SANDAKAN: Cubaan menyeleweng minyak diesel bersubsidi terbongkar apabila dua lelaki ditahan dalam serbuan Ops Tiris 4.0 di sebuah stesen minyak di bandar ini, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 11.12 pagi itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan berjaya merampas 120 liter diesel bersubsidi yang diisi dalam tujuh jerikin.
Minyak berkenaan ditemui di bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai cuba menyeleweng bahan api terbabit.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Sandakan, Joe Azmi Jamil berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM70,258.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua suspek lelaki berusia 34 dan 49 tahun itu terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang warga asing.

“Mereka didapati tidak memiliki sebarang permit atau kebenaran untuk membeli minyak diesel bersubsidi dalam kuantiti berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, bagi kesalahan berulang, hukuman boleh meningkat sehingga denda RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun.
“Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah sehingga RM2 juta dan bagi kesalahan seterusnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.
Mengulas lanjut, Joe Azmi berkata, operasi itu adalah sebahagian pemeriksaan berterusan di bawah Ops Tiris 4.0 susulan pelaksanaan kawalan penjualan diesel bermula 1 April lalu.
Katanya, pengusaha stesen minyak diingatkan supaya mematuhi arahan penjualan mengikut kategori kenderaan dengan had kuantiti 50, 100 dan 150 liter bagi setiap transaksi.
“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menyeleweng barang kawalan termasuk diesel bersubsidi,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan melalui saluran aduan rasmi KPDN termasuk WhatsApp, portal e-Aduan dan talian Call Centre.
“Kami juga menasihatkan masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan panik,” katanya. – Info X