April 5, 2026
Info X Reporters
‘Waktu saya kini telah sampai ke penghujung’ – Abdul Rahman Dahlan
KOTA KINABALU: “Saya percaya setiap peranan dalam sesebuah organisasi mempunyai waktunya, dan waktu saya kini telah sampai ke penghujung,”. Itu luahan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, dipercayai merujuk berita mengenai peletakan jawatannya sebagai Ketua UMNO Tuaran yang berkuatkuasa pada 1 April lalu. Menerusi perkongsian di Facebook pada Sabtu, Abdul Rahman berkata, beliau sudah diberi peluang untuk berkhidmat, belajar dan memimpin. Katanya, kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan tetapi juga mengenai mengetahui bila masanya untuk berundur dengan penuh maruah. “Saya telah diberi peluang dan kehormatan untuk berkhidmat, menyumbang, belajar dan memimpin. “Namun, kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan, tetapi juga tentang mengetahui bila masanya untuk berundur dengan penuh maruah, hati yang tenang, rasa syukur yang mendalam, serta keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap masa depan. “Saya percaya setiap peranan dalam sesebuah organisasi mempunyai waktunya, dan waktu saya kini telah sampai ke penghujung,” katanya di Facebook. Meskipun tidak menyebut mengenai peletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Tuaran, perkongsian di Facebook itu dipercayai berkaitan dengan perkara berkenaan. Sebelum ini, sebuah portal berpangkalan di Selangor melaporkan tindakan bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu meletak jawatan sebagai Ketua UMNO Tuaran. Beliau bagaimanapun tidak memberi sebarang alasan berhubung tindakan itu, namun menjelaskan mahu memberi laluan kepada orang baharu. Namun, katanya beliau masih memegang jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Berikutan keputusan itu, jawatan Ketua UMNO Tuaran kini dipangku Timbalan Ketuanya, Noorbaki Lamsari. Keputusan itu, katanya sudah dimaklumkan kepada kepemimpinan UMNO, termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad. Zahid Hamidi. Abdul Rahman menjadi Ketua UMNO Tuaran selepas jawatan itu ditinggalkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika meninggalkan UMNO pada Disember 2018. Beliau sebelum ini juga pernah memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Sabah, ketika UMNO Sabah di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin. – Info X
April 4, 2026
Info X Reporters
Kos tenaga elektrik di Sabah dijangka kekal, pelaksanaan BDR akan dibincang – KM
KOTA KINABALU: Sabah dijangka tidak berdepan peningkatan kos tenaga elektrik disebabkan kenaikan harga minyak dunia, terutama diesel akibat perang di Asia Barat. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia berikutan sebahagian besar tenaga elektrik di negeri ini dijana menggunakan gas yang disalurkan terus oleh PETRONAS. Beliau berkata, walaupun Malaysia tidak terkecuali menerima kesan buruk daripada krisis yang berlaku di Asia Barat, namun kos tenaga elektrik dijangka mampu bertahan. “Kita sentiasa memantau dan kerajaan Persekutuan mengatakan ia akan lihat apa yang berlaku pada peperangan ini, kalau berlanjutan mungkin kita juga terkesan di sini. “Tapi, yang baiknya kita punya tenaga elektrik, daripada 1,400 megawatt (MW), 1,100 MW dibekalkan dari gas PETRONAS, jadi kita tidak terkesan di situ. “Cuma 300 MW dari diesel dan ini yanh kita kena perhatikan, kalau harga diesel naik, kita pasti terjejas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Bersama Media, di sini, pada Sabtu. Terdahulu, beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perjumpaan dengan semua Ketua Menteri dan Menteri. Besar pada Jumaat bagi membincangkan kesan dihadapi Malaysia akibat krisis di Asia Barat. “Tujuannya, mereka beri taklimat mengenai masalah yang kita hadapi, bukan saja di Malaysia tapi di seluruh dunia akibat perang di Iran. “Kita menghadapi krisis tenaga terutama di beberapa negara dan krisis ekonomi di sesetengah negara akibat harga minyak dan barang yang naik. “Jadi, kita diminta memantau dan mengambil langjah yang patut bagi menghadapi keadaan ini,” katanya. Katanya, di peringkat kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri mengarahkan perkhidmatan awam melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) untuk menjimatkan tenaga dan belanja bermula 15 April ini. “Ini satu perkara yang harus diberi tumpuan, rakyat harus faham walaupun perang berlaku di Timur Tengah, tapi kesannya dirasai semua,” katanya. Bagaimanapun, katanya di peringkat negeri cadangan BDR akan dibawa ke mesyuarat Kabinet negeri akan datang sama ada wujud keperluan untuk melaksanakannya atau tidak. – Info X
April 4, 2026
Info X Reporters
Media penghubung kerajaan-rakyat, sampaikan maklumat tepat
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengakui peranan penting media sebagai jambatan penghubung di antara kerajaan dengan rakyat dan menyampaikan maklumat dengan tepat. Menjelaskan perkara itu, Pengarah Media dan Komunikasi di Jabatan Ketua Menteri (JKM), Datuk Lucy Irene Yong, berkata peranan itu amat dihargai sejajar kedudukan media sebagai rujukan utama masyarakat. “Kami menghargai peranan media menyampaikan dasar-dasar kerajaan dengan jelas dan dalam masa yang sama membawa suara rakyat kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan. “Namun , walaupun peranan media pada hari ini menuntut kepantasan, ia tidak harus mengabaikan ketepatan. “Dalam era lambakan maklumat, media yang efektif adalah media yang menyebarkan berita yang sahih, sekali gus menjadi rujukan utama masyarakat dalam membentuk fakta yang betul,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Aidilfitri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor Bersama Media, di sini pada Sabtu. Hajiji turut hadir pada majlis berkenaan. Lucy yang mewakili Ketua Menteri turut menyatakan penghargaan kerajaan terhadap komitmen dan dedikasi rakan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, sama ada melalui media kerajaan, media arus perdana atau media sosial. Dalam pada itu, katanya Pejabat Media dan Komunikasi JKM akan terus memastikan segala laporan dan berita berkaitan kerajaan negeri dan Ketua Menteri dikongsikan kepada pihak media dengan cepat dan tepat, untuk dihebahkan dalam media masing-masing. “Pihak kami juga akan memastikan kerjasama dengan media terus diperkukuhkan,” katanya. Majlis Hari Raya Aidilfitri itu dihadiri kira-kira 200 wartawan dan pengamal, termasuk Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil; Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA), Datuk Jimmy Goh, ketua-ketua pengarang dan ketua-ketua biro. Turut hadir ialah Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Khan Bahadar dan ketua-ketua jabatan. Ends
April 4, 2026
Info X Reporters
Simpan 2,600 liter petrol tanpa kebenaran, warga emas ditahan
KUDAT: Kegiatan menyimpan petrol tanpa kebenaran terbongkar apabila seorang lelaki warga tempatan berusia 76 tahun ditahan dalam operasi bersepadu Ops Tiris 4.0 di Kampung Pagasaon, Pitas, semalam. Serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kudat dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat, Kudat, Polis Diraja Malaysia (PDRM). Operasi itu menyasarkan kawasan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ penyelewengan bahan api berhampiran perairan yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan serta pengedaran secara tidak sah. Hasil pemeriksaan, pihak berkuasa menemukan sebanyak 2,600 liter petrol disimpan tanpa kebenaran dalam 13 tong drum di bahagian belakang sebuah struktur bangunan. Minyak berkenaan dipercayai disorok dan ditutup menggunakan kanvas bagi mengelakkan dikesan. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. “Ia membabitkan kesalahan berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau kebenaran yang sah. “Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan, khususnya bahan api yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan dan lebih agresif terutama di kawasan berisiko tinggi. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PPM Wilayah Empat Kudat atas kerjasama dalam menjayakan operasi berkenaan. “Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan melalui saluran rasmi KPDN bagi membantu usaha membanteras kegiatan berkenaan,” katanya. – Info X
April 4, 2026
Info X Reporters
Pemandu lori tersepit selepas kenderaan dipandu terbabas
NABAWAN: Seorang pemandu lori tersepit selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri di Simpang SLDB Binakaan, Jalan Nabawan – Sook, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa lelaki berusia 55 tahun mengalami kecederaan selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu. Lori 10 tan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan, menyebabkan mangsa tidak dapat keluar. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faizal Ahmad berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai. “Sebaik tiba, pihaknya mendapati mangsa masih tersepit di dalam kenderaan. “Anggota bertindak menggunakan peralatan khas ‘Hydraulic Rescue Tools’ bagi mengeluarkan mangsa. “Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut,” katanya. Operasi membabitkan enam anggota bersama sebuah jentera itu tamat sepenuhnya pada jam 5.08 petang selepas keadaan disahkan selamat. – Info X
April 4, 2026
Info X Reporters
Pukul dan ugut mangsa, lelaki akhirnya terima padah
TAWAU: Tindakan seorang lelaki mencederakan dan mengugut mangsa membawa padah apabila dia diberkas polis dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Dominic, di sini, petang tadi. Dalam operasi kira-kira jam 1.30 petang itu, suspek lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan sepasukan Strike Team dari Balai Polis Tawau hasil maklumat berkaitan kes yang disiasat. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat susulan laporan kes mencederakan dan ugutan jenayah yang berlaku sebelum ini. “Suspek ditahan di sebuah premis dan dipercayai terbabit dalam kes mencederakan serta ugutan jenayah. “Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan kesalahan jenayah dan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara. – Info X
April 4, 2026
Info X Reporters
TYT, KM hadir Majlis Silaturahim Hari Raya Konsulat Jenderal Republik Indonesia
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag menghadiri Majlis Silaturahim Hari Raya Idul Fitri Konsulat Jenderal Republik Indonesia, Kota Kinabalu di Wisma Indonesia, di sini, pada Sabtu. Hadir sama Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin. Ketibaan mereka disambut Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Bapak Noorman Effendi dan isteri. Majlis dimeriahkan dengan jamuan makan Hari Raya, diiringi dengan persembahan nyanyian yang berlangsung dalam suasana penuh mesra. Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya dan timbalannya, Datuk Al Hambra Tun Juhar. – Info X
April 4, 2026
Info X Reporters
Cubaan seleweng diesel tak menjadi, dua lelaki dicekup di stesen minyak
SANDAKAN: Cubaan menyeleweng minyak diesel bersubsidi terbongkar apabila dua lelaki ditahan dalam serbuan Ops Tiris 4.0 di sebuah stesen minyak di bandar ini, semalam. Dalam operasi kira-kira jam 11.12 pagi itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan berjaya merampas 120 liter diesel bersubsidi yang diisi dalam tujuh jerikin. Minyak berkenaan ditemui di bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai cuba menyeleweng bahan api terbabit. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Sandakan, Joe Azmi Jamil berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM70,258. Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua suspek lelaki berusia 34 dan 49 tahun itu terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang warga asing. “Mereka didapati tidak memiliki sebarang permit atau kebenaran untuk membeli minyak diesel bersubsidi dalam kuantiti berkenaan. “Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Katanya, bagi kesalahan berulang, hukuman boleh meningkat sehingga denda RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun. “Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah sehingga RM2 juta dan bagi kesalahan seterusnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya. Mengulas lanjut, Joe Azmi berkata, operasi itu adalah sebahagian pemeriksaan berterusan di bawah Ops Tiris 4.0 susulan pelaksanaan kawalan penjualan diesel bermula 1 April lalu. Katanya, pengusaha stesen minyak diingatkan supaya mematuhi arahan penjualan mengikut kategori kenderaan dengan had kuantiti 50, 100 dan 150 liter bagi setiap transaksi. “KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menyeleweng barang kawalan termasuk diesel bersubsidi,” katanya. Dalam pada itu, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan melalui saluran aduan rasmi KPDN termasuk WhatsApp, portal e-Aduan dan talian Call Centre. “Kami juga menasihatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan panik,” katanya. – Info X