October 14, 2026
Info X Reporters
Bertahun suara bergema, Matbali kecewa isu rakyat Sipitang belum diambil tindakan
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menyuarakan kekecewaannya berhubung beberapa isu kepentingan rakyat di Sipitang, termasuk Jalan Mendulong-Meligan-Long Pasia yang sehingga kini belum diambil tindakan oleh kerajaan. Beliau berkata, isu jalan berkenaan dibangkitkannya sejak empat tahun lalu, selain turut dibangkitkan oleh penyandang Ahli Parlimen Sipitang yang terdahulu namun sehingga kini masih belum diberi perhatian. “Bertahun-tahun suara ini bergema, bertukar wakil rakyat, beralih kerajaan demi kerajaan, namun persoalannya masih sama. “Bilakah jalan ini akan dinaik taraf? Sampai bilakah penduduk pedalaman harus menunggu?,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Selasa. Matbali membangkitkan sekurang-kurangnya 10 isu kepentingan rakyat di Sipitang sepanjang 20 minit perbahasannya, antaranya berkaitan isu jalan raya, bekalan air, elektrik, pendidikan, kesihatan dan ekonomi. Turut dibawa ialah isu kemudahan asas, banjir, perumahan dan peluang ekonomi peniaga kecil dengan harapan kerajaan mengambil tindakan segera untuk menanganinya. Katanya, projek menaik taraf Jalan Kampung Bamban-Mendulong-Meligan sepanjang kira-kira 40 kilometer perlu dipercepatkan, manakala cadangan menaik taraf Jalan Meligan-Long Pasia sepanjang kira-kira 42 kilometer perlu diberikan perhatian serius bagi melengkapkan akses ke kawasan pedalaman. Matbali yang juga Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia (LKM) turut membangkitkan mengenai Projek Lebuh Raya Pan Borneo bagi jajaran Sindumin-Melalia-Beaufort dan meminta kerajaan menjelaskan status terkini kemajuan projek berkenaan. Beliau turut membangkitkan semula mengenai projek menaik taraf Jalan Mentulud 1 dan Mentulud 2 di Beaufort yang mana sehingga kini kerja pelaksanaannya masih belum bermula. “Ketika saya membangkitkan isu ini pada November tahun 2024, jawapan bertulis yang diberikan bahawa ia masih di peringkat pra kelayakan pada waktu itu,” katanya, sambil meminta penjelasan mengenai punca kelewatan dan langkah yang akan diambil untuk mempercepatkannya. Dalam pada itu, Matbali berkata terdapat seramai 7,319 penduduk, melibatkan 1,219 rumah di 21 kampung di Sipitang yang masih tidak menikmati bekalan air bersih. Katanya, projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) pernah dibangkitkannya ketika perbahasan Belanjawan Tahun 2025 berkaitan Projek Rawatan Air Kg Usuk, Sungai Lukutan dan Pepolor Sungai Tiga Sipitang, yang mana sehingga kini ia masih tidak ada kesudahannya. “Pada perbahasan yang sama saya turut membangkitkan mengenai projek jalan Kampung Mendulong-Meligan dan Jalan Bangkalalak-Mentulud. “Jawapan yang diberikan pada masa itu melegakan kami, tetapi setelah dua tahun berlalu, apa yang boleh saya katakan, ia umpama menanam tebu di tepi bibir,” katanya. Mengenai bekalan elektrik, Matbali berkata ribuan penduduk di kawasan pedalaman Sipitang masih berhadapan dengan masalah bekalan elektrik. Beliau mengambil contoh di Mukim Malamam sahaja, terdapat enam kampung dengan jumlah 2,073 penduduk yang tinggal di 287 rumah, masih menantikan penyelesaian terhadap keperluan bekalan elektrik. “Saya juga membangkitkan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) menggunakan Sistem Solar Hibrid yang telah dilaksanakan di beberapa kampung di pedalaman Sipitang. “Projek ini dilaporkan telah terbengkalai sejak tahun 2019. Akibatnya, penduduk terpaksa bergantung pada lampu solar dan generator set, sebagai sumber tenaga alternatif,” katanya. – Info X
October 14, 2026
Info X Reporters
Rumah teres, empat kenderaan terbakar di Putatan
PUTATAN: Sebuah rumah teres musnah 80 peratus, manakala empat kenderaan turut terbakar dalam kejadian di Taman Teluk Villa, di sini, awal pagi ini. Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Kota Kinabalu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.25 pagi. Katanya, seramai 25 anggota bersama enam jentera kemudian digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman. “Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati rumah berkenaan terbakar 80 peratus, selain sebuah Honda HR-V turut mengalami kemusnahan pada kadar sama. “Dua lagi kereta iaitu Toyota Vios dan Toyota Wish masing-masing terbakar 30 peratus, manakala motosikal Honda EX5 terbakar 10 peratus,” katanya. Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.52 pagi dan kerja pemadaman bara api diteruskan bagi memastikan tiada kebakaran berulang. Katanya, operasi turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkaitan. – Info X
October 14, 2026
Info X Reporters
Stor peralatan ladang musnah terbakar
LAHAD DATU: Sebuah stor penyimpanan peralatan pekerja ladang di Ladang Bonrich, Batu 17, Jalan Lahad Datu-Sandakan, di sini, musnah 90 peratus dalam kebakaran malam tadi. Kejadian membabitkan bangunan jenis kekal berkeluasan kira-kira 42 meter persegi itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.57 malam sebelum 10 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi. “Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua pancutan air daripada tangki jentera sehingga kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.44 malam,” katanya. Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.59 malam selepas memastikan keadaan selamat. – Info X
October 13, 2026
Info X Reporters
Suspek samun cuba tenggelamkan polis, tembakan amaran dilepaskan
TAWAU: Seorang anggota polis hampir ditenggelamkan oleh suspek samun bersenjata yang bertindak agresif ketika cuba melarikan diri daripada ditahan dalam operasi di Kampung Titingan, di sini, Jumaat lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an turut cuba menyerang anggota polis menggunakan sebatang besi sebelum terjun ke laut bagi mengelak ditangkap. Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas selepas polis terpaksa melepaskan tembakan amaran, manakala dua anggota mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Pondok Polis Kawasan Titingan menjalankan operasi tangkapan. Katanya, operasi itu dijalankan bagi mengesan tiga suspek kes samun bersenjata dan cubaan merogol seorang wanita warga asing berusia 18 tahun yang berlaku kira-kira jam 3.50 pagi hari sama. “Dalam kejadian samun itu, tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai melarikan dua telefon bimbit dan wang tunai RM434 milik mangsa dengan kerugian keseluruhan dianggarkan RM3,500. “Ketika operasi tangkapan, seorang suspek bertindak agresif dengan cuba menyerang anggota polis menggunakan sebatang besi sebelum terjun ke laut. “Suspek turut memukul dan cuba menenggelamkan seorang anggota polis ketika dikejar sehingga tembakan amaran terpaksa dilepaskan sebelum dia berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan, malam ini. Rosdi berkata, pemeriksaan mendapati suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, manakala sebatang besi turut dirampas. Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Mengulas video kejadian yang tular di media sosial, beliau menegaskan rakaman itu memaparkan tindakan polis melepaskan tembakan amaran ketika operasi tangkapan pada 9 Oktober lalu. “Video berkenaan bukan kejadian berbalas tembakan atau kejadian baharu seperti yang mungkin disangka orang ramai,” katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 354 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi suspek masih diburu. Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Norhafizah Hussin di talian 012-527 9004 serta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video tular itu. – Info X
October 13, 2026
Info X Reporters
Remaja 15 tahun dipatuk ular tedung di depan kedai tayar
TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikejarkan ke hospital selepas dipatuk ular tedung di hadapan sebuah kedai tayar di Batu 3, Jalan Apas, di sini, malam ini. Mangsa yang dipatuk ular jenis Sumatran Spitting Cobra (Naja sumatrana) dihantar ke Hospital Tawau oleh ahli keluarganya sebelum pasukan bomba tiba di lokasi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.50 malam. Katanya, lima anggota bersama jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira 13 minit kemudian. “Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seekor ular tedung berada di hadapan kedai tayar berkenaan, manakala mangsa sudah dibawa ke hospital oleh keluarganya. “Anggota bomba kemudian bertindak menangkap ular terbabit bagi memastikan keselamatan orang awam di kawasan itu,” katanya. Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 8.18 malam selepas keadaan disahkan selamat dan tiada lagi ancaman bahaya. “Pihak bomba turut menghubungi Hospital Tawau bagi mendapatkan perkembangan keadaan mangsa dan dimaklumkan remaja terbabit berada dalam keadaan stabil,” katanya. – Info X
October 13, 2026
Info X Reporters
KM bincang isu semasa bersama Ahli Parlimen Sabah
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen dari Sabah bagi membincangkan isu-isu semasa, di sini, pada Selasa. Antara Ahli Parlimen hadir ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Lo Su Fui (Tawau) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Ewon Benedick (Penampang), Datuk Madius Tangau (Tuaran), Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Jonathan Yasin (Ranau), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Kalabakan), Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Riduan Rubin (Tenom). Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman. Ketua Menteri berada di ibu negara bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-150 di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, pada Selasa. Hajiji turut dijadual mengiringi Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke 273 selama dua hari di Istana Negara bermula esok. – Info X
October 13, 2026
Info X Reporters
Jerebu: Sekolah di Tawau diarah tutup mulai esok
KOTA KINABALU: Semua sekolah di Tawau diarahkan ditutup mulai Rabu (14 Oktober) berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk. Penutupan itu diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman menerusi satu kenyataan, malam ini. Katanya, Kerajaan Negeri mengarahkan semua sekolah di kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut ditutup buat sementara waktu. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, berkata langkah itu diambil bagi melindungi murid dan guru daripada kesan buruk jerebu terhadap kesihatan. “Langkah ini juga selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan susulan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya. – Info X
October 13, 2026
Info X Reporters
Polis buru lima individu belasah lelaki gara-gara tegur ekzos bising
SANDAKAN: Polis giat mengesan lima individu yang disyaki membelasah seorang lelaki berusia 23 tahun selepas mangsa menegur bunyi ekzos sebuah kereta dalam kejadian di Bandar Utama IJM Batu 6, di sini, malam Sabtu lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam itu, mangsa dipukul sehingga terbaring selepas menegur pemandu Perodua Kancil yang berulang kali membunyikan ekzos dengan kuat di Jalan Dataran BU 5. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang melepak bersama tiga rakannya di hadapan sebuah bangunan kedai tidak beroperasi. Katanya, mangsa menjerit menegur pemandu kereta berkenaan kerana mendakwa kejadian sama pernah berlaku sehingga dia bersama rakannya dimarahi polis trafik. “Selepas ditegur, pemandu terbabit beredar sebelum meletakkan keretanya tidak jauh dari lokasi kejadian. “Tidak lama kemudian, lima individu datang bersama pemandu berkenaan sebelum menyerang dan memukul mangsa sehingga terbaring,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mangsa mengalami luka ringan di bahagian atas kening kiri selain lebam pada hidung dan kedua-dua lengan. “Seorang rakan mangsa yang sedang membuat siaran langsung menerusi aplikasi TikTok sempat merakam kejadian itu selama 53 saat sebelum menghentikan rakaman kerana bimbang keselamatannya. “Serangan hanya terhenti selepas beberapa individu lain yang berada berhampiran meleraikan pergaduhan berkenaan,” katanya. George berkata, tiada sebarang senjata digunakan dalam kejadian itu dan polis menerima laporan daripada mangsa awal pagi tadi. “Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan usaha mengesan lima suspek sedang giat dijalankan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya. Terdahulu, rakaman video memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu di kawasan berkenaan tular di media sosial sehingga menarik perhatian orang ramai. – Info X