NABAWAN: Seorang pemandu lori tersepit selepas kenderaan dipandunya terbabas sendiri di Simpang SLDB Binakaan, Jalan Nabawan – Sook, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa lelaki berusia 55 tahun mengalami kecederaan selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
Lori 10 tan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan, menyebabkan mangsa tidak dapat keluar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faizal Ahmad berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.

“Sebaik tiba, pihaknya mendapati mangsa masih tersepit di dalam kenderaan.
“Anggota bertindak menggunakan peralatan khas ‘Hydraulic Rescue Tools’ bagi mengeluarkan mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut,” katanya.
Operasi membabitkan enam anggota bersama sebuah jentera itu tamat sepenuhnya pada jam 5.08 petang selepas keadaan disahkan selamat. – Info X