Search

Ops Tiris 4.0: KPDN, PDRM ‘turun padang’ pantau stesen minyak di Beaufort

April 3, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperketat pemantauan apabila turun padang melaksanakan Ops Tiris 4.0 di beberapa stesen minyak sekitar daerah ini.

Operasi bersepadu itu memberi tumpuan kepada usaha mengekang penyelewengan bahan api, khususnya diesel yang sering menjadi sasaran aktiviti haram, selain memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan jualan bahan api bersubsidi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Beaufort, Julie Julhani berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi.

Menurutnya, pemeriksaan merangkumi semakan rekod stok, transaksi jual beli bahan api serta pematuhan penjualan petrol RON95 yang hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia melalui sistem subsidi BUDI MADANI.

“Pemantauan berterusan ini penting bagi memastikan tidak berlaku sebarang ketirisan yang boleh menjejaskan bekalan dan kepentingan rakyat.

“Dalam operasi sama, pasukan penguat kuasa turut meneliti had kuantiti jualan mengikut kategori kenderaan selain mengenal pasti kenderaan mencurigakan yang berpotensi terlibat dalam aktiviti penyelewengan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata PDRM turut memberi amaran tegas bahawa sebarang ancaman terhadap pegawai yang menjalankan tugas rasmi tidak akan dikompromi.

“Operasi bersepadu itu akan terus dilaksanakan dengan penglibatan pelbagai agensi bagi memperkukuh kehadiran di lapangan serta meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap usaha kerajaan membanteras penyelewengan bahan api.

“Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui saluran rasmi KPDN bagi membantu penguatkuasaan yang lebih berkesan,” katanya. – Info X