KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa mengambil tindakan segera bagi menangani insiden kemalangan yang sering berlaku di laluan berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut di Papar.
Gesaan itu disuarakan pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim susulan kemalangan terbaharu di kawasan itu pada Rabu yang menyebabkan seorang pelajar perempuan cedera dirempuh pacuan empat roda.
Katanya, susulan kemalangan itu, beliau menghubungi Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti negeri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam untuk meminta pihaknya melalui JKR Sabah mengambil tindakan menangani insiden kemalangan di laluan berhampiran sekolah.
“Susulan kejadian ini, saya telah menghubungi YB Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah bagi memaklumkan situasi tersebut serta memohon agar pihak JKR Sabah mengambil tindakan segera terhadap isu kemalangan yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.
“Saya juga telah berhubung dengan Jurutera JKR Daerah Papar bagi memastikan langkah intervensi dapat dilaksanakan secepat mungkin demi keselamatan pengguna jalan raya khususnya pelajar sekolah,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Beliau bersama pengetua dan Yang Dipertua PIBG SMK Kinarut turut menziarahi pelajar terbabit yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Rabu, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun parah selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di hadapan SMK Kinarut.
Mangsa dilaporkan patah kaki kiri dan mengalami kecederaan di bahagian kepala. – Info X