PAPAR: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun parah selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di Kilometer 19, Jalan Baru Papar – Kota Kinabalu, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa dilaporkan mengalami patah kaki kiri serta kecederaan di bahagian kepala dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki tempatan berusia 23 tahun itu dalam perjalanan dari Papar menuju ke Kota Kinabalu.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.
“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenderaan terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati serta mematuhi peraturan lalu lintas, terutama ketika melalui kawasan sekolah.

“Pemandu dinasihatkan memperlahankan kenderaan dan lebih berwaspada, manakala pejalan kaki terutama pelajar perlu melintas di tempat selamat serta tidak melintas secara tiba-tiba,” katanya.
Terdahulu, tular video kejadian berkenaan di media sosial yang memaparkan detik mangsa dirempuh ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut. – Info X