Search

Pukul dan ugut mangsa, lelaki akhirnya terima padah

April 4, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan seorang lelaki mencederakan dan mengugut mangsa membawa padah apabila dia diberkas polis dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Dominic, di sini, petang tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 1.30 petang itu, suspek lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan sepasukan Strike Team dari Balai Polis Tawau hasil maklumat berkaitan kes yang disiasat.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat susulan laporan kes mencederakan dan ugutan jenayah yang berlaku sebelum ini.

“Suspek ditahan di sebuah premis dan dipercayai terbabit dalam kes mencederakan serta ugutan jenayah.

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan kesalahan jenayah dan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara. – Info X