Search

Wanita maut, seorang cedera dalam kemalangan di Merotai

April 2, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Merotai ke Tawau berhampiran Merotai Kecil, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Jumahira Ramlan, 39, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seorang lagi mangsa, wanita berusia 36 tahun yang memandu Proton Saga mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB II Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan sembilan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 44 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi pada jam 8.18 pagi, didapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva dan Proton Saga dengan pertembungan secara hadapan.

“Terdapat dua mangsa terlibat, seorang disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan selepas terbabit dalam kemalangan di Merotai, Tawau.

Menurutnya, pasukan bomba segera menjalankan operasi mengeluarkan mangsa serta memastikan keadaan selamat dengan mengawal kawasan dan melakukan kerja pembersihan di lokasi kejadian.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.04 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.

Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. – Info X