KOTA KINABALU: Sabah FC menyasarkan keputusan positif pada aksi pertama final Piala Cabaran MFL menentang Pulau Pinang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Sabtu ini.
Ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido, berkata pasukannya kini berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik hasil latihan berterusan bagi menghadapi perlawanan penting itu.
Beliau berkata, persiapan rapi yang dilakukan membolehkan pasukan memberi tumpuan kepada aspek teknikal dan taktikal bagi memastikan Sabah FC tampil lebih bersedia.
“Kita melalui tempoh latihan yang baik dan membuat persiapan sebaik mungkin. Kita menjangkakan dapat mengawal lebih banyak aspek permainan dalam perlawanan ini,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Garrido berkata, sasaran utama pasukan adalah untuk meraih kemenangan, namun beliau mengakui final yang berlangsung secara timbal balik memerlukan pendekatan lebih strategik.
“Ini adalah final dua perlawanan, jadi tidak ada keputusan muktamad selepas aksi pertama. Keputusan yang baik adalah penting, tetapi bukan penentu sepenuhnya,” katanya.
Mengulas mengenai Penang FC, beliau menjangkakan lawan akan tampil dengan motivasi tinggi memandangkan kepentingan aksi final itu.
“Ini adalah perlawanan akhir dan kita menjangkakan mereka akan sama bersemangat seperti Sabah FC,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap pemain Sabah FC dapat mempersembahkan aksi terbaik untuk penyokong, selain menyuntik semangat menjelang aksi timbal balik di Stadium Likas 19 April ini.
“Kita mahu memberikan persembahan yang baik supaya penyokong lebih bersemangat untuk hadir dan menyokong pasukan pada perlawanan kedua nanti,” katanya. – Info X