Search

Media penghubung kerajaan-rakyat, sampaikan maklumat tepat

April 4, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengakui peranan penting media sebagai jambatan penghubung di antara kerajaan dengan rakyat dan menyampaikan maklumat dengan tepat.

Menjelaskan perkara itu, Pengarah Media dan Komunikasi di Jabatan Ketua Menteri (JKM), Datuk Lucy Irene Yong, berkata peranan itu amat dihargai sejajar kedudukan media sebagai rujukan utama masyarakat.

“Kami menghargai peranan media menyampaikan dasar-dasar kerajaan dengan jelas dan dalam masa yang sama membawa suara rakyat kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.

“Namun , walaupun peranan media pada hari ini menuntut kepantasan, ia tidak harus mengabaikan ketepatan.

“Dalam era lambakan maklumat, media yang efektif adalah media yang menyebarkan berita yang sahih, sekali gus menjadi rujukan utama masyarakat dalam membentuk fakta yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Aidilfitri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor Bersama Media, di sini pada Sabtu.

Hajiji turut hadir pada majlis berkenaan.

Lucy yang mewakili Ketua Menteri turut menyatakan penghargaan kerajaan terhadap komitmen dan dedikasi rakan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, sama ada melalui media kerajaan, media arus perdana atau media sosial.

Dalam pada itu, katanya Pejabat Media dan Komunikasi JKM akan terus memastikan segala laporan dan berita berkaitan kerajaan negeri dan Ketua Menteri dikongsikan kepada pihak media dengan cepat dan tepat, untuk dihebahkan dalam media masing-masing.

“Pihak kami juga akan memastikan kerjasama dengan media terus diperkukuhkan,” katanya.

Majlis Hari Raya Aidilfitri itu dihadiri kira-kira 200 wartawan dan pengamal, termasuk Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil; Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA), Datuk Jimmy Goh, ketua-ketua pengarang dan ketua-ketua biro.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Khan Bahadar dan ketua-ketua jabatan.

Ends