SEMPORNA: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya membanteras pelbagai aktiviti perniagaan tidak sah serta pelanggaran undang-undang menerusi Operasi Bersepadu yang dilaksanakan di daerah ini semalam hingga hari ini.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi berkenaan merekodkan nilai keseluruhan kompaun dan rampasan dianggarkan mencecah RM680,250 melibatkan pelbagai kesalahan yang dikesan.
Katanya, sebanyak 165 notis dan kompaun telah dikeluarkan oleh pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan yang terlibat sepanjang operasi dijalankan.

“Operasi ini dilaksanakan bagi memastikan pematuhan aspek pelesenan premis pelancongan selain membanteras aktiviti tidak sah yang boleh menjejaskan keselamatan serta imej sektor pelancongan di Semporna.
“Ia turut memberi tumpuan kepada kesalahan melibatkan imigresen, perniagaan, pekerjaan, kastam serta hidupan liar dilindungi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi bersepadu itu melibatkan 269 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Katanya, sebanyak 40 resort dan premis perniagaan diperiksa termasuk di kawasan bandar, perairan, penempatan setinggan dan kampung sekitar daerah ini.
“Dalam pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, seramai 38 individu diperiksa dan 28 daripadanya dikenal pasti sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Kesemua yang ditahan akan diserahkan kepada JIM Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai kesalahan lain turut dikesan termasuk oleh Jabatan Tenaga Kerja yang mengeluarkan 32 kompaun berkaitan pelanggaran Akta Kerja 1955.
Katanya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia pula mengeluarkan sembilan kompaun, manakala Jabatan Perlindungan Data Peribadi mengeluarkan lapan notis dan kompaun.
“Majlis Daerah Semporna turut mengeluarkan 33 kompaun melibatkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen dan pelanggaran syarat premis.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pula mengeluarkan 49 notis berkaitan kegagalan menyediakan aspek keselamatan kebakaran,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia turut merampas minuman keras tanpa lesen bernilai RM11,642.19 termasuk cukai.

Selain itu katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengeluarkan tujuh kompaun, manakala PERKESO mengeluarkan 18 kompaun terhadap majikan yang gagal mendaftar pekerja.
“Turut dirampas hasil hidupan liar seperti daging babi, kura-kura dan burung murai dianggarkan bernilai RM1,300 oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah,” katanya.
Victor berkata, kejayaan operasi berkenaan membuktikan kerjasama erat antara pelbagai agensi dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang di Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone).
“Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan di bawah Operasi SANGGAH bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Selaras dengan konsep ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, ESSCOM akan terus memperhebat tindakan bagi mengekang jenayah rentas sempadan di Sabah Timur.
“Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan kepada Pusat Operasi ESSCOM bagi membantu usaha penguatkuasaan,” katanya. – Info X