Search

23 pondok haram di Bukit Sepanggar diroboh

April 2, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 23 struktur haram yang dibina di kawasan hutan berbukit berhampiran Taman Bukit Sepanggar dan Kampung Bandulan, di sini dirobohkan dalam operasi bersepadu oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), semalam.

Operasi bermula kira-kira jam 1.45 petang itu membabitkan 11 anggota Jabatan Penguatkuasaan DBKK dengan kerjasama enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Manggatal dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

DBKK dalam kenyataan, hari ini memaklumkan hasil pemeriksaan di lokasi mendapati semua struktur sementara berkenaan dibina menggunakan kanvas dan batang kayu di kawasan berbukit serta curam.

“Struktur berkenaan dipercayai dijadikan tempat persembunyian bagi mengelak tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Selain itu, kawasan berkenaan juga didapati tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik serta berada dalam keadaan tidak terurus dan berisiko dari aspek keselamatan serta kebersihan,” katanya.

Sehubungan itu, DBKK dengan kerjasama PDRM mengambil tindakan meroboh dan mengalihkan kesemua struktur haram terbabit.

“Seorang lelaki dewasa turut ditahan bagi tujuan siasatan lanjut oleh pihak polis.

“Operasi berakhir kira-kira jam 6 petang dalam keadaan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu DBKK memaklumkan pihaknya akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan kawasan bandaraya bebas daripada penempatan haram, selain memelihara keselamatan dan kesejahteraan awam serta kelestarian persekitaran.

“DBKK akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan kawasan bandaraya bebas daripada penempatan haram.

“Selain itu, langkah berkenaan juga bagi memelihara keselamatan dan kesejahteraan awam serta kelestarian persekitaran,” katanya. – Info X