KOTA KINABALU: Permintaan bekalan elektrik berikutan cuaca panas di Sabah, khususnya di kawasan Sepanggar masih mampu ditampung berikutan agihan tenaga yang lebih stabil melalui infrastruktur baharu Sabah Electricity.
Ketua Pegawai Projek Major Sabah Electricity, Abdul Razak Salleh, berkata pengagihan bekalan boleh ditambah jika berlaku peningkatan permintaan.
Katanya, Pencawang Pengagihan Utama (PPU) Gudon bernilai RM42 juta yang baru mula beroperasi pada Mac lalu untuk mengagih bekalan elektrik di kawasan utara bandar raya Kota Kinabalu berkeupayaan mengagih hingga 30 megawatt (MW) elektrik.
“Terpulang kepada permintaan, tapi PPU ini yang berkapasiti 30 MW, buat masa ini hanya mengagihkan 9 MW, jadi masih boleh menampung bekalan jika ada peningkatan permintaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PPU Gudon di Sepanggar, dekat sini, hari ini.
PPU itu dibina menggunakan peruntukan dari Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi meningkatkan daya harap sistem 11 kilovolt (kV) untuk menampung peningkatan permintaan tenaga di kawasan Sepanggar.

Pembinaan projek infrastruktur bekalan elektrik itu juga disasar dapat mengurangkan indeks tempoh purata gangguan (SAIDI) Sabah sebanyak 1.47 minit bagi setiap pelanggan.
Abdul Razak berkata, PPU baharu itu mampu menstabilkan bekalan, khususnya di sekitar Sepanggar sejajar peningkatan pengguna di kawasan berkenaan yang turut merangkumi kawasan perindustrian.
“Tujuan PPU Gudon ini ialah untuk memberi penstabilan elektrik di kawasan Sepanggar di mana buat masa ini sebanyak 9 MW dialihkan daripada PPU lain di kawasan Sepanggar ke PPU Gudon.
“Menerusi pengalihan itu, PPU ini juga dapat menstabilkan beban tenaga di kawasan perindustrian di Sepanggar bagi memastikan mengurangkan gangguan apabila berlaku perkara tidak diingini,” katanya.
Katanya, PPU itu memberi kelegaan kepada PPU lain yang sudah mencapai tahap maksimun, sekali gus menjamin keselamatan tenaga dan risiko pengurangan kapasiti disebabkan talian penghantaran yang panjang sebelum ini.
Langkah itu juga, katanya memastikan kawasan yang terjejas jika berlaku gangguan elektrik dapat dikurangkan, berbanding jumlah yang besar di bawah PPU sebelum ini.
PPU Gudon dilengkapi dua transformer, masing-masing berkapasiti sehingga 30 MW yang beroperasi serentak bagi mengagih bekalan yang lebih stabil kepada pengguna.
Pelaksanaan projek PPU itu dibuat di bawah Pasukan Petugas Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES).
Selain PPU Gudon, beberapa projek infrastruktur bekalan elektrik di Kota Kinabalu, Keningau, Sandakan dan Tawau turut dijangka siap pada tahun ini. – Info X