Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 29, 2026

BERNAMA

Siasatan RCI Tabung Haji diteruskan bagi elak negara terus tanggung rugi – Anwar

BUKIT MERTAJAM: Siasatan berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) akan diteruskan bagi memastikan negara tidak berterusan menanggung kerugian, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri menegaskan bahawa tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya hasil siasatan mendapati wujud kesalahan, namun proses berkenaan mesti berlandaskan bukti dan undang-undang. “Macam (siasatan RCI) Tabung Haji, apabila tidak ambil tindakan, negara akan rugi, (tetapi apabila) ambil tindakan, saya kena maki. Saya pun tidak faham.  “Saya kata duit hilang RM12 bilion, macam mana hilang? Bila hilang? Siapa yang hilangkan, hal itu (pihak berkuasa) siasat. Ada bukti, dakwa di mahkamah dan kemudian serah kepada hakim. Itu cara kita perintah dan mentadbir,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Skim Usahawan Bangkit (SUB) MADANI Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman, Penanti, di sini hari ini. Anwar berkata kerajaan tidak akan menghukum mana-mana pihak tanpa proses sewajarnya, namun tidak akan berkompromi sekiranya terdapat bukti kukuh berlakunya salah laku. Pada 29 Julai lepas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020. Laporan itu mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan institusi berkenaan bagi tempoh tersebut, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas. Mengulas lanjut, Anwar berkata usaha membanteras ketirisan perlu diteruskan kerana Malaysia  mempunyai sumber kewangan yang besar, namun sebahagian manfaatnya tidak sampai kepada rakyat akibat kebocoran dalam pengurusan dana dan peruntukan negara. Menteri Kewangan itu berkata usaha membendung ketirisan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan untuk memastikan setiap peruntukan yang disediakan dapat dimanfaatkan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan. “Apa tujuan ambil tindakan? Supaya (dapat) halang ketirisan. Siapa kata Malaysia ini miskin? Bukan, (cuma bantuan) tidak sampai ke bawah sebab banyak bocor di tengah jalan,” kata beliau. Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan kekal komited membantu semua lapisan masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif yang menyentuh keperluan rakyat secara langsung. Beliau berkata bantuan kerajaan perlu merangkumi usaha membantu rakyat menjana pendapatan, mendapatkan pendidikan serta menguasai kemahiran dan teknologi.Kerajaan, kata beliau, telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk melalui Amanah Ikhtiar Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), namun usaha memperkasakan rakyat untuk berdikari perlu terus dipertingkat. Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan terus memperkukuh peranan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), khususnya dalam membawa kemudahan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) ke kawasan luar bandar. “Malaysia satu-satunya negara yang AI dan teknologi itu kita bawa ke daerah-daerah. Setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) ada satu NADI.  “Kita menang pada peringkat dunia sebab kita buat NADI sampai ke Pulau Banggi, di hujung Sabah, namun kejayaan itu belum cukup kerana ramai yang tidak tahu apa itu NADI. Ramai yang tidak memanfaatkannya,” kata beliau. Terdahulu, Anwar menyerahkan sijil kepada enam pemohon yang berjaya dalam program Skim Usahawan Bangkit di Permatang Pauh.– BERNAMA

August 29, 2026

Info X Reporters

369 atlet berentap dalam Kejohanan Terbuka Taekwondo SSTA

KOTA KINABALU: Seramai 369 atlet mempamerkan kehebatan masing-masing dalam Kejohanan Jemputan Terbuka Kebangsaan Persatuan Taekwondo Negeri Sabah (SSTA) 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam. Penganjuran kali kedua itu menghimpunkan atlet dari Sabah, Sarawak, Selangor dan Perak serta dijangka menarik kira-kira 1,000 pengunjung sepanjang kejohanan berlangsung hingga esok. Kejohanan yang berlangsung di Wisma Lembaga Hasil, Karamunsing itu dirasmikan dirasmikan Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Sabah, Datin Dayang Halimah Awang Ahmad. Setiausaha SSTA merangkap wakil jawatankuasa penganjur, Mohd Hanif Zakhilan berkata, kejohanan itu menyediakan platform kepada atlet muda menguji kemampuan serta meningkatkan kemahiran dalam suasana pertandingan kompetitif. “Taekwondo bukan sekadar seni mempertahankan diri atau merebut pingat, malah menjadi medan membentuk karakter, disiplin, sikap saling menghormati, kesabaran dan semangat tidak mudah menyerah kalah. “Kami berharap kejohanan ini dapat mencungkil lebih ramai bakat baharu yang berpotensi mewakili negeri dan negara pada peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui. Menurutnya, penyertaan atlet dari beberapa negeri turut menggambarkan semangat persaudaraan dan perkembangan positif sukan taekwondo di negara ini. Kejohanan itu turut diserikan dengan kehadiran tenaga pengajar dan pengadil antarabangsa, Master Noel Keating dari Thailand sebagai tetamu khas. Turut hadir Presiden SSTA, Senior Master Christopher Wee; barisan jurulatih, tenaga pengajar, pegawai teknikal serta ibu bapa peserta. Mohd Hanif berkata, kejayaan penganjuran kejohanan berkenaan adalah hasil kerjasama jawatankuasa, pengadil, pegawai teknikal, sukarelawan dan sokongan ibu bapa. “Menang atau kalah adalah adat pertandingan, namun pengalaman, disiplin dan persahabatan yang terbina menjadi perkara paling bernilai kepada setiap atlet,” katanya. – Info X

August 29, 2026

Info X Reporters

Lebih tiga tan minyak masak dirampas di jeti tidak berdaftar

SEMPORNA: Lebih tiga tan minyak masak peket dipercayai cuba diseleweng dirampas dalam serbuan di sebuah jeti tidak berdaftar di Kampung Tanjung Kapor, di sini, semalam. Serbuan kira-kira 7.20 pagi oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima serahan kes berkenaan daripada PPM menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu). “Sebanyak 3,060 kilogram minyak masak paket satu kilogram pelbagai jenama dan enam tong gas petroleum cecair (LPG) dirampas. “Turut dirampas sebuah bot kayu berwarna hijau dan tiga unit enjin pam berkuasa 19 kuasa kuda,” katanya. Menurut kenyataan itu, nilai barang kawalan yang dirampas dianggarkan RM7,809.60, manakala barangan bukan kawalan bernilai RM2,000. Jumlah keseluruhan rampasan bagi kes berkenaan dianggarkan RM9,809.60. “Lelaki yang ditahan diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut. “Semua barangan rampasan pula disimpan sementara di Pangkalan dan Stor Eksibit PPM Semporna bagi tujuan siasatan. “Kes diklasifikasikan sebagai rampasan tanpa tuan dan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. KPDN memberi amaran kepada individu atau syarikat supaya mematuhi undang-undang berkaitan barang kawalan dan tidak terbabit dalam sebarang kegiatan penyelewengan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan berkenaan boleh menyalurkan aduan menerusi WhatsApp KPDN di talian 019-848 8000 atau pusat panggilan 1-800-886-800,” katanya. – Info X

August 29, 2026

Info X Reporters

Aksi awal Liga Super bukan ujian sebenar Sabah FC

KOTA KINABALU: Dua perlawanan awal Liga Super bukan ujian sebenar buat Sabah FC, sebaliinya cabaran besar bakal tiba Rabu depan pada pertemuan dengan Selangor FC bagi perlawanan Piala FA di Stadium Likas. Menjelaskan perkara itu, Ketua Jurulatihnya, Juan Torres Garrido menyifatkan keupayaan sebenar pasukan yang dipimpinnya pada musim ini akan diuji pada perlawanan besar itu nanti. Beliau mengakui, selepas dua kemenangan perlawanan awal aksi Liga Super iaitu menentang Penang City malam tadi dan Star City FC pada Isnin lalu, masih banyak yang perlu diperbaiki pasukannya. “Sentiasa ada banyak perkara yang perlu diperbaiki. Ini baru perlawanan kedua dalam Liga Super dan selepas ini kita mempunyai perlawanan yang sukar pastinya menentang Selangor. “Kita lihat bagaimana prestasi Sabah FC menentang mereka nanti dan kita akan cuba belajar selepas setiap perlawanan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan Sabah menentang Penang di Stadium Likas, di sini, malam tadi. Sabah mengutip tiga mata penuh selepas menundukkan Penang 2-0 dalam perlawanan yang sedikit terganggu disebabkan keadaan padang kurang selesa berikutan hujan lebat dan berangin. Garrido bagaimanapun berharap anak buahnya dapat mengekalkan rentak permainan yang baik dalam dua perlawanan sebelum ini pada pertemuan dengan Selangor itu nanti. Beliau juga yakin perlawanan itu bakal menjadi tumpuan peminat dan penyokong bola sepak Sabah yang mahu melihat keupayaan Sang Badak berdepan pasukan besar seperti Selangor. “Saya rasa selepas dua perlawanan ini lebih ramai orang akan datang ke Stadium Likas terutama perlawanan besar yang akan dihadapi Sabah FC nanti. “Kita berharap cuaca pada perlawanan itu nanti lebih baik berbanding malam ini supaya keadaan padang lebih baik dan kita dapat memberikan persembahan yang baik pada Rabu depan,” katanya. Mengulas perlawanan malam tadi, Garrido menyifatkan keadaan padang yang becak dan licin menjadikan permainan agak sukar bagi pasukannya berbanding perlawanan pertama sebelum ini. Katanya, keadaan padang di Stadium Likas perlu diperbaiki supaya tidak menjejaskan permainan walaupun perlawanan diadakan dalam keadaan padang yang basah. “Kita menjangkakan konteks yang berbeza berbanding perlawanan sebelum ini, tetapi cuaca mengejutkan kami. Jadi, ia tidak mudah dan saya rasa syukur kita mendapat bahagian padang yang lebih baik pada separuh masa pertama dan berjaya mendapat kelebihan. “Separuh masa kedua, padang sangat teruk, jadi saya harap ia boleh diperbaiki kerana untuk gaya permainan kita, adalah sangat penting untuk mempunyai padang yang baik supaya peminat dapat menikmati persembahan yang menarik,” katanya. Dua gol Sabah malam tadi masing-masing dijaringkan penyerangnya, Gonzalo Ignacio Di Renzo dan pemain pertahanan, Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim pada minit ke-40 dan ke-53. – Info X

August 29, 2026

Info X Reporters

Angin kuat mengakibatkan 18 kes pokok tumbang di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Angin kuat yang melanda sekitar bandar raya ini mengakibatkan 18 kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi sejak petang hingga lewat malam tadi. Kejadian itu menyebabkan beberapa laluan terhalang, kabel telekomunikasi terjejas, manakala tiga kenderaan tersangkut selepas dihempap pokok tumbang. Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Mejar (PA) Aizex Junior Simon berkata, pihaknya menerima laporan pertama pada 7.36 malam dan panggilan kecemasan terus diterima sehingga 11 malam. “Sebanyak tiga pasukan digerakkan bagi menangani semua kejadian berkenaan, membabitkan dua pasukan dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu dan satu pasukan dari Pusat Kawalan Operasi Unit Sulaman. “Operasi keseluruhan membabitkan dua pegawai dan 13 anggota yang ditugaskan memotong serta mengalihkan pokok tumbang,” katanya ketika dihubungi. Menurutnya, antara kawasan terjejas ialah Menggatal, Kepayan, Sembulan, Inanam, Likas, Iramanis, Jalan Damai dan Jalan Gudon. Katanya, dalam kejadian di Pusat Pengembangan Akuakultur Sabah, Menggatal, sebatang pokok tumbang menghempap deretan kenderaan di kawasan parkir sehingga menyebabkan tiga kenderaan tersangkut. “Di Hartamas Heights, Jalan Kepayan Kobusak pula, sebatang pokok mata kucing setinggi bangunan dua tingkat tumbang di hadapan sebuah apartmen. “Pokok berkenaan turut terkena kabel telekomunikasi dan menghalang laluan yang digunakan kira-kira 200 penghuni. “Empat anggota lengkap memakai peralatan perlindungan diri menjalankan kerja pemotongan menggunakan tiga gergaji berantai,” katanya. Beliau berkata, pokok berkenaan berjaya dipotong dan dialihkan sepenuhnya sebelum operasi di lokasi itu selesai pada 9.06 malam. Mengulas lanjut, Aizex berkata, kejadian pokok tumbang turut dilaporkan di hadapan SK Sembulan, Klinik Inanam, Lorong 19 Kampung Warisan, Radiant Tower A di Likas, Iramanis Centre, Sekolah Menengah Sabah Tshung Tsin, Stadium Likas dan Taman Cerah, Jalan Gudon. Katanya, anggota APM bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mengalihkan pokok tumbang, membuka semula laluan serta memastikan kawasan terjejas selamat untuk orang ramai. “Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dalam semua kejadian berkenaan,” katanya. – Info X

August 28, 2026

Info X Reporters

Sang Badak belasah Penang 2-0 di Likas

KOTA KINABALU: Sabah FC menepati sasaran untuk mencipta kemenangan kedua Liga Super musim ini apabila menundukkan Penang FC 2-0 di Stadium Likas, malam ini. Meskipun beraksi di padang yang licin akibat hujan lebat ditambah angin kencang, Sang Badak gagal dijinakkan pasukan Penang yang datang dengan misi untuk menidakkan kemaraan tuan rumah. Gol kemenangan Sabah masing-masing dijaringkan pada separuh masa pertama dan kedua oleh penyerangnya, Gonzalo Ignacio Di Renzo dan pemain pertahanan, Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim. Di Renzo menghadiahkan gol pertama Sabah pada minit ke-40, manakala Hanafie Tokyo pada minit ke-53. Aksi babak pertama berakhir dengan hanya seminit masa tambahan, tanpa sebarang perubahan kedudukan yang menyaksikan Sabah mendahului 1-0. Beralih ke separuh masa kedua, Hanafie Tokyo mendapat peluang yang baik untuk menewaskan penjaga gol Penang, Mohd Ramdhan Ab Hamid pada minit ke-53 untuk Sabah selesa di hadapan dengan kedudukan 2-0. Selepas itu, Sabah berdepan asakan pemain Penang yang terdesak mencari gol untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan, khususnya ketika perlawanan memasuki 15 minit terakhir. Beberapa situasi dan cubaan berbahaya berjaya dicipta pemain lawan, namun pertahanan tuan rumah yang kental menyukarkan usaha mereka membolosi gawang Sabah. Tuan rumah hampir dibolosi menerusi sepakan percuma Penang FC dari luar kotak penalti Sabah pada minit ke-88, namun berjaya ditampan penjaga gol Sang Badak, Juan Flere. Ia adalah usaha akhir pasukan lawan untuk mendapatkan jaringan pada minit akhir perlawanan, sebelum dihadiahkan sepakan sudut pada minit kecederaan, namun masih gagal mendapat sebarang gol. Sang Badak turut mendapat peluang akhir pada minit kecederaan apabila dihadiahkan sepakan percuma, namun gagal membuahkan hasil. Kemenangan 2-0 pada malam ini menepati sasaran Sabah FC untuk sekali lagi memenangi perlawanan awal Liga Super musim ini selepas menewaskan Star City FC 3-1 pada Isnin lalu. – Info X

August 28, 2026

Info X Reporters

Jerit minta tolong sebelum tenggelam dalam parit

BEAUFORT: Seorang kanak-kanak lelaki sempat menjerit meminta pertolongan sebelum tenggelam selepas tergelincir ke dalam parit kebun sawit di Jalan Dua, Kampung Rancangan Klias, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, mangsa berusia 10 tahun dipercayai berjalan di tebing parit bersama rakannya sebelum tergelincir akibat keadaan tanah yang licin selepas hujan. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, mangsa yang tidak pandai berenang kemudian menjerit meminta pertolongan selepas terjatuh ke dalam parit berkenaan. “Rakannya yang panik dan tidak dapat membantu mangsa segera berlari memaklumkan kejadian itu kepada bapa mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah berhampiran. “Bapa mangsa kemudian bergegas ke lokasi kira-kira satu kilometer di belakang rumah mereka sebelum terjun ke dalam parit untuk mencari anaknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, ketika berada di dalam parit, bapa mangsa terpijak kaki anaknya sebelum menarik mangsa naik ke tebing. Katanya, lelaki itu cuba memberikan bantuan pernafasan, namun tidak berjaya sebelum membawa mangsa pulang ke rumah. “Pasukan perubatan Hospital Beaufort yang tiba di rumah mangsa kemudian menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia,” katanya. Champin berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati parit berkenaan baru dibersihkan dan didalamkan serta mempunyai ketinggian kira-kira tiga meter dengan kedalaman air mencecah dua meter. “Paras air dipercayai meningkat berikutan hujan ketika kejadian. “Pemeriksaan luaran oleh pegawai perubatan di Bahagian Forensik Hospital Beaufort tidak menemukan sebarang kesan perbuatan jenayah pada tubuh mangsa,” katanya. Menurutnya, bedah siasat dijadualkan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Beaufort pagi ini bagi mengenal pasti punca kematian. “Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut dan siasatan lanjut diteruskan,” katanya. Sementara itu, Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak dan tidak membenarkan mereka keluar tanpa ditemani orang dewasa, terutama ketika berada berhampiran sungai atau kawasan berair. “Ibu bapa perlu mengetahui lokasi anak-anak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X

August 28, 2026

Info X Reporters

Lima selamat, pokok tumbang hempap dua kenderaan

PENAMPANG: Lima individu terselamat selepas dua kenderaan dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang di The Garden Condominium, di sini, malam ini. Kejadian itu menyebabkan Toyota Avanza dan Toyota Vanguard berkenaan mengalami kerosakan, namun semua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.54 malam sebelum tujuh anggota bergegas ke lokasi. “Pasukan bomba yang tiba empat minit kemudian mendapati sebatang pokok tumbang menghempap dua kenderaan terbabit. “Terdapat lima mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu, namun semuanya berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan. Menurutnya, anggota bomba menggunakan gergaji berantai untuk memotong pokok berkenaan sebelum mengalihkannya ke kawasan selamat. Katanya, tindakan itu dilakukan bagi menghapuskan risiko bahaya terhadap penghuni kondominium dan orang ramai di kawasan berkenaan. “Operasi ditamatkan pada 8.28 malam selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya. – Info X