Search

Tunggu pelanggan, rupanya polis yang sampai dulu

April 2, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang lelaki yang dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk urusan jual beli dadah tidak menyangka lokasi ‘deal’ yang disangka selamat rupanya sudah diperhatikan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam tadi itu, suspek berusia 41 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah di Beverly Hills, di sini selepas gerak-gerinya dikesan mencurigakan.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selepas pihaknya mengesan aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan dua plastik hitam dipegangnya yang mengandungi beberapa paket kecil berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dan ketulan hablur jernih dipercayai ketamin.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 108.71 gram ekstasi dan 5.24 gram ketamin dengan nilai sekitar RM2,800 mengikut harga pasaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan sebelum ditahan pihak polis.

Katanya, suspek kemudian membawa polis ke sebuah kondominium di Kota Kinabalu, namun pemeriksaan lanjut tidak menemukan sebarang barang salah lain.

“Turut dirampas sebuah motosikal jenis Honda dan sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

“Siasatan lanjut mendapati suspek memperoleh bekalan dadah melalui kaedah ‘buang dan ambil’ di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang serta mula aktif sejak November tahun lalu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. – Info X