KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menyuarakan kekecewaannya berhubung beberapa isu kepentingan rakyat di Sipitang, termasuk Jalan Mendulong-Meligan-Long Pasia yang sehingga kini belum diambil tindakan oleh kerajaan.
Beliau berkata, isu jalan berkenaan dibangkitkannya sejak empat tahun lalu, selain turut dibangkitkan oleh penyandang Ahli Parlimen Sipitang yang terdahulu namun sehingga kini masih belum diberi perhatian.
“Bertahun-tahun suara ini bergema, bertukar wakil rakyat, beralih kerajaan demi kerajaan, namun persoalannya masih sama.
“Bilakah jalan ini akan dinaik taraf? Sampai bilakah penduduk pedalaman harus menunggu?,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Selasa.
Matbali membangkitkan sekurang-kurangnya 10 isu kepentingan rakyat di Sipitang sepanjang 20 minit perbahasannya, antaranya berkaitan isu jalan raya, bekalan air, elektrik, pendidikan, kesihatan dan ekonomi.
Turut dibawa ialah isu kemudahan asas, banjir, perumahan dan peluang ekonomi peniaga kecil dengan harapan kerajaan mengambil tindakan segera untuk menanganinya.
Katanya, projek menaik taraf Jalan Kampung Bamban-Mendulong-Meligan sepanjang kira-kira 40 kilometer perlu dipercepatkan, manakala cadangan menaik taraf Jalan Meligan-Long Pasia sepanjang kira-kira 42 kilometer perlu diberikan perhatian serius bagi melengkapkan akses ke kawasan pedalaman.
Matbali yang juga Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia (LKM) turut membangkitkan mengenai Projek Lebuh Raya Pan Borneo bagi jajaran Sindumin-Melalia-Beaufort dan meminta kerajaan menjelaskan status terkini kemajuan projek berkenaan.
Beliau turut membangkitkan semula mengenai projek menaik taraf Jalan Mentulud 1 dan Mentulud 2 di Beaufort yang mana sehingga kini kerja pelaksanaannya masih belum bermula.
“Ketika saya membangkitkan isu ini pada November tahun 2024, jawapan bertulis yang diberikan bahawa ia masih di peringkat pra kelayakan pada waktu itu,” katanya, sambil meminta penjelasan mengenai punca kelewatan dan langkah yang akan diambil untuk mempercepatkannya.
Dalam pada itu, Matbali berkata terdapat seramai 7,319 penduduk, melibatkan 1,219 rumah di 21 kampung di Sipitang yang masih tidak menikmati bekalan air bersih.
Katanya, projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) pernah dibangkitkannya ketika perbahasan Belanjawan Tahun 2025 berkaitan Projek Rawatan Air Kg Usuk, Sungai Lukutan dan Pepolor Sungai Tiga Sipitang, yang mana sehingga kini ia masih tidak ada kesudahannya.
“Pada perbahasan yang sama saya turut membangkitkan mengenai projek jalan Kampung Mendulong-Meligan dan Jalan Bangkalalak-Mentulud.
“Jawapan yang diberikan pada masa itu melegakan kami, tetapi setelah dua tahun berlalu, apa yang boleh saya katakan, ia umpama menanam tebu di tepi bibir,” katanya.
Mengenai bekalan elektrik, Matbali berkata ribuan penduduk di kawasan pedalaman Sipitang masih berhadapan dengan masalah bekalan elektrik.
Beliau mengambil contoh di Mukim Malamam sahaja, terdapat enam kampung dengan jumlah 2,073 penduduk yang tinggal di 287 rumah, masih menantikan penyelesaian terhadap keperluan bekalan elektrik.
“Saya juga membangkitkan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) menggunakan Sistem Solar Hibrid yang telah dilaksanakan di beberapa kampung di pedalaman Sipitang.
“Projek ini dilaporkan telah terbengkalai sejak tahun 2019. Akibatnya, penduduk terpaksa bergantung pada lampu solar dan generator set, sebagai sumber tenaga alternatif,” katanya. – Info X