KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang ditahan polis kerana tiada dokumen pengenalan diri sebelum dikaitkan dengan kes tiada kewarganegaraan pada Mac lalu didakwa atas pertuduhan memasuki Sabah tanpa dokumen yang sah.
Tertuduh, Mohd Nico Ansboy, 18, yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Khamis, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Hurman Hussain.
Dia berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah di sisi undang-undang untuk memasuki Sabah.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan disebat tidak lebih enam sebatan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan pada jam 3 petang, 15 Mac lalu di kawasan 1Borneo, dekat sini.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 April ini bagi permohonan jaminan sementara menunggu peguam yang mewakili tertuduh, manakala 30 April untuk pengurusan kes pra-perbicaraan.
Pada prosiding pertuduhan itu, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Pegawai Pendakwa kes itu, Inspektor Deanivo Sittin, membantah jaminan kerana Nico tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, selain kes seumpama itu lazimnya tidak diberikan jaminan.
Tertuduh yang mendakwa mempunyai peguam, memohon jaminan dengan mendakwa dilahirkan di Sabah, namun gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi membuktikan dakwaannya. – Info X