KUNAK: Dua lelaki cedera selepas sebuah lori tangki membawa minyak sawit mentah (CPO) terbabas sendiri dalam kejadian di Bukit Ular, Jalan Lahad Datu – Kunak, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.17 pagi menerusi talian MERS 999.
“Seramai enam anggota bersama dua jentera dari BBP Kunak digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 12.13 tengah hari dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori tangki CPO yang terbabas sendiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, terdapat dua mangsa lelaki dalam kejadian itu, namun kedua-duanya sudah berjaya dikeluarkan orang awam dan dihantar ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan kejadian itu turut menyebabkan berlaku tumpahan minyak diesel di atas jalan raya.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain selain membuat kerja pembersihan tumpahan minyak menggunakan buih (foam).
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.54 tengah hari selepas keadaan disahkan selamat,” katanya. – Info X