KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner pada Khamis diberitahu cara kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir konsisten dengan tindakan mengakhiri nyawa sendiri, berdasarkan bedah siasat psikologi.
Perkara itu dinyatakan pakar perunding psikiatri forensik, Dr Chua Sze Hung, 43 dalam kenyataan saksi yang dibacakan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dr Chua adalah saksi ke-67 inkues kematian Zara Qairina yang memberi keterangan di Mahkamah Koroner bagi mencari punca kematian arwah selepas ditemui tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Julai tahun lalu dan meninggal dunia keesokannya.
Saksi berkenaan menyediakan, menandatangani dan mengecap laporan psikiatri setebal 84 muka surat bertarikh 2 Februari lalu untuk mahkamah, yang memfokus kepada isu kebarangkalian bunuh diri dan keadaan berkaitan arwah.
Katanya, antara maklumat dan dokumen disemak, termasuk diari Zara Qairina, lokasi kejadian dan laporan bedah siasat oleh pakar perunding patologi forensik, Dr Jessie Hiu.
Saksi turut menyemak laporan kaunseling, lawatan ke asrama dan bilik asrama arwah Zara, temu bual bersama ahli keluarga, kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha serta sekolah rendah mangsa.
Beliau berkata, hasil penelitiannya terdapat maklumat yang menunjukkan gangguan emosi, kemarahan melampau, tingkah laku mencederakan diri sendiri, hubungan interpersonal yang tidak stabil dan ketakutan akan ditinggalkan.
Bagaimanapun, katanya maklumat itu tidak mencukupi untuk membentuk diagnosis gangguan personaliti secara retrospektif.
“Walaupun terdapat maklumat yang menunjukkan gejala kemurungan, saya tidak percaya mangsa menderita penyakit mental teruk yang boleh didiagnosis sebelum insiden berkenaan.
“Pertemuan faktor kecenderungan dan pencetus menunjukkan tindakan terakhir itu berkemungkinan besar adalah usaha untuk mengakhiri penderitaan, yang berlaku semasa keadaan tekanan akut yang melampau, pertimbangan yang terjejas dan pengurangan akses kepada mekanisme pelindung normal, bukannya penamatan yang dirancang dengan rapi,” katanya.
Dr Chua memberitahu Mahkamah Koroner, salah satu punca utama kematian dalam kalangan remaja yang lebih tua adalah membunuh diri dan hampir tiga daripada lima kes bunuh diri belia tidak mempunyai diagnosis kesihatan mental yang didokumentasikan sebelumnya.
Katanya, kajian menunjukkan remaja Malaysia berusia 13 hingga 15 tahun berisiko lebih tinggi untuk melakukan cubaan bunuh diri berbanding kumpulan umur remaja lain, malah pelajar yang ibu bapa tinggal berasingan juga menunjukkan kebarangkalian lebih tinggi untuk melakukan cubaan itu.
“Dalam kes mangsa, faktor risiko (faktor kecenderungan) termasuk, tetapi tidak terhad kepada peristiwa hidup yang penuh tekanan, persepsi diri yang negatif, persepsi dibuli, pencapaian akademik tidak memuaskan, sejarah penggunaan bahan, kemarahan atau keagresifan (lisan), kecederaan diri bukan bunuh diri (NSSI), perpisahan ibu bapa, konflik dengan ibu bapa, sensitiviti sosial, gejala kemurungan, isu tingkah laku dan keinginan untuk mati.
“Faktor pencetus (faktor langsung) termasuk peristiwa hidup yang memberi tekanan (soal siasat) dan perasaan terasing. Keadaan penyumbang lain termasuk kekurangan tidur kronik dan kekecewaan daripada peringatan ‘BADAR’ (pengawas),” katanya.
Dr Chua juga berkata, terdapat beberapa faktor risiko bunuh diri yang wujud sebelum mangsa memasuki SMKA Tun Datu Mustapha.
Jabatan Peguam Besar Sabah pada 17 September tahun lalu memohon Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan penilaian psikiatri bagi membantu inkues kematian Zara Qairina.
Pasukan tiga ahli terdiri daripada Dr Chua sendiri, pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja, Dr Nurulwafa Hussain dan pakar psikologi klinikal, Norhameza Ahmad Badruddin dilantik oleh Ketua Pengarah KKM pada 19 September 2025 untuk menjalankan penilaian menggunakan pendekatan bedah siasat psikologi.
Dr Chua pernah memberi keterangan sebagai saksi pakar untuk kes bunuh orang, pengedaran dadah dan kes kesalahan seksual yang dihantar untuk penilaian di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah serta Mahkamah Syariah di seluruh negara. – Info X