Search

Ops Tiris 4.0: Pajero ubah suai seleweng diesel disita

April 1, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Taktik sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero yang dipercayai diubah suai untuk menyeleweng diesel terbongkar selepas diserbu dalam Ops Tiris 4.0 di sebuah stesen minyak, di sini, petang semalam.

Serbuan mengejut itu dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Beaufort hasil maklumat serta risikan anggota penguat kuasa yang mengesan aktiviti mencurigakan ketika kenderaan berkenaan sedang mengisi minyak diesel.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Beaufort, Julie Julhani berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu diubah suai dengan tangki tambahan yang dipercayai mengandungi kira-kira 200 liter diesel.

“Susulan itu, pihak kami bertindak menyita kenderaan terbabit bersama minyak diesel serta dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut.

Penguat kuasa KPDN memeriksa kenderaan yang diubah suai untuk menyeleweng diesel di sebuah stesen minyak di Beaufort.

“Pemandu kenderaan telah dirakam percakapan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, nozel pam stesen minyak yang terlibat turut diambil tindakan penguatkuasaan, selain dua laporan polis dibuat berhubung kes berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan tindakan terhadap pemandu kenderaan serta pihak stesen minyak.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan pegawai penyiasat akan dilantik bagi melengkapkan siasatan.

“KPDN akan terus komited membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan khususnya melibatkan bahan api bersubsidi,” katanya.

Beliau turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan berkenaan. – Info X