Search

Suspek samun barang kemas, wang tunai hampir setengah juta di Telupid berjaya diberkas

April 1, 2026

Info X Reporters

BELURAN: Polis menahan seorang lelaki dipercayai suspek kes samun bersenjatakan pisau yang menyebabkan kerugian hampir setengah juta ringgit dalam kejadian di Taman Telupid Vila, di Telupid.

Dalam kejadian Isnin lalu, suspek yang memakai topi dan pelitup muka dipercayai menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa menerusi pintu belakang rumah kira-kira jam 11.50 pagi.

Suspek kemudian dikatakan mengacukan pisau serta menutup mulut mangsa sebelum memaksa mangsa menyerahkan barang kemas dan wang tunai dianggarkan bernilai RM458,000.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid, berkata bertindak atas laporan yang dibuat mangsa, sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran menjalankan risikan dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun di Kampung Air, di sini.

Katanya, suspek ditahan kira-kira jam 4.30 petang pada hari yang sama dan merampas semula sebahagian barang kemas yang dilaporkan hilang termasuk sejumlah wang tunai.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Usaha giat dilaksanakan untuk mengesan tiga lagi rakan jenayah suspek,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Hasan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai
agar sentiasa berwaspada serta memastikan keselamatan kediaman masing-masing ditingkatkan bagi mengelakkan kejadian jenayah seperti itu.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintendan Azhani Amat Khairi di talian 019-8132244 atau Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Sandra Tening Edward di talian 011-19350296.

Sejak semalam, kejadian samun berkenaan tular di media sosial selepas orang awam berkongsi gambar seorang lelaki yang didakwa terbabit dalam insiden di sebuah vila di Telupid. – Info X