Search

Lelaki pecah masuk kedai emas dicekup, gelang RM50,000 dirampas

April 2, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Kegiatan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes curi dalam premis membabitkan beberapa kedai emas di sekitar Penampang dan Putatan akhirnya terbongkar apabila dia diberkas polis, pada Selasa lalu.

Suspek tempatan berusia 45 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang kira-kira jam 1 petang, di sebuah bangunan komersial di Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan lanjut ke atas suspek membawa kepada rampasan enam utas gelang tangan emas pelbagai saiz.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM50,000 mengikut harga pasaran.

“Turut dirampas sebuah kenderaan, telefon bimbit, pakaian serta dokumen berkaitan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah harta benda serta penyalahgunaan dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan bagi kesalahan berulang boleh dikenakan sebatan.

Sementara itu, beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau mencurigakan kepada pihak polis.

Katanya, kerjasama itu penting bagi membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. – Info X