Search

Kos tenaga elektrik di Sabah dijangka kekal, pelaksanaan BDR akan dibincang – KM

April 4, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah dijangka tidak berdepan peningkatan kos tenaga elektrik disebabkan kenaikan harga minyak dunia, terutama diesel akibat perang di Asia Barat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia berikutan sebahagian besar tenaga elektrik di negeri ini dijana menggunakan gas yang disalurkan terus oleh PETRONAS.

Beliau berkata, walaupun Malaysia tidak terkecuali menerima kesan buruk daripada krisis yang berlaku di Asia Barat, namun kos tenaga elektrik dijangka mampu bertahan.

“Kita sentiasa memantau dan kerajaan Persekutuan mengatakan ia akan lihat apa yang berlaku pada peperangan ini, kalau berlanjutan mungkin kita juga terkesan di sini.

“Tapi, yang baiknya kita punya tenaga elektrik, daripada 1,400 megawatt (MW), 1,100 MW dibekalkan dari gas PETRONAS, jadi kita tidak terkesan di situ.

“Cuma 300 MW dari diesel dan ini yanh kita kena perhatikan, kalau harga diesel naik, kita pasti terjejas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Bersama Media, di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perjumpaan dengan semua Ketua Menteri dan Menteri. Besar pada Jumaat bagi membincangkan kesan dihadapi Malaysia akibat krisis di Asia Barat.

“Tujuannya, mereka beri taklimat mengenai masalah yang kita hadapi, bukan saja di Malaysia tapi di seluruh dunia akibat perang di Iran.

“Kita menghadapi krisis tenaga terutama di beberapa negara dan krisis ekonomi di sesetengah negara akibat harga minyak dan barang yang naik.

“Jadi, kita diminta memantau dan mengambil langjah yang patut bagi menghadapi keadaan ini,” katanya.

Katanya, di peringkat kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri mengarahkan perkhidmatan awam melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) untuk menjimatkan tenaga dan belanja bermula 15 April ini.

“Ini satu perkara yang harus diberi tumpuan, rakyat harus faham walaupun perang berlaku di Timur Tengah, tapi kesannya dirasai semua,” katanya.

Bagaimanapun, katanya di peringkat negeri cadangan BDR akan dibawa ke mesyuarat Kabinet negeri akan datang sama ada wujud keperluan untuk melaksanakannya atau tidak. – Info X