SANDAKAN: Seorang wanita yang sedang menjual buah-buahan di tepi jalan maut selepas gerainya dirempuh lori treler membawa muatan kayu balak dalam kemalangan di Jalan Labuk, Batu 27, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa Ernawati Lajaruddin, 50, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Ulu Dusun selepas dibawa ke pusat kesihatan berkenaan untuk mendapatkan rawatan.
Kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah kereta itu turut menyebabkan seorang wanita berusia 31 tahun cedera parah selepas tersepit dalam lori kargo 10 tan.
Tiga lagi mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan terselamat.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, mangsa yang berniaga di tepi jalan dibawa ke Klinik Kesihatan Ulu Dusun selepas mengalami kecederaan dalam kemalangan berkenaan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.

“Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kerja-kerja mengalihkan muatan kayu balak yang bertaburan di atas jalan raya turut dijalankan bagi membolehkan laluan dibuka semula kepada pengguna jalan raya. – Info X