Search

‘Waktu saya kini telah sampai ke penghujung’ – Abdul Rahman Dahlan

April 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: “Saya percaya setiap peranan dalam sesebuah organisasi mempunyai waktunya, dan waktu saya kini telah sampai ke penghujung,”.

Itu luahan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, dipercayai merujuk berita mengenai peletakan jawatannya sebagai Ketua UMNO Tuaran yang berkuatkuasa pada 1 April lalu.

Menerusi perkongsian di Facebook pada Sabtu, Abdul Rahman berkata, beliau sudah diberi peluang untuk berkhidmat, belajar dan memimpin.

Katanya, kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan tetapi juga mengenai mengetahui bila masanya untuk berundur dengan penuh maruah.

“Saya telah diberi peluang dan kehormatan untuk berkhidmat, menyumbang, belajar dan memimpin.

“Namun, kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan, tetapi juga tentang mengetahui bila masanya untuk berundur dengan penuh maruah, hati yang tenang, rasa syukur yang mendalam, serta keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap masa depan.

“Saya percaya setiap peranan dalam sesebuah organisasi mempunyai waktunya, dan waktu saya kini telah sampai ke penghujung,” katanya di Facebook.

Meskipun tidak menyebut mengenai peletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Tuaran, perkongsian di Facebook itu dipercayai berkaitan dengan perkara berkenaan.

Sebelum ini, sebuah portal berpangkalan di Selangor melaporkan tindakan bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu meletak jawatan sebagai Ketua UMNO Tuaran.

Beliau bagaimanapun tidak memberi sebarang alasan berhubung tindakan itu, namun menjelaskan mahu memberi laluan kepada orang baharu.

Namun, katanya beliau masih memegang jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Berikutan keputusan itu, jawatan Ketua UMNO Tuaran kini dipangku Timbalan Ketuanya, Noorbaki Lamsari.

Keputusan itu, katanya sudah dimaklumkan kepada kepemimpinan UMNO, termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad. Zahid Hamidi.

Abdul Rahman menjadi Ketua UMNO Tuaran selepas jawatan itu ditinggalkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika meninggalkan UMNO pada Disember 2018.

Beliau sebelum ini juga pernah memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Sabah, ketika UMNO Sabah di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin. – Info X