KUDAT: Kegiatan menyimpan petrol tanpa kebenaran terbongkar apabila seorang lelaki warga tempatan berusia 76 tahun ditahan dalam operasi bersepadu Ops Tiris 4.0 di Kampung Pagasaon, Pitas, semalam.
Serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kudat dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat, Kudat, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi itu menyasarkan kawasan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ penyelewengan bahan api berhampiran perairan yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan serta pengedaran secara tidak sah.

Hasil pemeriksaan, pihak berkuasa menemukan sebanyak 2,600 liter petrol disimpan tanpa kebenaran dalam 13 tong drum di bahagian belakang sebuah struktur bangunan.
Minyak berkenaan dipercayai disorok dan ditutup menggunakan kanvas bagi mengelakkan dikesan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Ia membabitkan kesalahan berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau kebenaran yang sah.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan, khususnya bahan api yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan dan lebih agresif terutama di kawasan berisiko tinggi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PPM Wilayah Empat Kudat atas kerjasama dalam menjayakan operasi berkenaan.
“Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan melalui saluran rasmi KPDN bagi membantu usaha membanteras kegiatan berkenaan,” katanya. – Info X