KOTA KINABALU: Aktiviti perjudian haram berselindung di sebalik premis hiburan dan e-sport di Sabah terbongkar apabila 15 individu tempatan dicekup dalam Op Dadu Khas yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 1 April hingga semalam.
Serbuan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan itu menyasarkan premis yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian termasuk menggunakan tablet serta berselindung di sebalik lesen pusat hiburan keluarga dan e-sport.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram.
Menurutnya, dalam operasi itu, seramai 11 lelaki dan empat wanita berusia antara 20 hingga 68 tahun ditahan, terdiri daripada penjaga premis serta pelanggan yang sedang bermain.
“Turut dirampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian termasuk tiga mesin simulator, 38 unit komputer serta wang tunai berjumlah RM6,680.
“Siasatan awal mendapati premis yang diserbu dipercayai menjalankan aktiviti perjudian secara berselindung bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, operasi berkenaan adalah sebahagian daripada Op Dadu Khas yang dilaksanakan Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama kontinjen Sabah dan Selangor bermula 1 hingga 2 April lalu.
Dalam perkembangan sama di Selangor, sebanyak 13 premis di sekitar Seri Kembangan dan Klang Utara turut diserbu, membabitkan tangkapan seramai 52 individu termasuk warga asing.
“Daripada jumlah itu, 41 lelaki dan 11 wanita berusia antara 20 hingga 75 tahun ditahan, dengan 26 daripadanya warga asing terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar.
“Pasukan serbuan turut merampas pelbagai peralatan perjudian termasuk sembilan televisyen, 95 tablet, 17 komputer riba, 61 alat kawalan permainan, 17 mesin simulator serta wang tunai berjumlah RM9,873.
“Tindakan penguatkuasaan menyeluruh akan terus diperkasakan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta beberapa peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan perjudian haram di negara ini. – Info X