang baharu. Namun, katanya beliau masih memegang jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Berikutan keputusan itu, jawatan Ketua UMNO Tuaran kini dipangku Timbalan Ketuanya, Noorbaki Lamsari. Keputusan itu, katanya sudah dimaklumkan kepada kepemimpinan UMNO, termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad. Zahid Hamidi. Abdul Rahman menjadi Ketua UMNO Tuaran selepas jawatan itu ditinggalkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika meninggalkan UMNO pada Disember 2018. Beliau sebelum ini juga pernah memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Sabah, ketika UMNO Sabah di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin. – Info X